20 June 2011

Risiko buah pinggang




PENYAKIT buah pinggang boleh menyebabkan penyakit jantung? Mungkin ramai meragui fakta berkenaan, namun itulah risiko yang bakal dihadapi pesakit buah pinggang.

Penyakit buah pinggang atau ginjal sebenarnya berpotensi membuka ruang kepada penyakit jantung bertapak dalam badan dan menjadikan sistem kardiovaskular porak-peranda.

Bukan hanya penyakit jantung, mereka turut berpeluang menghidapi serangan angin ahmar dan penyakit koronari yang juga tergolong dalam penyakit kardiovaskular.


Jika dikaji kembali, pesakit kedua-dua penyakit ini terdedah kepada risiko sama iaitu berdepan penyakit diabetes, hipertensi dan tahap kolesterol tinggi. Justeru, tidak hairan ia berkaitan antara satu sama lain.

Selain itu, penyakit ginjal memberi kesan kesihatan negatif yang menjadikan kualiti hidup menurun dan meningkatkan kadar kematian.

Ketua Jabatan Nefrologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Ghazali Ahmad berkata, lebih 500 juta orang dewasa atau satu bagi setiap 10 penduduk dunia menghidap masalah ginjal kronik.




Katanya, di negara ini lebih 15,000 individu menerima rawatan dialisis akibat kegagalan ginjal dan setiap tahun kira-kira 2,500 kes baru penyakit itu direkodkan.

“Selain gaya hidup tidak sihat, banyak faktor menyebabkan seseorang menghidap penyakit ini, termasuk masalah darah tinggi yang dihidapi pesakit sebelum ini.



“Tekanan darah tinggi boleh merosakkan saluran darah, terutama saluran darah kecil dan menyebabkan ginjal tidak dapat menapis sisa buangan badan dengan sempurna,” katanya ketika Sambutan Hari Ginjal Sedunia, baru-baru ini.

Menurutnya, penyakit buah pinggang terbahagi kepada dua iaitu kronik dan akut (sementara). Bagi penghidap penyakit ginjal jenis akut, mereka ada harapan pulih sepenuhnya.

Namun, katanya, penghidap kronik mungkin terpaksa bergantung kepada rawatan dialisis sepanjang hayat melainkan mereka menjalani pembedahan pindahan buah pinggang.

“Penyakit ginjal kronik mempunyai lima tahap, yang mana tahap satu hingga empat kerosakan mungkin tidak boleh dielakkan tetapi boleh dilengahkan proses itu.

“Tahap lima adalah peringkat akhir di mana kerosakan yang tidak boleh dielakkan dan perlu menjalani rawatan dialisis atau pindahan,” katanya.

Ghazali berkata, pihaknya tidak mempunyai bilangan tepat mengenai jumlah pesakit buah pinggang kronik di negara ini namun berdasarkan kajian yang dibuat di negara maju, enam hingga 10 peratus responden menghidapi penyakit ginjal kronik.

Penyakit ginjal perlu dikesan dan dirawat dari peringkat awal dan golongan berisiko perlu menjalani ujian saringan iaitu pemeriksaan air kencing dan tekanan darah kerana kegagalan fungsi ginjal tidak mempunyai tanda awal.

Tanda kerosakan ginjal terbahagi kepada tiga peringkat iaitu:

1. Peringkat awal
- Tiada Gejala
- Albumin mikro (protein) dalam air kencing

2. Peringkat pertengahan
- Albumin dalam air kencing bertambah
- Tekanan darah semakin tinggi
- Air kencing berkurangan
- Kurang selera makan
- Pucat (anemia), letih dan tidak bermaya
- Bengkak sederhana pada kaki

3. Peringkat akhir
- Tiada air kencing
- Sesak nafas
- Bengkak seluruh badan
- Loya dan muntah
- Kejang atau sawan
- Tidak sedarkan diri

Pencegahan penyakit buah pinggang perlu dilakukan lebih awal iaitu dengan mengurangkan pengambilan lemak, garam dan gula dalam pemakanan seharian, sebaliknya tambahkan pengambilan serat, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Pesakit yang menghidapi diabetes, tekanan darah tinggi dan mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit ginjal perlu menjalani ujian air kencing dan darah untuk mengetahui status ginjal mereka.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...