31 May 2011

Berita Harian Online | Tanda barah prostat?


Berita Harian Online | Tanda barah prostat?

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0619&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_07.htm

Tanda barah prostat?
Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
2011/02/27








Lelaki botak usia 20-an dikatakan petunjuk awal risiko kanser
 

MASALAH rambut gugur sememangnya merunsingkan. Lebih mencemaskan lagi apabila masalah yang dianggap alah bisa tegal biasa dalam kalangan lelaki ini sebaliknya turut dikaitkan dengan penyakit lebih serius iaitu kanser prostat.
Inilah hasil kajian terbaru sekumpulan penyelidik Perancis diketuai Dr Philippe Giraud, penyelidik Hospital European Georges Pompidon di Paris. Kajian sejak 2004 dengan proses analisisnya memakan masa dua tahun, mendakwa lelaki yang mengidap kanser prostat, adalah dua kali ganda berkemungkinan menunjukkan tanda-tanda keguguran rambut atau botak seawal usia 20-an berbanding mereka yang tidak mengidap masalah itu.

“Kajian mendapati, lelaki yang mula gugur rambutnya pada usia 30-an atau 40-an, tidak berdepan risiko kanser prostat sebaliknya mereka yang mula keguguran rambut pada usia 20-an mengalami risiko lebih tinggi mengidap kanser pada awal usia atau mengalami tumor yang lebih agresif. 

“Rambut gugur yang dikaitkan dengan masalah androgen juga ada kena mengena dengan kanser prostat,” katanya dalam kenyataan media yang dipetik Persatuan Perubatan Onkologi Eropah, baru-baru ini. 

Dr Giraud berkata, biarpun sehingga kini tiada bukti kukuh menunjukkan manfaat proses saringan terhadap orang awam bagi mengesan kanser prostat, penyelidik perlukan cara berkesan bagi mengenal pasti lelaki yang berisiko tinggi menghidap penyakit barah berkenaan. 

Sehubungan itu, beliau dan rakan penyelidik akan membuat lebih banyak kajian lanjut bagi melihat sama ada campur tangan kaedah rawatan mungkin bersesuaian bagi lelaki yang mengalami botak pada usia muda. 
“Pakar perubatan perlu tahu siapa sasaran saringan dan dipertimbangkan untuk pencegahan kemoterapi. 

“Botak pada usia 20-an mungkin boleh jadi faktor risiko paling mudah untuk mengesan masalah ini, begitupun banyak lagi kajian perlu dilakukan untuk mengesahkan penemuan ini,” katanya yang juga Profesor bidang radiasi onkologi Universiti Descartes Paris. 

Menerusi kajian itu, kumpulan penyelidik itu menyedari corak botak lelaki (androgenic alopecia) sangat biasa berlaku dan dialami separuh dari keseluruhan lelaki pada satu peringkat dalam kehidupan mereka. Sebelum ini, pencetus penyakit ini dikaitkan dengan perubahan testosterone kepada hormon androgenic. 

Bagi memeriksa dengan teliti kemungkinan hubungan antara corak rambut botak dengan kanser prostat, pasukan penyelidik Perancis mengambil masa dua tahun menganalisa perkembangan penyakit dan corak keguguran rambut terhadap 388 lelaki yang mengalami kanser prostat berusia antara 46 hingga 84 tahun. 

Bermula pada 2004, penyelidik meminta mereka menunjukkan sama ada pernah mengalami masalah botak sebelum ini, bila masalah rambut gugur bermula dan secara khusus jenis rambut gugur yang berlaku ketika berusia 20, 30 dan 40 tahun. 

Kajian mendapati 37 pesakit kanser prostat (dan 14 lelaki sihat) mengalami beberapa bentuk keguguran rambut pada usia 20 tahun, seperti penyusutan rambut di dahi kepada botak bertompok di atas kepala atau kombinasi kedua-duanya. Dalam kajian itu sebarang bentuk keguguran rambut pada usia 20 tahun dikaitkan dengan bergandanya risiko kanser prostat, yang mana tanpa corak khusus keguguran rambut menjadikannya risiko yang lebih mudah dijangka berbanding risiko lain. 

