06 February 2013

5 Punca Masalah Kewangan yang Membelenggu Diri




alt
Tidak dapat dinafikan, wang merupakan satu 'alat' yang amat penting untuk meneruskan kehidupan. Seawal pagi lagi, kita sudah menggunakan wang. Semasa perjalanan menuju ke tempat kerja, kita membelanjakan wang untuk membeli sarapan, mengisi minyak kenderaan, membayar tol dan pelbagai lagi aktiviti transaksi. Pada hujung minggu pula, kita akan membelanjakan wang untuk membeli-belah dan menjamu selera bersama keluarga di restoran. Lihatlah, saban hari kita pasti menggunakan nota-nota kertas atau siling-siling ini. Oleh itu, kita perlu mengambil tahu cara-cara untuk menguruskan kewangan.
Artikel iLuvIslam kali ini berkongsi tentang 5 punca masalah kewangan yang sering membelenggu kehidupan kita. Mari kita perhatikan dan merefleksi diri tentang 5 punca ini agar sama-sama mendapat manfaat daripadanya.
Apakah 5 punca utama masalah kewangan ini?
(1) Tiada simpanan kecemasan
Simpanan kecemasan adalah perkara penting dalam kehidupan anda. Ini kerana, anda tidak dapat menjangkakan apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Mungkin anda ataupun ahli keluarga anda akan ditimpa penyakit atau kemalangan. Saya mendoakan anda dan keluarga sihat sejahtera.
Namun, sekiranya anda mempunyai simpanan khas untuk perkara kecemasan, sekurang-kurangnya bebanan yang ditanggung tidaklah terlalu berat. Ia juga dapat memberi ruang dan pilihan untuk anda memikirkan tindakan terbaik yang anda perlu lakukan.
Satu cara yang terbaik ialah dengan membeli insuran kesihatan. Ramai orang yang kurang peka terhadap peri pentingnya insuran kesihatan ini. Tidak rugi anda membuat persediaan awal dengan membeli insuran kesihatan. Insuran kesihatan bukan sahaja dapat membayar bil-bil perubatan dan pembedahan, malah anda juga boleh menggunakannya untuk menolak cukai tahunan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
(2) Tidak dapat membezakan antara keinginan dan keperluan
Ini juga satu punca utama yang menyebabkan anda mengalami masalah kewangan. Boleh dikatakan lebih 60% pembeli menyatakan bahawa mereka membeli mengikut keinginan dan bukannya keperluan. Anda perlu bijak dalam merancang perbelanjaan supaya ia tidak akan memudaratkan diri sendiri pada masa hadapan.
Satu tips yang baik ialah dengan membuat senarai barang-barang yang anda mahu beli. Kemudian, anda tanyakan pada diri, adakah ini keperluan atau keinginan?
Keperluan ialah sebarang benda yang anda betul-betul perlukan untuk memastikan kelangsungan kerja atau matlamat tugasan anda tercapai. Contohnya seperti komputer riba bagi seorang pelajar. Komputer riba amat penting untuk memastikan semua tugasan yang diberikan oleh pensyarah dapat dilaksanakan dengan baik dan dihantar mengikut masa yang telah ditetapkan.
Keinginan ialah benda-benda yang tanpanya anda masih boleh membuat kerja dan meneruskan hidup seperti biasa. Contohnya, membeli sesuatu kerana mementingkan jenama. Sedangkan, masih ada produk yang mampu milik, berkualiti dan mampu membantu anda untuk mencapai sesuatu objektif. Istilah 'biar papa asal bergaya' tidak seharusnya digunapakai.
(3) Tidak mengetahui aliran wang keluar
Sebaiknya, anda perlu mengetahui setiap aliran wang yang telah anda belanjakan. Ini adalah untuk memudahkan anda melakukan perancangan terhadap perbelanjaan yang ingin dilakukan.
Kebanyakan daripada kita menggunakan telefon pintar pada masa kini, tidak kiralah sama ada menggunakan platform Android atau Apple. Anda boleh mencari aplikasi-aplikasi pengurusan kewangan seperti 'HomeBudget', 'Piggie' dan lain-lain.  Aplikasi sebegini dapat membantu anda mengenalpasti aliran wang masuk dan keluar pada setiap hari. Pada setiap minggu dan bulan, anda boleh mengetahui pola perbelanjaan dan seterusnya mengurus perbelanjaan dengan lebih baik.
Jika anda tidak menggunakan telefon pintar, anda boleh mengambil masa selama 5-10 minit setiap hari sebelum tidur untuk mencatat perbelanjaan anda. Percayalah, anda akan lebih tenang untuk membelanjakan wang kelak.
(4) Citarasa melebihi kemampuan
Setiap perbelanjaan yang dilakukan mestilah berpadanan dengan kemampuan anda. Jangan terlalu mementingkan citarasa kerana ia pasti akan memudaratkan.
Dunia konsumerisme yang penuh dengan iklan-iklan di televisyen, surat khabar dan pelbagai lagi medium pemasaran, menyebabkan para pengguna berlumba-lumba untuk membeli barangan berjenama. Jika ada yang menegur-"Wah, kamu memandu kereta BMW. Kayanya."-pasti timbul perasaan bangga kerana orang memuji kita kaya.

