13 December 2011

Konsep Syariah dalam Perbankan Islam

Mengkaji prinsip Syariah


Semua bank Islam dan bank-bank SPI perlu menubuhkan jawatankuasa Syariah bagi membimbing mengenai hal-hal Syariah dan memastikan bahawa fungsi bank tersebut adalah mematuhi kehendak Syariah. Selain daripada itu ,nasihat Majlis Penasihat Syariah iaitu badan Syariah tertinggi yang ditubuhkan di Bank Negara Malaysia boleh diperoleh bagi memastikan keseragaman dalam pendapat dan amalan. Ahli-ahli jawatankuasa Syariah dan Majlis Penasihat Syariah kebanyakannya terdiri daripada para cendiakawan dan pakar Syariah dalam bidang perbankan dan kewangan Islam.

Konsep syariah dalam perbankan Islam

Konsep asas Syariah adalah seperti yang berikut:

Wadi`ah (Simpanan)

Wadi`ah bermaksud kontrak menyimpan sesuatu barang atau harta sebagai amanah. Di dalam kontrak ini, pelanggan akan mendepositkan wang tunai atau aset lain sebagai simpanan di bank. Bank akan menjamin keselamatan barang yang di simpan oleh pelanggannya. Mekanisme operasi Wadi`ah adalah seperti berikut:-
  1. Anda mendeposit wang di bank dan bank menjamin wang tersebut akan dipulangkan kepada anda.
  2. Anda boleh mengeluarkan wang pada bila-bila masa.
  3. Bank mungkin mengenakan fi sebagai caj menjaga deposit pelanggan dan membayar Hibah (hadiah) jika perlu.
  4. Konsep ini lazimnya diguna pakai di dalam aktiviti penyimpanan deposit, khidmat pemegang amanah dan peti simpanan deposit.
Comparative Table

Mudarabah (Perkongsian Keuntungan)

Mudarabah ialah suatu kontrak perkongsian keuntungan antara dua pihak, iaitu pemilik modal dan pengusaha. Pemilik modal akan menyediakan dana bagi pengusaha untuk menjalankan usaha niaga dan mendapat pulangan hasil daripada jumlah dana yang dilaburkan dalam usaha niaga tersebut berdasarkan nisbah perkongsian untung yang telah dipersetujui. Prinsip Mudarabah boleh digunakan dalam operasi perbankan Islam dalam dua cara ; antara bank (sebagai pengusaha) dan pemilik modal dan antara bank (sebagai pemilik modal) dan pengusaha. Kerugian yang dialami akan ditanggung oleh pemilik modal.
Mekanisme operasi Mudarabah adalah seperti berikut :-
  1. Anda menyediakan dana kepada bank setelah bersetuju dengan terma dalam perjanjian Mudarabah.
  2. Bank melaburkan dana ke dalam aset atau usaha niaga yang dipersetujui.
  3. Perniagaan mungkin mengalami keuntungan atau kerugian.
  4. Keuntungan akan dikongsi di antara anda dengan bank berdasarkan nisbah perkongsian untung yang telah dipersetujui.
  5. Kerugian akan ditanggung oleh pemilik modal. Ini akan mengurangkan nilai aset/ pelaburan dan seterusnya, amaun dana yang telah anda laburkan di bank.
Comparative Table

Bai `Bithaman Ajil - BBA (Penjualan Dengan Harga Tertangguh)

Ini merujuk kepada jualan barangan di mana penjual membayar kepada pembeli harga jualan secara tangguh beserta dengan suatu margin keuntungan yang dipersetujui, sama ada secara sekaligus atau secara ansuran. Mekanisme operasi Bai` Bithaman Ajil adalah seperti berikut :-
  1. Anda memilih suatu aset yang ingin dibeli.
  2. Anda dapatkan pembiayaan BBA daripada bank dan berjanji akan membeli aset tersebut pada harga jualan yang telah termasuk keuntungan.
  3. Bank membeli aset tersebut daripada pemilik secara tunai.
  4. Hak milik aset berpindah tangan kepada bank.
  5. Bank menjual aset itu kepada anda dan menyerah hak milik aset kepada anda pada harga jualan tertangguh yang telah termasuk keuntungan.
  6. Pembayaran boleh dibuat secara tangguh dan ansuran dalam suatu tempoh yang telah dipersetujui.
Comparative Table

Murabahah (Kos Tambahan)

Seperti di BBA, transaksi Murabahah melibatkan penjualan barangan di antara penjual dan pembeli pada harga jualan yang telah termasuk margin keuntungan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Bagaimanapun, dalam Murabahah, penjual mesti memaklumkan kepada pembeli kos sebenar aset dan margin keuntungan semasa perjanjian jualan dibuat.