Biarpun pasukan penyelidik enggan membuat kesimpulan bahawa masalah botak dan kanser prostat saling berkaitan, seorang lagi pakar Amerika Syarikat iaitu Dr Nelson Neal Stone, Profesor Klinikal Urologi dan Radiasi Oncology di Mount Sinai School of Medicine, New York City bersetuju bahawa hasil kajian berkenaan boleh dipertimbangkan. 

“Kita juga sedar wujudnya faktor genetik yang menjadikan kanser prostat lebih tersebar luas. Sebagai contoh, lelaki yang ada kaitan persaudaraan seperti bapa saudara, bapa atau abang yang disahkan kanser prostat adalah 2.5 hingga tiga kali lebih berisiko alami barah prostat berbanding lelaki tanpa sejarah keturunan. Genetik juga memainkan peranan kepada lelaki yang mengalami rambut gugur pada usia muda,” katanya. 

INFO: Barah prostat 


  • Turut digelar penyakit orang tua kerana lambat merebak 




  • Kira-kira 90 peratus dari sel barah ini merebak ke tulang selain kawasan lain termasuk pundi kencing. 




  • Isi padu ketumbuhan ini berlipat ganda setiap 4 tahun. 




  • Penduduk di California, Amerika Syarikat adalah 100 kali lebih ramai dijangkiti barah ini berbanding penduduk Cina di Shanghai. 
  • 30 May 2011

    Berita Harian Online | Asas kesihatan

    Berita Harian Online | Asas kesihatan

    Insurans perubatan jaminan rawatan pesakit, ringan beban keluarga 

    TAHAP kesedaran untuk melindungi diri dan keluarga dengan Insuran Perubatan dan Kesihatan (IPK) di negara ini masih rendah jika dibandingkan dengan jiran di selatan tanah air. Keadaan ini didorong faktor kos perubatan yang sangat tinggi di negara berkenaan berbanding Malaysia yang sebahagian besar kos rawatan dan ubat-ubatan masih ditanggung kerajaan.


    Walaupun hospital kerajaan mempunyai lebih kepakaran dan kelengkapan namun peningkatan jumlah pesakit yang perlu dirawat menjadikan proses berkenaan mengambil masa yang lama terutama bagi mereka yang disahkan mengalami penyakit kritikal yang memerlukan rawatan segera.


    Di sini, IPK iaitu polisi yang melindungi kos rawatan perubatan swasta yang mungkin mahal, seperti kos kemasukan ke hospital dan pembedahan, memainkan peranan. Polisi insurans ini juga memastikan anda tidak perlu bimbang mengenai kos penyakit kritikal tetapi juga bagi mendapatkan rawatan kecemasan. Selain itu, IPK juga membayar sejumlah wang tertentu semasa menjalani rawatan. 


    Ketua Pegawai Produk dan Pemasaran Prudential Assurance Malaysia Berhad, Heng Zee Wang, berkata selain 
    kesedaran sejak awal lagi untuk dilindungi IPK, pelanggan perlu tahu butiran penting seperti apa yang mereka mahu lindungi, memahami istilah yang terkandung dalam polisi, tempoh matang atau menunggu, bayaran bersama, tempoh membuat keputusan dan syarat berkaitan. 


    Malah, tegasnya, tidak cukup dengan minat terhadap polisi insurans itu saja kerana pelanggan juga perlu mengetahui 
    skop perlindungan dan had-had polisi atau pelan berkenaan. Dengan maklumat ini, pelanggan dapat memastikan perlindungan menyeluruh untuk dirinya. 


