24 July 2012

Amalan Sedekah Paling Afdal Pada Bulan Ramadhan


AMALAN bersedekah yang amat dianjurkan Islam dan akan mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW sentiasa menunjukkan teladan kepada umatnya dalam perbuatan bersedekah. Sabda Rasulullah yang bermaksud, “Jagalah kalian dari neraka, meskipun hanya dengan separuh kurma.’ (Hadis Bukhari). Di sini jelas kepada kita bahawa Islam sangat menekankan kepada amalan bersedekah dan nilai sedekah itu tidaklah hanya tertakluk kepada banyaknya yang dihulurkan seseorang, akan tetapi terletak pada nilai keikhlasan niat di hati.

Gambar Hiasan
Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang bersedekah sebesar biji kurma dari hasil yang baik dan Allah SWT hanya menerima sesuatu yang baik saja. Nescaya Allah SWT akan menerimanya dengan tangan kanan-Nya, lalu memeliharanya untuk diberikan kepada pemiliknya sebagaimana salah seorang daripada kalian memelihara anak kudanya hingga (pahala sedekahnya itu) menjadi seperti gunung”. (Hadis Bukhari). Begitulah indahnya ajaran Islam yang menggalakkan umatnya bersedekah dan Allah SWT sendiri menjamin pahala untuk orang yang mengamalkannya sebagai agenda kehidupan mereka. 

Menyentuh aspek bersedekah, Islam tidak pernah mengehadkan tempoh masa malahan boleh dilaksanakan pada bila-bila masa saja mengikut kemampuan seseorang. Namun demikian, amalan bersedekah yang paling afdal di sisi Allah SWT ialah ketika bulan Ramadan. Ini dapat kita perhatikan menerusi satu hadis Nabi bermaksud, dari Ibnu Abbas, berkata: “Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawannya pada bulan Ramadan ketika Jibril menemuinya. Jibril biasanya menemuinya setiap malam Ramadan, lalu tadarus al-Quran (dengan Nabi SAW). Sungguh Rasulullah ketika ditemui Jibril menjadi orang yang lebih bermurah hati dalam memberikan kebaikan, sehingga lebih banyak daripada tiupan angin.’ (Hadis Bukhari dan Muslim) Jadi berasaskan kepada hadis itu dapat disimpulkan bahawa kita sebagai umat Islam sangat dituntut dalam membudayakan amalan bersedekah, lebih-lebih semasa menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan yang penuh berkat itu. 

Dalam soal memberi sedekah itu, semua orang mampu melakukannya sama ada dalam kuantiti yang banyak mahupun sedikit. Apa yang utama ialah sikap dan niat kita mesti menjuruskan kepada ikhlas kerana Allah SWT. Banyak yang boleh seseorang sumbangkan sebagai sedekah pada bulan Ramadan ini. Antaranya ialah memberikan makan minum kepada orang berpuasa. Dalam masyarakat Melayu, menyediakan juadah untuk berbuka sentiasa diadakan di masjid, surau mahupun di madrasah. Hal itu sangat mulia dan wajar diteruskan. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,’ Barang siapa memberikan makanan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa, maka ia memperoleh pahala sama dengan orang yang berpuasa; sedangkan pahala orang yang berpuasa itu sendiri tidak berkurang sedikit pun. (Hadis At Tirmidzi) Hadis ini mendorong kita umat Islam supaya tidak mementingkan diri sendiri pada bulan Ramadan, akan tetapi menggalakkan umatnya menjaga kepentingan orang lain. 

Alangkah indahnya tuntutan Islam ke atas umatnya kerana dengan pengamalan bersedekah khususnya ketika bulan Ramadan pasti membibitkan rasa kebersamaan dan semangat ukhwah yang mantap dalam kalangan ummah. 

