KUALA LUMPUR: Golongan muda juga tidak terlepas daripada risiko diserang angin ahmar atau strok memandangkan 15 peratus daripada 480 kes terdiri daripada golongan muda di bawah umur 50 tahun.
Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Dr Ikram Shah Ismail, berkata risiko itu tidak dapat dielakkan sekiranya mereka tidak mengamalkan cara hidup yang sihat.
“Fenomena ini semakin membimbangkan kerana penyakit ini boleh menyerang secara tiba-tiba dan boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit secara berterusan,” katanya pada majlis makan tengah hari meraikan lebih 150 pesakit strok pada usia muda di sebuah restoran di sini, semalam.
Majlis anjuran Persatuan Wanita bagi Rantau Pasifik dan Asia Tenggara (PPSEAWA) Malaysia itu turut meraikan lebih 300 anak yatim, anggota keluarga pesakit strok dan bekas pesakit.
Selain itu, katanya, pesakit strok, terutama yang menghadapinya di usia muda perlu diberi sokongan kuat supaya mereka tidak patah semangat untuk terus menjalani rawatan penyakit itu.
Mengenai majlis itu, Dr Ikram Shah berkata, menerusi majlis berkongsi pengalaman mengenai cara menangani serta mengubati penyakit dari pesakit lain yang sudah sembuh, ia mampu membantu pesakit untuk terus bersemangat menjalani rawatan.
Pada majlis itu, beberapa pesakit yang berusia dalam lingkungan 40-an menceritakan pengalaman mereka mendapat penyakit itu serta rawatan yang terpaksa dijalani termasuk fisioterafi sehingga mampu sembuh 80 peratus. - Bernama
------------------------------------------------------------------------
Kisah Pengidap Strok
http://www.hmetro.com.my/articles/Strokragutkebahagiaan/Article/
BEBERAPA tahun yang lalu, Mek Nah Abas, 60, berhijrah dari kampung asalnya di sebuah kawasan terpencil di pedalaman wilayah Narathiwat, Thailand, yang dikenali sebagai Kampung Bereng.
Bersama-sama suaminya, Ramli Mohd Nor, 68, mereka berhijrah ke Malaysia dan menetap di Kuala Krai, Kelantan iaitu di Kampung Belanga B, Pahi.
Hanya berbekalkan pelajaran agama dan pengetahuan yang cetek, mereka tidak mempunyai pilihan melainkan mengambil upah menoreh getah untuk menyara hidup yang dilakukan sehingga ke hari ini.
Dengan kegigihan dan berkat usaha mereka berdua, sedikit demi sedikit mereka berjaya mengumpul wang untuk membeli rumah yang mereka diami sekarang. Tanah untuk tapak rumah mereka itu juga dibeli dengan hasil titik peluh mereka.
Namun, langit tidak sentiasa cerah. Begitu juga nasib yang menimpa kedua-dua insan ini. Sejak beberapa tahun lalu, kehidupan mereka berubah akibat penyakit yang menyerang suami secara tiba-tiba.
Kata Mek Nah, Ramli dengan tiba-tiba sahaja jatuh sakit dan tidak dapat berjalan.
“Sejak tiga tahun lalu dia jatuh sakit selepas terkena strok. Seluruh badannya di sebelah kiri tak dapat bergerak dan mata kanannya pun tak dapat berfungsi dengan baik,” katanya.
Usaha untuk menjalani rawatan, baik di hospital mahupun secara tradisional, sudah dibuat namun setakat ini belum ada apa-apa kesan positif.
“Dengan upah menoreh getah kira-kira RM500 sebulan, amat sukar bagi saya mengatasi masalah dihadapi keluarg. Apatah lagi dengan keadaan yang menimpa suami saya ini,” katanya.
Mek Nah dan suaminya sudah berkali-kali memohon untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan, tetapi rayuan mereka tidak pernah diberi perhatian, jauh sekali untuk mendapat apa jua bentuk bantuan.
“Sekarang kami sudah lama menjadi rakyat Malaysia dan kalau boleh kami amat memerlukan simpati serta bantuan kewangan daripada pihak berkaitan untuk menyara kehidupan kami,” katanya.
Bagi sesiapa yang bersimpati dan ingin menghulurkan bantuan, sumbangan boleh dihantar kepada Mek Nah Abas di alamat Kampung Belanga B, Pahi, 18000 Kuala Krai, Kelantan.
No comments:
Post a Comment