    “Sekiranya anda bercadang untuk mendapatkan polisi insuran, kami sarankan memilih polisi yang asas dan mengikut kemampuan seperti jenis polisi utama yang biasa ditawarkan iaitu Insuran Hospital dan Pembedahan, Insuran Penyakit Kritikal, Insuran Pendapatan Akibat Hilang Upaya dan Insuran Pendapatan Hospital. 


    “Insurans melindungi pelanggan daripada risiko dan keadaan yang tidak diduga yang boleh meragut nyawa. Oleh itu, adalah penting bagi anda untuk mengetahui jenis insurans yang terdapat di pasaran agar dapat memilih perlindungan yang sesuai,” katanya. 


    Lazimnya, kata Heng, pelanggan akan berurusan dengan seorang pengantara ketika membeli polisi insurans. Sama ada pengantara itu seorang ejen broker atau penasihat kewangan, ketahuilah perkara penting ketika berurusan dengan mereka untuk memastikan hak sebagai pengguna sentiasa terpelihara. Ini seperti mengetahui senarai panel hospital, cara membuat tuntutan, tarikh luput polisi insuran dan sebagainya. 


    “Mengenalpasti senarai panel hospital adalah antara perkara utama selain memaklumkan kepada ahli keluarga terdekat mengenai syarikat insuran dan jenis polisi insuran yang melindungi diri anda. 


    “Di sini, pentingnya hubungan baik antara pemegang polisi dengan ejen atau penasihat kewangan kerana mereka adalah pengantara yang akan menghulurkan sebarang maklumat mahupun bantuan setiap kali diperlukan,” katanya yang menegaskan maklumat dan dokumen lengkap mengelakkan sebarang masalah ketika membuat tuntutan. 


    Pemegang polisi juga, kata Heng, perlu tahu dan dimaklumkan mengenai pengecualian dalam polisi IPK dan perlu bertanya kepada ejen insuran sekiranya kurang faham. Antara pengecualian itu termasuk syarat pra wajib iaitu tidak mendedahkan masalah kesihatan sedia ada ketika membeli polisi; mengalami masalah mental, peperangan mahupun rusuhan, tempoh menunggu di mana anda tidak layak membuat tuntutan dalam tempoh empat bulan pertama 
    perlindungan kecuali kecederaan akibat kemalangan dan banyak lagi. 


    Jelasnya, usaha menyedarkan masyarakat mengenai pentingnya perlindungan insuran bukan kerja mudah dan mengambil masa yang lama. 


    “Membeli insuran bukan seperti membeli barangan di kedai. Polisi insuran adalah jaminan yang dibeli bagi melindungi 
    perkara yang belum pasti bila dan di mana ia berlaku, namun kesedaran awal terhadap kepentingan polisi insuran mampu mengelakkan insiden sudah terhantuk baru nak terngadah. 


    “Kami di Prudential mengambil langkah drastik dalam usaha memberikan pendedahan awal kepada masyarakat mengenai kepentingan polisi insuran demi masa depan yang lebih terjamin. Bertindaklah awal ketika usia masih muda dan sihat, kerana apabila usia sudah meningkat senja, agak sukar untuk mendapatkan polisi insuran yang sesuai selain harga premium yang ditawarkan agak tinggi,” katanya. 

    INFO: Panduan membeli insurans 

  • Pastikan anda membeli daripada syarikat insurans berlesen dan ejen insurans yang sah. 


  • Buat perbandingan kadar premium. 


  • Fahami had perlindungan, terma dan syarat polisi. 


  • Pilih polisi asas dan mampu. 


  • Periksa tarikh kuat kuasa insuran. 


  • Isi borang permohonan dengan teliti. 


  • Pastikan premium dibayar kepada syarikat insurans dan bukan ejen. 