Justeru, ketika kita sedang asyik menunaikan ibadah berpuasa di bulan Ramadan ini, segala amalan sunat dan amal makruf seperti bersedekah seharusnya diperbanyakkan dengan satu niat, hanya ingin mendapat reda Allah. Insya-Allah mereka yang pemurah dalam bulan Ramadan itu pasti ‘dekat dengan Allah’ dan Allah SWT meredainya serta diberikan ganjaran pahala yang besar.

Sumber: Berita Harian Online

Cara Nabi Berpuasa

baca quran di bulan ramdhan , sunnah Nabi Muhammad
Baca quran di bulan ramdhan , sunnah Nabi Muhammad saw
Assalamualaikum, Ramadhan adalah bulan mulia. Bulan ini umat Islam diwajib berpuasa selama sebulan bermula 1 Ramadhan hingga akhir Ramadhan 29 atau 30 Ramadhan. Bagaimana Nabi berpuasa. Kita perlu tahu cara-cara nabi Muhammad s.a.w berpuasa.Apa yang nabi buat, apa yang nabi larang, apa ibadat nabi. Berikut ialah cara-cara nabi berpuasa seperti yang di bincang oleh Ustaz Amin.
Nabi berpuasa dengan menjaga lima perkara:-
1. Dengan menunaikan juga perkara wajib yang lain.
Ramai orang berpuasa, tapi sembahyang tak jaga, lepas sahur tidur balik, banguh pukul 8 pagi baru solat. Ada yang tidur, dari pukul 10 pagi, sampai pukul 6 petang, baru bangun. Zohor ke mana, asar pun lambat.
Jadi, Nabi berpuasa dengan menjaga perkara wajib yang lain. Wajib itu banyak kategori.
i. Perkara wajib dalam diri
sembahyang, menuntut ilmu, zakat,
ii. Perkara wajib dalam keluarga
Nafkah, menjaga keluarga, mendidik keluarga
iii. Perkara wajib pada masyarakat
Menjaga keamanan masyarakat
2. Menjaga diri dari yang haram
Nabi berpuasa dengan menjaga perkara yang diharamkan seperti berdusta, mengumpat, sumpah palsu, memandang dengan syahwat. Jika seorang isteri menjadi derhaka, jika seorang anak menjadi anak yang derhaka, jika suami menjadi suami tidak menunaikan tanggungjawab.
Kepentingan menjaga perkara haram ini hingga Nabi pernah berkata bahawa, ramai orang yang berpuasa tidak ada apa bagi puasanya melainkan lapar dan dahaga sahaja.
3. Membanyakkan amalan yang sunat
Banyak benda sunat yang disuruh kita buat seperti bersahur memperbanyakkan sembahyang sunat memperbanyakkan membaca quran, menghadiri majlis Ilmu, bersegera berbuka ketika telah masuk waktu, solat tarawikh, solat malam dan lain-lain lagi.
4. Menghindarkan yang makruh
Perkara makruh seperti bercakap yang sia-sia, mendengar perkara yang sia-sia, memberus gigi setelah waktu zohor dan sebagainya
5. Memikirkan kebesaran Allah
Nabi berpuasa dengan banyak mengingati Allah. Baginda akan selalu bertafakkur, membaca Quran, melihat kebesaran Allah, berzikir dan sebagainya.
Dengan banyak mengingati Allah, maka hati ini akan terus dibimbing oleh Allah swt.
Inilah lima perkara, bagaimana Nabi berpuasa. Semoga dengan mencontohi Nabi berpuasa, kita akan lebih menjaga kualiti puasa kita. Semoga, ketaqwaan yang dikurniakan kepada orang yang berpuasa, diberikan kepada kita, dan semoga Allah terus memberikan kebaikan kepada kita di dunia mahupun di akhirat.
Dipetik dari ustaz Amin

