Oleh Alzahrin Aliaszahrin@bharian.com.my2011/05/14
Aziz Darus, isteri terpaksa ikhtiar sara lima anak di bandar besar
PERANCANGAN kewangan secara berhemah dan kukuh adalah penanda aras dalam menentukan hala tuju kewangan anda, apalagi yang sudah berkeluarga.
Desakan dan tekanan sekeliling memaksanya melakukan kerja sampingan bagi menampung perbelanjaan harian dan simpanan untuk masa depan mereka sekeluarga. Begitu juga dengan isterinya walaupun berstatus suri rumah, namun dia terpaksa melakukan tugasan sampingan sebagai pengasuh kanak-kanak.
Aziz berkata, untuk terus hidup di tengah-tengah ibu kota, apa yang paling utama adalah dengan rajin bekerja dan mencari duit. Jika mengharapkan kepada gaji semata-mata tidak akan cukup perbelanjaan setiap bulan.
“Anak-anak masih bersekolah dan setiap bulan perlu bayar bil, kereta, rumah dan perbelanjaan harian anak-anak. Jika harap pada gaji tidak akan cukup tambahan pula anak-anak semakin membesar.
“Kita kena bijak mengatur dan rajin dalam bekerja. Ramai kata tak penat ke bekerja sampingan, tapi pada saya sudah biasa kerana kita mencari rezeki yang halal untuk menjaga keluarga,” katanya yang melakukan tugas sampingan sebagai penanggah di majlis rasmi.
Walaupun boleh dikatakan lambat membeli rumah, namun Aziz kini sudah boleh menarik nafas kerana perkara asas dalam kehidupan seperti kereta dan rumah sudah mampu dimilikinya.
Setiap bulan setiap kali mendapat gaji, perkara utama yang dilakukan adalah mengasingkan di antara keperluan utama dan sampingan. Begitu juga dengan keperluan dapur yang akan dibeli secara borong sekali setiap bulan.
“Boleh dikatakan separuh pendapatan saya dan isteri akan digunakan untuk membayar bil, rumah, kereta, simpanan pendidikan anak-anak dan simpanan kami untuk masa tua. Selebihnya baru digunakan membeli barangan dapur.
“Begitu juga duit poket anak-anak. Tiga anak saya bersekolah rendah dan satu sekolah menengah. Setiap bulan hampir RM200 diberi sebagai perbelanjaan harian anak-anak,” katanya.
Aziz berkata, sudah menjadi tanggungjawab sebagai ketua keluarga untuk mencari nafkah dan dia tidak pernah mengeluh walaupun terpaksa bekerja setiap hari. Apa yang penting baginya adalah pelajaran dan masa depan anak-anaknya terjamin.
Buat bajet, kenali jenis belanja
PENDAPATAN kecil, keluarga besar ditambah pula hidup di Kuala Lumpur tentunya mencabar.
Mari analisa pendapatan dan perbelanjaan Aziz melalui alat kewangan dikenali sebagai bajet mengikut taksiran Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bersama Ketua Hal Ehwal Korporat dan Komunikasinya, Devinder Singh.
Bajet
Gaji
RM2,000
Pendapatan Sampingan
RM500
Pendapatan Pasangan
RM500
Jumlah Pendapatan
RM3,000
Perbelanjaan (B)
Makanan
RM750
Pakaian
RM150
Ansuran Rumah
RM600
Ansuran Kereta
RM400
Perbelanjaan Anak
RM200
Petrol dan tol
RM250
Penyelenggaraan
RM100
Simpanan
RM300
Jumlah Perbelanjaan
RM2,750
Lebihan
RM250
Seperti yang dilihat dari ilustrasi bajet ini, kita dapati jika Aziz serta isteri tidak membuat kerja sampingan, mereka akan mengalami kekurangan wang di mana Aziz mungkin terpaksa meminjam untuk memenuhi komitmen bulanan keluarganya.
Nisbah bayaran bulanan pinjaman iaitu sebanyak RM1,000 (bagi pembayaran rumah dan kereta) adalah 50 peratus daripada pendapatan kasar Aziz. Nisbah ini sangat tinggi dan tidak digalakkan. Ini kerana seseorang mungkin terpaksa meminjam untuk memenuhi komitmen bulanan yang lain.
Berikutan kesedaran Aziz untuk hidup lebih selesa dan sentiasa memiliki baki wang atau lebihan dalam bajet bulanannya, Aziz dan isteri mengambil tindakan betul iaitu membuat kerja sampingan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah.
Ini boleh dilihat melalui ilustrasi bajet berkenaan. Dengan adanya pendapatan sampingan, nisbah bayaran bulanan yang ditanggung Aziz hanyalah 30 peratus saja. Ini suatu peratusan yang baik berbanding dengan peratusan maksimum sebanyak 40 peratus. Selain itu, Aziz dapat membuat tabungan iaitu sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan kasar mereka.
Melihat dari kes ini, dapat dirumuskan bahawa seseorang perlu tahu membezakan jenis-jenis perbelanjaan. Secara asasnya, ada tiga jenis perbelanjaan iaitu perbelanjaan tetap, berubah dan budi bicara.
Perbelanjaan tetap adalah perbelanjaan keperluan hidup dengan jumlah yang sama dibelanjakan setiap bulan. Contohnya, ansuran pinjaman rumah, sewa beli dan premium insuran.
Perbelanjaan berubah pula adalah sama seperti perbelanjaan tetap. Bagaimanapun, jumlahnya berubah-ubah seperti makanan, bil utiliti dan pakaian. Manakala perbelanjaan budi bicara pula dibuat mengikut keinginan masing-masing. Ini bukanlah keperluan tetapi sesuatu yang boleh membawa kepada keseronokan.
Namun, jika semua itu diambil kira, seseorang masih lagi menghadapi kekangan kewangan. Jadi, tindakan seterusnya ialah meningkatkan pendapatan melalui kerja-kerja sampingan yang boleh mendatangkan pendapatan tambahan.
Selain itu, setiap individu haruslah membuat bajet peribadi. Ini kerana ia boleh membantu hidup mengikut kemampuan, memupuk tabiat menabung, menyimpan untuk kecemasan dan menambah nilai harta bersih.
No comments:
Post a Comment