TERIMA UGUTAN...Rokiah sekeluarga membuat aduan kepada PPIM.
KUALA LUMPUR: Sebuah keluarga kini hidup dalam ketakutan selepas diburu along yang meminta bayaran RM70,000 selepas seorang ahli keluarga mereka meminjam wang sebanyak RM3,000 untuk membayar bil hospital di Klang.
Mangsa hanya dikenali sebagai Rokiah, 50, berkata, along dan konconya ada pergi ke premis perniagaannya minggu lalu dan menggugut meminta wang sebanyak RM70,000.
Katanya, along berkenaan mahu wang pinjaman itu dilunaskan segera sekiranya mereka mahu selamat.
“Selepas itu, konconya datang lagi ke kedai saya meminta wang sebanyak RM35,000 tetapi ia masih tidak mampu dilunaskan oleh saya kerana jumlahnya terlalu besar.
“Kelmarin, mereka datang lagi meminta wang RM25,000 tetapi saya tiada wang sebanyak itu. Mereka turut mengugut kami sekeluarga hingga kami takut untuk keluar rumah,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, kejadian itu amat menakutkannya sekeluarga kerana konco along terbabit kerap datang meminta wang padahal jumlah pinjaman anaknya tidak seberapa tetapi kadar bunga dikenakan amat tinggi dan berlipat kali ganda.
Katanya, anaknya membuat pinjaman dengan along berkenaan April lalu kerana suaminya sakit. Pinjaman itu terpaksa dilakukan bagi membiayai bil hospital.
“Saya tidak menyangka perkara ini menjadi semakin rumit apabila kami sekeluarga pula diburu along terbabit yang menuntut hutang mereka dengan jumlah yang banyak.
“Pada awal pinjaman, anak saya ada membayar sebanyak RM50 sehari bagi tempoh dua minggu dan berhenti apabila kesempitan wang,” katanya yang tidak tahan dengan gangguan along menyebabkan dia sekeluarga nekad membuat laporan di Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
No comments:
Post a Comment