Jenis-Jenis Pembaziran Bulan Ramadhan

jangan membazir di bulan puasaRamadhan ialah bulan yang mulia, Allah melarang umat Islam membazir , bukan sahaja di bulan Ramadhan tetapi juga di bulan-bulan yang lain. Tetapi disebabkan godaan nafsu yang kuat bulan puasa ini, dikatakan bulan yang mencabar terhadap konsep puasa itu sendiri. Ramai antara kita tidak dapat membezakan antara keperluan dan kehendak. Manakala nafsu manusia memain peranan merangsang keinginan dalam belanja seharian terutama bulan puasa. Membazir ialah amalan syaitan.
Larangan mengenai pembaziran telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 26 dan 27:
“Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhan-Nya”.
Jenis pembaziran yang menjadi amalan umat Islam ialah:
  1. MAKANAN BERBUKA. Penyediaan juadah berbuka atau pembelian juadah yang melampau dan melebihi keperluan sesaorang ialah jenis pembaziran ketara dalam masyarakat kita. Mereka membeli dan belanja ikut nafsu, bila lebih makanan itu akan di buang.
  2. MAKANAN BERLEBIHAN SEMASA BERSEDEKAH ATAU KENDURI DI MASJID : Niat buat kenduri atau sedekah itu amat baik, tetapi apabila makanan yang di sedekah itu terlalu banyak, maka jemaah yang datang tak mampu makan, malah setengah makanan itu terbuang dan ia amat membazir. Perkara yang sedih ialah pembaziran dilakukan di rumah Allah. Setengah makanan itu rosak dan basi. Ini juga mendukacita dan tidak tercapat matlamat puasa dan sedekah di bulan Ramadhan ini.
  3. MEMBAZIR MEMBELI PERSIAPAN RAYA: Ramai yang menukar peralatan rumah, pakaian, perabot dan sebagainya kerana alasan kita nak raya. Tapi ramai yang tak sedar setengahnya boleh menjurus kepada pembaziran, jika kita belanja mengikut nafsu dan berlebihan. Setengah dari kita ada perasaan menunjuk-nunjuk dengan jiran, ini yang parah.
  4. MEMBAZIR BELANJA MEMBELI MERCUN DAN BUNGA API : Ini adalah amalan yang perlu di elakkan. Latih anak kita supaya jauh dari permainan ini, kerana ia membazir wang, membahaya dan salah di sisi undang-undang
  5. MEMBAZIR MASA : Membazir masa yang tak sedar. Tetapi ramai yang buang masa dengan borak kosong, lepak dan buat aktiviti tak faedah. Ini bulan yang perlu diisi dengan amalan baik, kebajikan dan ibadat.
  6. BUKA DI TEMPAT MEWAH ? : Adakah ini keperluan atau kehendak, saya tak mahu ulas, nanti orang kaya marah, tapi kita boleh fikir sendiri, kadang makanan di hotel sama dengan di pasar ramadhan, cuma di hotel lebih selesa, itulah bezanya!. Namun harga di hotel kadang 10x ganda? membazir atau tidak.
Seseorang itu perlu untuk berbelanja sekadar diukur dengan kemampuan sebenar sahaja walaupun kemampuannya untuk berbelanja melebihi keperluan sebenar. Sebaik-baiknya ialah berbelanja secara sederhana sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Furqan ayat 67 yang bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya)  Perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil ) itu”.

