17 December 2011

Lelaki berhutang!


Oleh Hidayah Mohammadhidayah@bharian.com.my2011/08/20

Demi isteri, keluarga atau tidak bijak mengurus kewangan?

SETIAP kali menjelang perayaan, hampir semua ingin ditukar baru. Baik pakaian, dari hujung rambut ke hujung kaki, barang perhiasan rumah juga pelbagai barangan lain, jika hendak diikutkan hati, mahu saja ditukar baru. Pendek kata semua mesti serba baru.
Adakah ini satu budaya atau aliran semasa, terikut-ikut tabiat kebanyakan kita yang mahukan semuanya serba baru menjelang Aidilfitri, juga perayaan lain?
Suami tidak perlu meminjam hingga meminjam along. Setiap tahun kita beraya. Jadi takkan tiap-tiap tahun nak membuat pinjaman. Bila sampai raya tahun seterusnya, pinjaman raya tahun lalu belum lagi selesai. Itu membazir namanya. Jadi, kepada suami, jangan amalkan ‘biar papa asal bergaya’, sebaliknya biarlah ‘ukur baju di badan sendiri’. - Anida Baba
Apabila semuanya mahu bertukar baru, alamatnya, boleh ‘kopak’ dan pokai, terutama lelaki yang bergelar suami. Sebagai nakhoda kapal, ketua keluarga, tuntutan begitu dilihat satu tanggungjawab. Buat yang isteri juga bekerja, setidak-tidaknya, beban tambahan sekali setahun ini tidak terlalu dirasakan.

Namun, ada ketikanya, keinginan melebihi keupayaan. Bukan saja transformasi rumah, diri, kos lain juga seperti perjalanan pulang ke kampung, duit raya untuk sanak-saudara boleh saja membuatkan sesiapa saja terpaksa ikat perut sebulan.

Ada yang sanggup berhutang asalkan semuanya `berbau kedai’ (baru) pada hari perayaan. Baik meminjam daripada ahli keluarga lain, rakan mahu pun bank, semuanya sanggup dilakukan dan beban selepas itu, nanti fikir. Lebih malang, ada yang sanggup meminjam daripada along tanpa memikirkan kesan buruknya dalam jangka masa panjang.

Tindakan sebegini tidak wajar dan tidak bijak. Menurut kata hati dan terlalu mengikutkan desakan isteri serta anak-anak walaupun sedar diri tidak mampu. Namun, tidak adil jika semua jari ditudingkan pada isteri kerana selalunya, isteri lebih bijak merencana dan menguruskan perbelajaan. 
Mungkin keadaan ini berlaku kerana lelaki itu sendiri yang mahu `bermewah’ pada hari perayaan, mahu menunjuk-nunjuk kononnya dia berduit sedangkan hakikatnya tidak mampu dan tidak pandai menguruskan kewangan. Perbelanjaan besar menjelang perayaan sudah dijangka dan jika lelaki itu bijak merancang, dia akan menyimpan berbulan sebelum hari lebaran.

Sebagai ketua keluarga, lelaki perlu bijak berbelanja da bercakap TIDAK kepada permintaan isteri serta anak-anak yang berlebihan (jika ada). Bagi sesetengah wanita, biarlah sambutan perayaan sederhana asalkan mereka sekeluarga tidak terbeban dengan hutang yang entah bila dapat dilangsaikan.

Kata Mar Alladad, isteri tidak boleh mendesak suami untuk mendapatkan apa saja barangan semata-mata untuk memuaskan hati sendiri. 

“Selalunya sikap isteri yang sebegini disebabkan ingin bersaing atau menunjuk-nunjuk, mereka sepatutnya menghormati pendapatan suami yang mungkin tidak mampu memenuhi sepenuhnya permintaan. 

“Paling penting dalam rumah tangga isteri dan suami perlu berbincang mengenai kewangan isi rumah, jadi mungkin dengan cara itu setiap pasangan tahu sejauh mana mereka boleh berbelanja,” katanya.”

Shuhaida Yusoff berpendapat perbelanjaan melebihi keperluan sangat tidak perlu.

“Semua ini tidak berbaloi apabila terpaksa berhutang hanya untuk memuaskan nafsu dan kehendak si isteri, anak juga diri sendiri. Isteri harus sedar kemampuan suami. Jangan tahu meminta sampai suami kena berhutang kerana lepas ini tidak mustahil terpaksa berhutang lagi demi nak memuaskan kehendak semua.

“Suami pula sepatutnya tidak perlu ikut sangat kehendak isteri sebaliknya perlu mengawal secara sistematik pembelian isteri juga anggota keluarga yang lain,” katanya.

INFO: Panduan bijak berbelanja elak berhutang 

  • Hadkan jumlah kad kredit dan wang selain tentukan sendiri had perbelanjaan bagi setiap kad yang dimiliki.

  • Tinjau dulu harga barangan sebelum membeli. Ini membolehkan kita membuat perbandingan harga yang ditawarkan.

  • Ketahuilah keperluan kita. Senaraikan nama dan harga lebih kurang barang-barang yang hendak dibeli. Ini dapat mengekang nafsu berbelanja.

  • Jika tidak boleh mengawal diri ketika membeli-belah, seelok-eloknya bawalah teman yang boleh mengawal kita untuk membuat pilihan yang bijak.

  • Gunakan bakul jika barang yang hendak dibeli tidak banyak. Elak daripada menggunakan troli kerana ia memancing kita untuk membeli yang bukan-bukan.

  • Pastikan barang keperluan dibeli mencukupi bagi mengelakkan selalu ke pasar raya, yang akan menjejaskan jadual belanja.

  • Bagi mengelakkan diri kita `tergoda', usah berlegar-legar di tempat barang yang kita tidak perlukan. Menghala terus ke tempat barang-barang yang diperlukan.

  • Catatkan setiap perbelanjaan.

  • Untuk keperluan barangan perayaan, pastikan dan senaraikan barang keperluan berbanding kehendak. Senaraikan barangan terpenting. 
    * Memujuk dan menerangkan dengan baik kepada isteri dan anak jika mereka ingin memiliki barangan yang tidak mampu dibeli.

    Sumber: Laman web SharHanah 
  • No comments:

    Post a Comment

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...