Namun, kita perlu bertanya kembali, adakah dengan memakai benda-benda berstatus tinggi ini boleh menyebabkan hati aku tenang? Mampukah aku tidur dengan lena? Jika anda tenang, tidak terbelenggu dek masalah melangsaikan hutang, itu petanda kemampuan anda mengikut citarasa. Jika sebaliknya, anda harus mula mengukur baju di badan sendiri. Bukankah hidup lebih tenang, jika hidup anda tidak dibelenggu oleh hutang yang menimbun?
Sebagai renungan, jika kita benar-benar kaya, kita tidak perlu menunjuk-nunjuk atau mencanang kepada orang ramai bahawa kita kaya. Orang ramai akan tahu dengan sendirinya bahawa kita kaya atau sebaliknya.
(5) Sukar menolak tawaran
Mungkin anda bukan seorang yang boros, tetapi anda merupakan seorang yang sukar untuk menolak tawaran jualan terutamanya daripada penjual dikalangan rakan-rakan atau ahli keluarga.
Anda perlu faham, matlamat akhir seorang penjual ialah untuk memastikan barangannya terjual. Ada penjual yang tidak mempedulikan apa-apa jua alasan yang diberikan oleh pelanggan. Justeru, anda perlu bijak untuk mengawal situasi ini supaya ia tidak membebankan anda kelak. Berkatalah tidak pada tempatnya.

Biodata Penulis

Khairul Amnan Khairul Amnan ialah seorang individu yang berminat untuk menulis tentang kehidupan di laman sesawang beliau http://www.top5reason.com/.
Solaharith Solaharith ialah nama pena Muhammad Salahuddin Haris. Beliau merupakan pelajar sarjana di Universiti Copenhagen dan berminat untuk menulis tentang kewangan.

05 February 2013

Jana Kewangan Dengan Perniagaan



baby
Hari ini, negara kita Malaysia memacu proses revolusi perindustrian ketiga. Kerana itu, sektor pengilangan dan perkhidmatan perlu peka untuk meningkatkan nilai masing-masing bagi merealisasikan matlamat tersebut. Kata Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri Kewangan Kedua dalam salah satu akhbar tempatan bertarikh 22 Mei 2012 lalu berkenaan "Usaha lahir ramai usahawan berdaya saing tanpa bantuan".
Susulan daripada revolusi tersebut, ianya berhajat kepada para usahawan yang berperanan untuk mengembangkan keupayaan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), menambah nilai kepada produk dan perkhidmatan di samping meningkatkan capaian kepada persaingan yang lebih tinggi.
Bidang keusahawanan bukan sesuatu yang asing bagi kita. Padanya usahawan adalah mereka yang di anggap menjadi tunggak dan pemangkin dalam sektor pembangunan ekonomi negara. Tanpa mereka, keperluan negara dan rakyat tidak dapat dipenuhi. Selain itu, bidang keusahawanan juga membuka peluang pekerjaan yang besar kepada masyarakat. Pertumbuhan ekonomi negara yang pesat kini memerlukan penglibatan kita semua untuk mengisi kekosongan yang ada terutamanya di dalam bidang perniagaan.
Kerjaya sebagai usahawan sangat dituntut dalam Islam. Ia merupakan satu tugas yang suci dan mulia. Hal ini sejajar dengan apa yang terkandung di dalam kitab Ihya Al-Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali,  di mana 9/10 daripada sumber rezeki ialah dari hasil berniaga. Walau pun hadis ini bertaraf dhaif bagi sesetengah pendapat, namun ianya boleh di ambil untuk ibrah kepada diri sendiri.
Mengimbas sirah  Rasulullah SAW sendiri, kehidupan baginda juga bermula dengan perniagaan. Baginda sendiri adalah tokoh terpenting dalam bidang keusahawanan, model usahawan berjaya kepada golongan usahawan pada hari ini. Baginda telah didedahkan dengan ilmu perniagaan sejak  beliau masih kecil lagi dengan cara mengikuti bapa saudaranya Abu Talib berniaga. Maka, dari sinilah Rasulullah SAW mempelajari selok-belok perniagaan sehingga baginda diberi kepercayaan untuk mengendalikan perniagaan bapa saudaranya dan juga orang Quraisy yang lain.