  • Baca dan fahami polisi anda apabila anda menerimanya. 
  • 17 May 2011

    7 Perbezaan Insuran Konvensional Dan Insuran Takaful





    Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera,

    Sekadar renungan dan perkongsian minda yang wajar dipanjang-panjangkan.
    Pada zaman ini, Insuran adalah menjadi salah satu keperluan yang sangat penting kepada kehidupan harian anda. Ini kerana, setiap hari anda dihadapkan dengan pelbagai risiko dalam kehidupan sebagai contoh risiko kemalangan, risiko sakit dan macam-macam risiko yang boleh menyebabkan anda tidak meninggalkan apa-apa untuk ahli keluarga anda!
    Dalam pemilihan untuk mengambil insuran kehidupan (atau life insurance) soal-soal Islamik juga haruslah di titikberatkan jika anda seorang muslim ataupun muslimah. Ini kerana jika tersilap mengambil pelan insuran dan tidak mengambil insuran yang di sahkan halal oleh majlis fatwa, ia akan menyebabkan anda meninggalkan harta/wang yang tidak halal kepada waris-waris anda. Semuanya atas pilihan anda sendiri.

    7 Perbezaan secara ringkas mengenai insuran takaful dan insuran konvensional :

    1-
    Konvensional

    Kontrak Mu'awadah (Pertukaran Jual Beli) antara penanggung insurans
    dengan pihak yang diinsurankan

    Takaful
    Kontrak Tabbaru' ( Derma & sumbangan ) yang disertakan dengan pelaburan.

    2-
    Konvensional
    Pemegang polisi membayar premium kepada penanggung insuran.

    Takaful 

    Peserta membuat caruman ke dalam skim. Peserta saling menjamin sesama
    sendiri di bawah skim.


    3-
    Konvensional

    Penanggung insuran bertanggung jawab membayar manfaat insuran seperti
    dijanjikan daripada asetnya (kumpulan wang insuran dan kumpulan wang
    pemegang saham)

    Takaful 
    - Pengendali Takaful bertindak sebagai pentadbir skim dan membayar
    Takaful daripada kumpulan wang takaful.

    - Sekiranya berlaku kekurangan dalam kumpulan wang takaful, pengendali
    Takaful akan menyediakan (Qardhul Hasan) pinjaman tanpa faedah untuk
    menampung kekurangan berkenaan.

    4-
    Konvensional
    Pelaburan kumpulan wang bebas tanpa sebarang kekangan Shariah

    Takaful 

    Aset kumpulan wang Takaful HANYA boleh dilaburkan dalam instrumen yang
    selari dengan Shariah.

    5-
    Konvensional

    Wang pelanggan dianggap wang syarikat insuran dan dimilki olehnya
    sejurus dibayar oleh pelanggan.

    Takaful 

    Wang pencarum tidak di kira sebagai wang syarikat malah ia diasingkan
    dan tidak dimiliki oleh pengendali


    6-
    Konvensional

    Keuntungan yang dihasilkan dari kumpulan wang pencarum adalah dimiliki
    sepenuhnya oleh syarikat. Ia juga adalah objektif utama syarikat insuran.

    Takaful

    Keuntungan hasil pelaburan dari kumpulan wang pencarum tidak dimiliki
    oleh syarikat kecuali nisbah yang disumbang dari wang syarikat sendiri.
    Baki keuntunaghn adalah milik tabung kumpulan wang pencarum.


    7-
    Konvensional
    Pencarum tidak berhak untuk mendapat sebarang bahagian dari 'surplus'.

    Takaful 

    Lebihan, untung atau pulangan dipegang oleh tabung untuk dibahagikan
    semula kepada pencarum.

    Di harapkan penjelasan secara ringkas ini mengenai perbezaaan insuran konvensional dan insuran takaful dapat memberi sedikit sebanyak ilmu kepada anda. Semoga anda mendapat manfaat.

    Buatlah penilaian yang betul dalam memilih insuran yang benar-benar sesuai dengan kehidupan anda.

    Boleh lihat di sini untuk megetahui lebih teprinci :
    http://www.islam.gov.my/muamalat/sites/default/files/jurnal_muamalat/2011/02/1_.pdf

    Sekian Terima Kasih.
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...