Pening memikirkan perbelanjaan yang berganda bila menjelang musim perayaan. Panduan berikut mungkin membantu anda mengelolakan bajet dengan bijak.
Setiap tahun menjelangnya Idul Fitri, sebagai ibu bapa anda akan membuat pelbagai persiapan untuk menyambut hari yang mulia ini. Bermula daripada juadah raya, baju baru untuk anak-anak, perhiasan rumah sehinggalah kepada duit raya. Sudahkah anda mencongak-congak perbelanjaan untuk Aidilfitri kali ini?
Sekiranya anda bijak dalam mengatur perbelanjaan, ia bukan sahaja akan “menyelamatkan” kocek anda, malah anda juga akan lebih gembira menyambut raya tahun ini. Berbelanjalah mengikut kemampuan dan bukannya mengikut kemahuan. Cara terbaik untuk memastikan anda tidak boros berbelanja ialah dengan membuat bajet ataupun pelan perbelanjaan.
Bagaimana membuat bajet hari raya?
Pertama sekali, anda perlu membandingkan antara jumlah pendapatan dan jumlah perbelanjaan. Kira jumlah pendapatan anda dengan menyenaraikan jumlah pendapatan isi rumah (suami isteri) dan juga pendapatan-pendapatan lain sekiranya ada seperti sewa rumah, dividen dan sebagainya.
Selepas itu, kira pula perbelanjaan pada hari raya tahun ini seperti belanja untuk kuih-muih, baju raya, duit raya, dan lain-lain. Sekarang, bandingkan antara jumlah pendapatan dengan jumlah perbelanjaan anda. Yang mana satu lebih banyak, pendapatan atau perbelanjaan?
Sekiranya jumlah pendapatan melebihi jumlah perbelanjaan, tahniah diucapkan. Namun, jika pendapatan anda kurang daripada jumlah perbelanjaan yang diperlukan, anda perlu buat sesuatu. Cuba lihat contoh di bawah:
Dalam contoh di atas, jelas bahawa perbelanjaan adalah melebihi pendapatan. Adakah anda juga mengalami masalah yang sama? Apa yang perlu dibuat sekarang anda perlu memilih apa yang betul-betul perlu dan menyingkirkan perbelanjaan yang tidak perlu.
Dalam proses ini, anda perlu tahu bahawa terdapat dua jenis perbelanjaan iaitu perbelanjaan tetap dan perbelanjaan tidak tetap. Perbelanjaan tetap ialah perkara-perkara yang perlu dibayar seperti ansuran rumah, kereta dan bil-bil. Perbelanjaan tidak tetap pula ialah perbelanjaan lain-lain di mana ia mengikut budi bicara anda.
Apa yang boleh anda lakukan ialah mengurangkan perbelanjaan yang tidak tetap. Pastikan anda membuatnya bersama-sama ahli keluarga yang lain. Bentangkan kepada mereka jadual pendapatan dan perbelanjaan tersebut dan terangkan situasi yang sebenar kepada mereka.
Sebagai sebuah keluarga, anda tidak perlu memendam masalah kewangan seorang diri, sebaliknya kongsilah bersama-sama dengan suami atau isteri dan anak-anak agar mereka faham keadaan kewangan anda dan seterusnya tidak meminta perkara yang bukan-bukan.
Jika amalan ini belum lagi menjadi suatu kebiasaan, tiada salahnya untuk bermula sekarang daripada menyesal di kemudian hari. Mana tahu, mereka mempunyai idea yang menarik untuk membantu anda atau lebih baik lagi, mungkin anak-anak bersedia memakai baju raya tahun lepas yang masih elok lagi.
Setelah membuat bajet, perlu pastikan yang anda mengikutinya. Ia bukan mudah, tambahan lagi pada musim perayaan. Ramai orang yang rambang mata apabila pergi membeli-belah. Bagi memastikan ini tidak berlaku, anda disarankan untuk menulis senarai barang yang ingin dibeli sebelum keluar membeli-belah kerana ini akan membantu anda untuk mengekang nafsu ketika berbelanja.
Tip berbelanja untuk Hari raya
Berikut disenaraikan beberapatip ketika berbelanja di musim perayaan:
1. Jangan tiru orang lain
Ketika berbelanja, belilah barang yang betul-betul perlu sahaja dan bukannya kerana anda berada dalam “mood” hari raya. Ramai orang yang terpengaruh dan membuat belian yang tidak diperlukan kerana semua orang membeli baju baru, menukar perabot baru dan sebagainya. Budaya “tiru orang lain” perlulah dikikis kerana ia tidak memberikan sebarang faedah. Orang yang paling arif mengenai keadaan kewangan dan keperluan anda ialah anda sendiri dan bukannya orang lain.
2. Elakkan berhutang
Ada orang yang sanggup berhabis wang ringgit untuk beraya ‘sakan’. Tidak cukup dengan duit gaji, ada pula yang sanggup menggunakan kad kredit dan membuat pinjaman peribadi semata-mata untuk memastikan raya tahun ini yang paling meriah. Tabiat ini perlulah dijauhi kerana tidak ada gunanya bergaya di hari raya, tetapi pokai selepas raya. Hutang sebegini akan membebankan anda untuk masa yang lama, sedangkan anda hanya mahu beraya untuk waktu yang singkat.
3. Jangan Membazir dan amalkan sikap berjimat-cermat
Tabiat membeli juadah di pasar Ramadhan yang berlebihan haruslah ditinggalkan. Kawal keinginan supaya anda tidak membeli makanan berlebihan yang akhirnya dibuang begitu sahaja. Sebaik-baiknya, senaraikan dahulu makanan yang ingin dibeli sebelum pergi ke pasar Ramadhan.
Selain itu, anda juga boleh cuba mengelakkan berbuka secara bufet di hotel bersama seluruh ahli keluarga kerana ia mungkin menjadi suatu pembaziran apabila anda tidak mampu menghabiskan makanan yang disediakan, sedangkan anda membayar harga yang mahal untuk menikmati juadah tersebut.
4. Guna kembali
Jika dibelek-belek koleksi lama pakaian anda, pasti ada baju yang masih elok dan boleh diguna pakai di hari raya. Tambahan pula, sebab rajin berpuasa dan bersenam, mungkin anda sudah hilang berat badan dan baju lama tersebut boleh dipakai kembali. Apa yang penting adalah untuk anda mix and match dan pandai menggayakannya. Samalah juga dengan perabot atau langsir rumah anda, ganti apabila ia sudah pudar atau betul-betul tidak boleh digunakan lagi.
5. Buat Pembelian bijak
Ketika berbelanja, pastikan anda membuat perbandingan harga dan kualiti. Seelok-eloknya, beli barang-barang persiapan raya awal-awal lagi iaitu sebelum menjelangnya bulan Ramadhan. Ini kerana ada segelintir peniaga yang menaikkan harga barang apabila tibanya musim perayaan dan tidak kurang juga yang sanggup menyembunyikan barang (terutamanya barangan runcit) bagi menaikkan harga barang. Sekiranya anda beli awal, persoalan ini tidak akan timbul dan anda juga tidak berada dalam keadaan terdesak untuk membeli.
Akhir sekali, ingatlah bahawa walaupun raya hanya sekali setahun, ia tidak semestinya diraikan dengan kemewahan dan dicemari dengan pembaziran. Menyambut hari raya dengan bersederhana adalah jalan terbaik kerana tujuan sebenar Idul Fitri adalah untuk meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa, merapatkan hubungan ahli keluarga dan saling memaafkan antara rakan dan taulan.
Penting ni..
ReplyDelete