Dalam konteks Islam, usahawan yang berjaya itu adalah golongan individu yang terdiri daripada mereka yang cemerlang dalam aktiviti keusahawanan di samping komited terhadap perintah agama atas kapasitinya sebagai seorang muslim, mukmin dan muhsin. Kecemerlangan dan kejayaan seseorang itu dikaitkan dengan konsep Al-FalahAl-Falah ini merupakan salah satu konsep di dalam Islam yang menerangkan makna individu cemerlang, iaitu pencapaian cemerlang yang mencakupi keseluruhan aspek kehidupan manusia sama ada dari aspek kerohanian, kebendaan, moral dan sebagainya untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat. Pengaplikasian konsep Al-Falah ini mendorong mereka mengoptimumkan segala sumber-sumber yang ada yang dianugerahkan oleh Allah SWT untuk umat manusia sejagat.
Antara pra syarat utama bagi menjadi seorang usahawan Muslim yang berjaya adalah menjauhkan diri daripada terlibat dengan sebarang bentuk penyelewengan dan unsur-unsur yang boleh mencemarkan kemurnian sistem keusahawanan Islam. Walau bagaimanapun, perkara yang paling penting adalah kita haruslah ingat bahawa harta yang diperoleh daripada aktiviti perekonomian ini bukan bersifat pemilikan yang mutlak. Kita hanyalah khalifatul ard atau secara sinonim dikenal sebagai khalifah di muka bumi bertindak sebagai pemegang amanah yang menguruskan sumber tersebut.
Tuan miliknya yang sebenar adalah pencipta agung manusia iaitu Allah SWT.  Maka dengan hakikat inilah, wujudnya konsep zakat yang diwajibkan ke atas orang yang berkemampuan dan cukup syarat, kerana harta yang diperoleh daripada mana-mana individu, padanya ada milik orang lain iaitu golongan fakir dan miskin. Di sini, amat jelas keadilan yang disediakan oleh Allah kepada hamba-hambanya.

Pada masa kini, kaum bukan Islam mendominasi pasaran perniagaan, namun, sebagai umat Islam kita perlu mempunyai kesedaran untuk masuk ke dalam bidang keusahawanan ini dan melaksanakan jihad ekonomi.
Bidang ini tidak dihadkan hanya kepada golongan muda, malah golongan-golongan pesara juga dialu-alukan. Apa yang penting, kita ingin melahirkan usahawan-usahawan muslim yang berjaya yang sentiasa mengambil kira faktor pembangunan insan dalam lapangan kerja yang diusahakannya. Seorang usahawan itu dipandang hebat oleh masyarakat sekelilingnya, namun, kita ingin pencipta juga memandang kita sebagai salah seorang hambanya yang hebat dan bertakwa.
Para usahawan mahupun yang bakal mengungguli bidang ini, digalakkan untuk mengaplikasikan solat berjemaah dalam kalangan pekerjanya, membudayakan penghayatan ilmu dalam kalangan pekerjanya. Selain itu, mereka harus bersifat terbuka dan bertoleransi terhadap kritikan yang membina, menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat di luar sana di samping menekankan nilai-nilai murni dalam organisasinya.
Allah SWT telah merakamkan di dalam kitabNya, yang bermaksud :-
"Dan carilah pada apa yang dianugerahkan Allah kepada mu (kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan habuan mu dari (kenikmatan) di dunia."(Surah al-Qasas ayat 77) 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...