Perisiapan Sebelum Pulang Berhari Raya
Dalam keghairahan orang ramai untuk pulang ke kampung sempena meraikan Hari Raya Aidilfitri, beberapa tindakan atau persediaan perlulah dilakukan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Di sini aku kongsikan beberapa panduan atau perkara-perkara yang perlu diberi perhatian sebelum anda pulang berhari raya di kampung. Persiapan Sebelum Pulang Berhari Raya
Rancang perjalanan anda
Bagi mereka yang akan pulang ke kampung halaman yang memakan masa perjalanan yang panjang, pastikan anda merancang terlebih dahulu dari segi tarikh dan masa anda perlu bertolak. Ini penting bagi mengelakkan anda daripada tergesa-gesa serta terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Jadi anda boleh gunakan panduan yang aku keluarkan dalam entri yang lepas untuk mengatur perjalanan anda tu. Klik di sini dan di sini.
Tips ini merupakan perkara paling penting yang harus anda lakukan sebelum memulakan perjalanan jauh. Hantar kereta anda ke pusat servis yang bertauliah untuk pemeriksaan seperti enjin, bateri, tali kipas, air radiator, lampu depan, lampu isyarat, lampu brek, lampu kecemasan, tekanan angin tayar termasuk tayar simpanan, brek tangan serta pengilap cermin agar semuanya berfungsi dengan baik. Jangan ambil mudah benda-benda ni.
Maklumkan kepada jiran / polis
Sebelum memulakan perjalanan, pastikan anda memaklumkan kepada jiran terdekat yang tidak pulang ke kampung halaman untuk tengokkan rumah anda tu sepanjang ketiadaan anda. Malah anda juga boleh memaklumkannya di balai polis berdekatan agar polis membuat rondaan di kawasan rumah anda tu. Anda juga disarankan untuk menghentikan penghantaran surat khabar untuk sementara waktu sehingga anda pulang semula ke rumah.
Menyenaraikan dan memeriksa status segala keperluan
Haa.. biasanya bila musim perayaan ini, banyak benda yang kita nak bawa. Kalau just nak harapkan ingatan saja, pasti tak boleh nak ingat semua. So, anda perlulah buat satu checklist senarai keperluan yang nak dibawa bersama.
Biasanya antara keperluan-keperluan tu ialah seperti seperti kuih raya, baju raya, sampul dan duit raya, kasut raya, songkok raya, butang baju melayu, tudung raya, cd lagu raya, kad tol, handphone, laptop, alat mekap, tuala, kain pelekat, kain batik, dan macam-macam lagi yang anda nak bawa.. hehehe. Jangan ada barang yang tertinggal pulak, nanti pasti raya anda rasa tak best sebab benda yang anda nak bawa tertinggal..
Pemeriksaan rumah sebelum bertolak
Sebelum bertolak pulang, anda perlu memeriksa sekali lagi yang semua pintu dan tingkap telah dikunci terlebih dahulu. Barang-barang berharga perlulah di simpan di tempat yang selamat dan berkunci. Bagi mengelakkan daripada berlakunya kebakaran dan litar pintas sepanjang ketiadaan anda tu nanti, pastikan semua suis dan kepala gas ditutup. Digalakkan untuk tutup terus suis utama.
Memulakan perjalanan
Untuk memandu bagi perjalanan jauh, pastikan anda rehat dan tidur dengan secukupnya, kerana jika anda keletihan ia boleh mengganggu konsentrasi anda ketika memandu. Yang kedua, elakkan mengambil ubat yang boleh memberi kesan mengantuk seperti ubat batuk atau selsema kerana ia boleh mengganggu tumpuan anda nanti. Yang ketiga pula, elakkan daripada berperasaan marah sebelum memulakan perjalanan. I
Ini kerana apabila anda marah ia akan membuat anda stress, hilang pertimbangan dan tidak menghiraukan peraturan jalan raya dan ini boleh membahayakan nyawa anda serta orang lain. Yang terakhir sebelum memulakan perjalanan, pastikan anda mengisi tangki minyak dengan sepenuhnya bagi mengelakkan kenderaan kehabisan petrol di tengah-tengah jalan raya. Lagi satu ia mengelakkan anda bersesak di perhentian tempat isi minyak yang seterusnya melambatkan lagi perjalanan anda.
Rehat jika mengantuk
Jika anda berasa mengantuk atau letih, berhentilah di kawasan rehat yang disediakan untuk berehat sebentar bagi mengelakkan berlakunya kemalangan yang tidak diingini. Jangan tinggalkan barang-barang berharga di dalam kereta ketika berada di kawasan rehat. Pastikan pintu kereta dikunci bagi mengelakkan sebarang kecurian. Persiapan Sebelum Pulang Berhari Raya
Memandu ketika hujan lebat
Jika anda memandu ketika hujan lebat, perlahankan kelajuan kenderaan anda dan pasang lampu hadapan. Elakkan daripada memandu laju kerana keadaan jalan raya yang licin boleh mengakibatkan kemalangan. Jarakkan kenderaan anda serta elakkan daripada mengekori kereta hadapan terlalu rapat. Ini kerana ia dapat mengelakkan daripada kemalangan berlaku.
Memandu secara berhemah
Sepanjang pemanduan, patuhi segala peraturan yang telah ditetapkan. Pandulah kenderaan anda mengikut had kelajuan yang dibenarkan. Kalau anda menggunakan lebuhraya pandulah di bawah 110 km/jam dan jika anda menggunakan jalan raya biasa had kelajuan yang dibenarkan ialah 80km/jam. Bukan itu saja, gunakan lampu signal jika anda ingin menukar laluan dan elakkan memandu secara perlahan di lorong kanan. Amalkan pemanduan berhemah, pasti anda akan selamat sampai ke destinasi.
Oklah itu je beberapa perkara yang aku nak kongsi pasal persiapan sebelum pulang berhari raya. Ok jumpa lagi, Selamat Hari Raya!
Balik kampung