17 December 2011

Keluarga cergas


FITT formula capai kehidupan sihat, aktif 


PENINGKATAN gejala berat badan berlebihan sejak akhir-akhir ini amat membimbangkan malah sering menjadi perbualan ramai. Mengapa tidak, berdasarkan pemerhatian, peratusan rakyat Malaysia yang mengalami obesiti makin meningkat saban tahun.
Ini belum lagi mengambil kira peningkatan berat badan di kalangan kanak-kanak, hasil pemakanan dan cara hidup tidak sihat. Semuanya jika diselidik bermula dari rumah dan cara didikan ibu bapa.
Bukan berat badan menjadi permasalahan utama, tetapi lebih kepada penyakit mengundang bahaya yang boleh meragut nyawa seperti penyakit jantung, kencing manis, kolesterol tinggi dan buah pinggang. 

Selalu kita mengajukan soalan bagaimana semua ini bermula? Sedar atau tidak, segala-galanya bermula dengan pemahaman mengenai apakah ia kecergasan dan kepentingannya dalam kehidupan harian. 

Kecergasan adalah keadaan individu yang mempunyai keupayaan untuk melakukan aktiviti fizikal dengan penggunaan tenaga yang minimum tanpa rasa lesu serta lebihan tenaga bagi kegiatan riadah dan kecemasan. 

Kecergasan ini merangkumi aspek fizikal, mental, emosi, sosial dan kerohanian. Pelbagai sistem dan kaedah boleh digunakan untuk mencapai kecergasan antaranya kaedah FITT yang sesuai diaplikasikan sebelum kita mula bersenam. 
Mari kita lihat apa yang dimaksudkan dengan kaedah FITT. 

F - Kekerapan (frequency) 

Senaman boleh dilakukan setiap hari namun digalak melakukannya selang sehari. Tetapkan pada peringkat permulaan untuk melakukan senaman minimum empat hari seminggu. 

I - Daya Tahan (intensity) 

Daya tahan jantung atau kadar degupan jantung yang sesuai untuk melakukan senaman dengan kiraan seperti berikut 220 tolak umur. Untuk membakar kalori dengan berkesan dan menjaga kesihatan jantung cari kadar jantung seminit di antara 60 hingga 90 bpm daripada hasil penolakan dengan umur anda tadi. 

T - Masa (time) 

Digalak melakukan senaman lebih daripada 30 minit. Ini kerana tubuh hanya akan menggunakan simpanan tenaga daripada badan seperti lemak apabila kita melakukan senaman lebih dari 20 minit, mengikut kadar degupan jantung. 

Sasarkan senaman setiap sesi di antara 30 hingga 60 minit. 

T - Jenis (type) 

Pelbagai jenis senaman boleh dilakukan untuk dijadikan sebagai objektif seperti pengurangan berat badan, meningkatkan stamina dan membentuk otot yang mantap dan menarik. 

Selepas kita menetapkan sistem ini mengikut kehendak dan kemampuan diri sendiri, langkah seterusnya yang perlu diambil adalah memahami empat asas senaman. 

1. Senaman untuk sistem kardiovaskular (jantung) seperti berjalan, berjoging, berenang, berbasikal atau menari. 

2. Latihan kekuatan untuk kekalkan keanjalan dan kemantapan otot serta membantu pergerakan sendi. Senaman seperti mengangkat bebanan (dumbell) yang dilakukan dengan teknik angkatan yang betul. 

3. Senaman kelembutan yang dilakukan sebelum dan selepas setiap kali bersenam untuk persediaan fizikal dan mental serta mengelak risiko kecederaan. 

4. Senaman teras badan untuk mengekalkan kekuatan tengah badan iaitu di perut, belakang dan sisi. 

Empat bahagian asas senaman ini boleh dilakukan secara berasingan atau bersama dalam satu sesi senaman. Paling penting adalah kepelbagaian dalam senaman serta teknik tepat. 

Perancangan yang sesuai dan teratur dapat membantu mencapai apa yang diimpikan. Teknik senaman keluarga ini dikongsi oleh jurulatih kecergasan, Mohd Hoesni Rahmat. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...