Tips Berbelanja Di Bulan Ramadhan


Yang pasti, bulan Ramadhan ini, anda perlu juga mengawal kewangan dan perbelanjaan anda. Janganlah pula perbelanjaan kita lebih banyak di bulan ramadhan berbanding bulan-bulan yang biasa. Lebih-lebih lagi sebagai muslim yg beriman, kita diseru untuk berjimat cermat dan tidak menurut hawa nafsu terutamanya ketika berbuka puasa. Jangan sampai nafsu berbuka mengatasi segalanya.  
Berikut adalah beberapa tips yang praktikal untuk berjimat di bulan puasa:
Tips 1: Masak sendiri di rumah
Menjadi suatu yang janggal sekiranya anda tidak ke bazaar ramadhan untuk membeli juadah berbuka puasa. Betul ke? Untuk penjimatan maksimum, anda tidak perlulah ke bazaar ramadhan sebaliknya masak sahaja juadah berbuka seperti masak makan malam seperti biasa.
Sekiranya anda masih bujang dan berkongi rumah dengan kawan-kawan, bolehlah kumpulkan wang untuk membeli bahan mentah dan masak sendiri. Sudah tentu jimat :)
Tips 2: Merancang perbelanjaan di bazaar ramadhan
Saya tidaklah menghalang anda untuk ke bazaar ramadhan. Sekiranya anda ingin ke sana, silakan. Tiada masalah. Cuma, pastikan anda membuat perancangan sebelum ke bazar. Buat senarai makanan atau barang yg nak dibeli beserta anggaran kos. Sediakan jumlah wang yg diperlukan sahaja di dalam dompet atau beg tangan anda. Jadi, anda hanya membeli makanan seperti dalam senarai anda dengan jumlah wang yang ada di tangan anda sahaja. Semasa inilah kejujuran dan disiplin anda bakal diuji kerana sesungguhnya membeli makanan ketika sedang lapar tidaklah mudah. Lebih-lebih lagi tika nafsu makanmu meluap-luap :)
Tips 3: Berbuka di masjid/surau
Inilah cara paling jimat untuk berbuka puasa. Paling best jika ada masjid atau surau yang menyediakan juadah berbuka sepanjang bulan ramadhan. Ini strategi yang biasa diguna pakai oleh penuntut IPT. Saya dulu-dulu pun buat macam tu tapi bukanlah hari-hari yer :)
Selain itu, anda juga boleh dapatkan bubur lambuk secara percuma di masjid/surau tertentu. Boleh bawak balik untuk berbuka ataupun bersahur. Perjimatan 2 kali ganda. Hehe
Yang penting, niat kena betul dan mengikut syariat. Barulah dikira sebagai amal yg soleh
Tips 4: Elak berbuka puasa di hotel
Berbuka puasa di hotel adalah trend masa kini. Masa saya kecil-kecil dahulu memang takda pon budaya ini. Sekiranya anda nak berbuka puasa di hotel pon, tunggulah bila ada orang atau company yang belanja (kalau ada lah). Kalau tidak , anda perlu membelanjakan lebih RM40 seorang untuk berbuka puasa. Kalau seorang sahaja makan takpalah, tapi kalau anak dah 9 orang, tambah lagi dengan mak ayah kita, banyak tu. Tepuk dada, tengoklah status kewangan anda. Kalau anda mampu tidak mengapa, kalau tak mampu ukurlah baju di badan sendiri J
 Tips 5: Fokus kepada ibadah dan elak ber”shopping”
Ketika bulan ramadhan inilah usahawan yang menjual makanan, kurma, kuih raya, baju raya dan lain-lain mengaut keuntungan disebabkan permintaan yang tinggi. Sehinggakan kita sebagai pembeli berkali-kali keluar di waktu malam dan siang (atau ada yg tak pergi solat terawih dan solat jemaah) untuk membeli barang-barang keperluan untuk raya. Inilah alasan biasa yang saya dengar.
Cadangan saya, belilah baju raya dan kelengkapan lain sebelum ramadhan. Biarlah tinggal sedikit sahaja barang-barang nak nak dibeli menjelang aidilfitri nanti. Taklah nanti kita disibukkan dengan ‘shopping’ hingga lalai dalam beribadah di bulan ramadhan. Fokus kepada ibadah dan letakkan matlamat yang tinggi di bulan ini. Kesannya, anda akan mendapat pahala yang berlipat ganda dan dapat berjimat dengan tidak membeli barang-barang yang tidak perlu setiap kali keluar “shopping”.
Akhir kata, rebutlah peluang berjumpa dengan ramadhan pada tahun ini dengan sebaik-baiknya. Belum tentu kita masih berpeluang untuk merasai Nikmat ramadhan pada tahun hadapan. Semoga ramadhan kali ini lebih baik daripada tahun yang lalu.
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan bagimu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan pada orang-orang sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu bertaqwa” (Al-Baqarah:183)
“Barangsiapa mendirikan puasa ramadhan dengan penuh keimanan dan kebaikan, maka akan diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu” (HR Bukhari & Muslim)
“Seorang hamba yang berpuasa dalam sehari di jalan Allah, maka akan dijauhkan Allah orang tersebut pada hari itu wajahnya dari neraka sejauh 70 musim dingin.” (HR Bukhari & Muslim)
“Sesungguhnya puasa itu perisai. Maka jika salah seorang dari kamu berpuasa, jangan berkata keji dan kasar. Kalau dia dicela atau hendak diperangi seseorang, hendaklah ia berkata, sesungguhnya aku sedang berpuasa.” (HR Bukhari & Muslim)
 Selamat berpuasa dan beramal!
Ikhlas,
 MUHAMMAD IRFAN
Perancang Takaful Anda

