05 February 2013

Jana Kewangan Dengan Perniagaan



baby
Hari ini, negara kita Malaysia memacu proses revolusi perindustrian ketiga. Kerana itu, sektor pengilangan dan perkhidmatan perlu peka untuk meningkatkan nilai masing-masing bagi merealisasikan matlamat tersebut. Kata Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri Kewangan Kedua dalam salah satu akhbar tempatan bertarikh 22 Mei 2012 lalu berkenaan "Usaha lahir ramai usahawan berdaya saing tanpa bantuan".
Susulan daripada revolusi tersebut, ianya berhajat kepada para usahawan yang berperanan untuk mengembangkan keupayaan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), menambah nilai kepada produk dan perkhidmatan di samping meningkatkan capaian kepada persaingan yang lebih tinggi.
Bidang keusahawanan bukan sesuatu yang asing bagi kita. Padanya usahawan adalah mereka yang di anggap menjadi tunggak dan pemangkin dalam sektor pembangunan ekonomi negara. Tanpa mereka, keperluan negara dan rakyat tidak dapat dipenuhi. Selain itu, bidang keusahawanan juga membuka peluang pekerjaan yang besar kepada masyarakat. Pertumbuhan ekonomi negara yang pesat kini memerlukan penglibatan kita semua untuk mengisi kekosongan yang ada terutamanya di dalam bidang perniagaan.
Kerjaya sebagai usahawan sangat dituntut dalam Islam. Ia merupakan satu tugas yang suci dan mulia. Hal ini sejajar dengan apa yang terkandung di dalam kitab Ihya Al-Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali,  di mana 9/10 daripada sumber rezeki ialah dari hasil berniaga. Walau pun hadis ini bertaraf dhaif bagi sesetengah pendapat, namun ianya boleh di ambil untuk ibrah kepada diri sendiri.
Mengimbas sirah  Rasulullah SAW sendiri, kehidupan baginda juga bermula dengan perniagaan. Baginda sendiri adalah tokoh terpenting dalam bidang keusahawanan, model usahawan berjaya kepada golongan usahawan pada hari ini. Baginda telah didedahkan dengan ilmu perniagaan sejak  beliau masih kecil lagi dengan cara mengikuti bapa saudaranya Abu Talib berniaga. Maka, dari sinilah Rasulullah SAW mempelajari selok-belok perniagaan sehingga baginda diberi kepercayaan untuk mengendalikan perniagaan bapa saudaranya dan juga orang Quraisy yang lain.

Dalam konteks Islam, usahawan yang berjaya itu adalah golongan individu yang terdiri daripada mereka yang cemerlang dalam aktiviti keusahawanan di samping komited terhadap perintah agama atas kapasitinya sebagai seorang muslim, mukmin dan muhsin. Kecemerlangan dan kejayaan seseorang itu dikaitkan dengan konsep Al-FalahAl-Falah ini merupakan salah satu konsep di dalam Islam yang menerangkan makna individu cemerlang, iaitu pencapaian cemerlang yang mencakupi keseluruhan aspek kehidupan manusia sama ada dari aspek kerohanian, kebendaan, moral dan sebagainya untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat. Pengaplikasian konsep Al-Falah ini mendorong mereka mengoptimumkan segala sumber-sumber yang ada yang dianugerahkan oleh Allah SWT untuk umat manusia sejagat.
Antara pra syarat utama bagi menjadi seorang usahawan Muslim yang berjaya adalah menjauhkan diri daripada terlibat dengan sebarang bentuk penyelewengan dan unsur-unsur yang boleh mencemarkan kemurnian sistem keusahawanan Islam. Walau bagaimanapun, perkara yang paling penting adalah kita haruslah ingat bahawa harta yang diperoleh daripada aktiviti perekonomian ini bukan bersifat pemilikan yang mutlak. Kita hanyalah khalifatul ard atau secara sinonim dikenal sebagai khalifah di muka bumi bertindak sebagai pemegang amanah yang menguruskan sumber tersebut.
Tuan miliknya yang sebenar adalah pencipta agung manusia iaitu Allah SWT.  Maka dengan hakikat inilah, wujudnya konsep zakat yang diwajibkan ke atas orang yang berkemampuan dan cukup syarat, kerana harta yang diperoleh daripada mana-mana individu, padanya ada milik orang lain iaitu golongan fakir dan miskin. Di sini, amat jelas keadilan yang disediakan oleh Allah kepada hamba-hambanya.

Pada masa kini, kaum bukan Islam mendominasi pasaran perniagaan, namun, sebagai umat Islam kita perlu mempunyai kesedaran untuk masuk ke dalam bidang keusahawanan ini dan melaksanakan jihad ekonomi.
Bidang ini tidak dihadkan hanya kepada golongan muda, malah golongan-golongan pesara juga dialu-alukan. Apa yang penting, kita ingin melahirkan usahawan-usahawan muslim yang berjaya yang sentiasa mengambil kira faktor pembangunan insan dalam lapangan kerja yang diusahakannya. Seorang usahawan itu dipandang hebat oleh masyarakat sekelilingnya, namun, kita ingin pencipta juga memandang kita sebagai salah seorang hambanya yang hebat dan bertakwa.
Para usahawan mahupun yang bakal mengungguli bidang ini, digalakkan untuk mengaplikasikan solat berjemaah dalam kalangan pekerjanya, membudayakan penghayatan ilmu dalam kalangan pekerjanya. Selain itu, mereka harus bersifat terbuka dan bertoleransi terhadap kritikan yang membina, menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat di luar sana di samping menekankan nilai-nilai murni dalam organisasinya.
Allah SWT telah merakamkan di dalam kitabNya, yang bermaksud :-
"Dan carilah pada apa yang dianugerahkan Allah kepada mu (kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan habuan mu dari (kenikmatan) di dunia."(Surah al-Qasas ayat 77) 

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...