myMetro Setempat
Jumaat, 14 Oktober 2011
KUALA LUMPUR: “Anak saya mesti dibedah segera dan tak boleh tunggu lama lagi sebab kuman merebak cepat,” kata Johari Idris, 33, bapa bayi yang menghidap pelbagai komplikasi jantung.
Muaz Muzzamil Johari, 20 hari, antara dua bayi bermasalah jantung yang menjalani pembedahan pada Sabtu ini dan November depan selepas mendapat bantuan kewangan daripada Tabung Kebajikan The New Straits Press (M) Berhad (NSTP).
Johari berkata, anaknya itu menghidap empat penyakit serentak iaitu jantung berlubang, saluran arteri terbalik, sempit dan bocor.
“Semasa anak saya lahir tiada tanda Muaz sakit sehingga pada hari keempat selepas ujian sampel darah doktor mengenal pasti bayi saya menghidap penyakit berkenaan.
“Kami menunggu tiga tahun untuk mendapat anak, baru kini dikurniakan zuriat tetapi tidak sangka pula ini nasib yang diterima tetapi kami reda,” katanya ketika ditemui di Gleneagles Hospital Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Sementara itu, Lim May Ling, 19 bulan, yang sudah dua kali menjalani pembedahan saluran pernafasan dan pemakanan pada Oktober tahun lalu bakal menjalani pembedahan ketiga, bulan depan kerana saluran injap jantungnya bocor.
Ibunya, Chen Shieh Tyng, 29, berkata, May yang hanya seberat tujuh kilogram cergas dan aktif sehingga jika dilihat dengan mata kasar, dia langsung tidak menunjukkan ciri sakit.
Kedua-dua bayi berkenaan bakal menjalani pembedahan di hospital sama dengan kos rawatan masing-masing RM60,000 dan RM34,000. Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghantar cek atau wang pos kepada The New Straits Times Press (M) Bhd, Bahagian Kewangan/Tabung Kebajikan NSTP, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur dengan menulis nama pesakit berkenaan di belakang cek itu.
No comments:
Post a Comment