Musyarakah (Usaha Sama)

Dalam konteks perniagaan dan perdagangan, Musyarakah merujuk pada perkongsian atau usaha sama perniagaan untuk mendapatkan keuntungan. Keuntungan yang diperoleh akan dikongsi oleh rakan kongsi berdasarkan nisbah yang dipersetujui yang mungkin tidak sama nisbahnya dengan jumlah pelaburan yang dibuat oleh rakan kongsi. Bagaimanapun, kerugian yang dialami akan dikongsi berdasarkan nisbah dana yang dilabur oleh setiap rakan kongsi.

Ijarah Thumma Bai`(Sewa beli)

Ijarah Thumma Bai`(Sewa beli) lazimnya digunakan dalam membiayai barangan pengguna terutamanya pembiayaan kenderaan. Terdapat dua kontrak berasingan yang terlibat: kontrak Ijarah (pajakan/penyewaan) dan kontrak Bai` (jual beli). Kontrak-kontrak tersebut akan dimeterai secara berasingan dengan turutan yang betul seperti yang digambarkan.
Mekanisme operasi Ijarah Thumma Bai`(Sewa beli) adalah seperti berikut :-
  1. Anda memilih kereta yang ingin dibeli.
  2. Anda memohon pembiayaan Ijarah untuk kereta tersebut, membayar deposit kereta berkenaan dan berjanji akan memajak kereta tersebut daripada bank setelah bank membeli kereta tersebut.
  3. Bank menjelaskan pembayaran kereta berkenaan kepada penjual.
  4. Penjual kereta memberi hak milik kereta kepada bank.
  5. Bank memajakkan kereta tersebut kepada anda.
  6. Anda membayar sewa Ijarah untuk suatu tempoh yang telah ditetapkan.
  7. Pada akhir tempoh pajakan, bank menjual kereta tersebut kepada anda pada harga yang telah dipersetujui.
Comparative Table

Wakalah (Agensi)

Ini merupakan kontrak di mana seseorang (prinsipal) melantik pihak lain bagi bertindak mewakili dirinya (sebagai ejen) melaksanakan tugas-tugas khusus. Pihak yang menerima tugas itu adalah ejen yang biasanya dibayar fi atas perkhidmatannya.

Contoh

Seorang pelanggan meminta bank membuat pembayaran kepada pihak lain di bawah syarat- syarat tertentu. Dalam hal ini, bank ialah ejen yang diberikan kuasa untuk melaksanakan transaksi kewangan bagi pihak pelanggan dan bank akan dibayar fi atas perkhidmatannya.

Qard (Kontrak Hutang)

Di bawah perjanjian ini, pinjaman diberi untuk satu tempoh yang tetap atas semangat ihsan dan peminjam hanya perlu membayar balik jumlah pinjaman yang sebenar sahaja. Walau bagaimanapun, sekiranya peminjam membayar lebih berdasarkan budi bicaranya (tanpa ikatan perjanjian), ia dianggap sebagai tanda penghargaan kepada pemberi pinjaman.

Contoh

Pemberi pinjaman meminjamkan sebanyak RM5,000 kepada peminjam berdasarkan Qard akan mengharapkan peminjam memulangkan sebanyak RM5,000 kepadanya kelak pada masa yang dipersetujui.

Hibah (Ganjaran)

Hibah merujuk kepada pemberian hadiah secara sukarela sebagai balasan kepada manfaat yang diterima

Contoh

Dalam simpanan yang beroperasi di bawah Wadi`ah, bank lazimnya membayar kepada penyimpan Wadi`ah hibah walaupun pemegang akaun hanya ingin membuat simpanan mereka di bank.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...