TIDAK berapa hari lagi, suasana yang penuh emosi dan penuh nostalgia akan memunculkan dirinya. Apalagi kalau bukan sambutan Hari Raya Eid’ul Fitr atau kebanyakan orang menyebutnya Hari Raya Aidilfitri. Kalau suasana penuh nostalgia, itu memang biasalah. Siapa yang tiada kenangan silam zaman kanak-kanak, remaja dan hampir dewasa apabila sahaja tibanya Hari Lebaran? Semua orang ada cerita tersendiri.
Kenapa pula saya katakan ianya suasana yang penuh emosi? Baik. Menjelang hari-hari terakhir Ramadhan, semua akan mulai sibuk menyediakan kelengkapan sambutan. Pelbagai situasi muncul misalnya pembelian barangan di saat-saat akhir termasuklah kuih muih, pakaian, servis kenderaan untuk balik kampung dan seribu satu lagi.
Pada waktu ini, kebanyakan perbelanjaan yang dilakukan banyak dipengaruhi emosi pelanggan. Mereka tidak begitu peduli harganya, janji dapat barangnya.
Mereka juga tidak peduli kuantiti, yang penting kemeriahan kali ini lebih daripada tahun sudah. Apa-apa yang terlintas di hati, pasti dibeli. Melebihi itu semua ialah suasana sanak saudara berkumpul, keriuhan berbual dalam udara kampung, bertemu adik beradik dan berjumpa kawan lama yang lama terpisah sudah jelas terbayang semasa membeli-belah.
Ini semuanya mengurangkan fokus pada bajet perbelanjaan raya. Mungkin panduan di bawah boleh dijadikan pedoman dalam pengurusan belanja menyambut Hari Raya dalam saat-saat puncak begini:
1. Tetapkan bajet untuk setiap ahli keluarga.
Jika ahli keluarga anda seramai 5 orang, tetapkan dahulu bajet untuk setiap orang. Bincangkan di rumah beberapa hari sebelum keluar membeli. Setelah dihitung keperluan masing-masing, ambil purata bajet setiap orang untuk dijadikan panduan peruntukan. Bincangkan mana-mana perkara yang kurang perlu dan boleh diabaikan.
2. Sediakan rumah dengan bijak.
Tidak semestinya membeli peralatan baharu adalah satu-satunya cara menyerikan rumah anda. Ambil idea dari majalah yang anda baca. Mungkin penggunaan warna (cat) pada ruang tertentu dan dipadankan dengan langsir raya tahun-tahun sudah yang lama tersimpan boleh memberi impak yang besar. Siapa tahu kan..
3. Kereta untuk balik kampung.
Saya faham jika anda memiliki keluarga yang besar, pasti persaingan dalaman akan berlaku. Abang Long anda balik dengan kereta baharu tahun lalu, jadi anda mahu lakukan yang serupa tahun ini. Tapi jika anda memang mementingkan pengurusan kewangan yang baik untuk keluarga anda, membeli kereta baharu adalah perkara terakhir yang anda akan lakukan. Ia memberi kesan jangka panjang dan menjejaskan perancangan tahunan anda. Jauh lebih penting daripada itu, hantarlah kenderaan untuk diservis dan tukarlah cat untuk memberi mood raya yang lebih segar.
Satu idea lagi, tiada masalah sebenarnya untuk pulang beraya menggunakan kemudahan awam seperti bas. Tiada undang-undang yang mengatakan anda sekeluarga WAJIB balik kampung dengan kenderaan sendiri. Selain menjimatkan, anda juga tidak perlu memikirkan mengenai kerosakan, tol dan bahan api!
4. Juadah raya.
Melainkan anda memang bercadang mengadakan rumah terbuka mega. Kalau tidak, hidangan raya tidak perlu terlalu bermewahan. Harus diingat, semasa Hari Raya semua rumah menyediakan bermacam hidangan yang enak. Para tetamu kita memang sudah kekenyangan. Jadi apa yang menarik perhatian mereka pada ketika itu? Iya.. Hidangan yang unik!
Sediakan resepi atau kuih muih lain ala kadar sahaja, tetapi tumpukan pada satu atau dua resepi unik anda untuk memberi kelainan. Rumah anda pasti akan menjadi ingatan kepada para tamu kelak.
Sebagai penutup, raya tu raya juga tapi jangan lupa bajet untuk diberikan kepada ibubapa dan adik beradik yang masih bersekolah. Tanggungjawab kita bukan hanya kepada isteri dan anak-anak sahaja. Mereka juga ada hak ke atas kita. Akhir kata, urus perbelanjaan Hari Raya anda dengan bijak demi masa depan keluarga.
Sekarang lebih fhm...
ReplyDelete