IBADAH PUASA DARI SUDUT SAINS

Kewajipan Berpuasa.
Firman Allah ( Ayat Al-Baqarah ayat 183 dan 185 )
” Wahai orang-orang beriman ! Kamu diwajibkan berpuasa sebagimana yang diwajibkan atas orang orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa..

Bagi orang-orang Islam yang beriman, bulan Ramadhan adalah bulan yang dinanti-nantikan ketibaannya oleh setiap ummat islam, memandangkan ia bulan yang mulia dan memberi begitu banyak manfaat dan keistimewaan, faedah, fadhilat dan masa depan yang cerah bagi mereka yang tahu dan menghayatinya.
Keutamaan Ramadhan
Terdapat puluhan hadis Rasulullah saw yang menjelaskan tentang fadhilat dan keutamaan pusa di bulan Ramadhan, bukan sahaja untuk manafat ummat Islam di akhirat kelak, malah ianya memberi faedah yang besar untuk kesihatan tubuh badan manusia di dunia ini.

Antara fadhilat dan kelebihan berpuasa di bulan ramadhan.
1. Pintu Langit dibuka
2. Pintu-pintu Syurga Di Buka
Fadhilat yang lain-lain
1. Mereka yang berpuasa akan mendapat balasan syurga
2. Orang yang berpuasa dimakbulkan permintaanya oleh Allah SWT
3. Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan iaitu semasa berbuka dan apabila bertemu dengan Allah pada hari kiamat kelak
4. Orang yang berpuasa mendapat peliharaan Allah Swt
5. Orang yang berpuasa dengan sempurna dijanjikan mahligai yang indah di syurga
6. Setiap kali sijud orang yang berpuasa, dikurniakan seribu tujoh ratus kebajikan, dibinakan mahligai di syurga dan tujuh puloh ribu malaikat memohon keampunan baginya dari pagi hingga petang.

Amal Ibadah di Bulan Ramadhan
Dalam khutbah terakhir bulan Sya’ban untuk persediaan menghadapi bulan Ramadhan, Rasulullah saw telah memberi nasihat kepada ummat Islam supaya menyempurnakan amal ibadah sepanjang bulan ramadhan, antaranya ialah:
1. Solat sunat Tarawih
2. Solat-solat sunat yang lain
3. Bantu membantu sesama umat islam seperti bersedekah dan seumpamanya
4. Memberikan hidangan berbuka puasa
5. Banyakkan membaca tahlil
6. Banyakkan beristighfar dan bertaubat, memohon keampunan kepada Allah swt
7. Banyakkan berdoa memohon syurga dan perlindungan dari azab neraka
8. banyakkan bersabar, kerana bulan Ramadhan adalah bulan kesabaran.
9. Tinggalkan dan jauhi dari segala perbuatan maksiat dan kemungkaran, kerana ia boleh menghapuskan ganjaran pahala ibadah kita.

Oleh itu marilah sama-sama kita berpuasa dengan seikhlas-ikhlasnya. Jangan kita hanya berpuasa, kerana ikut orang lain berpuasa atau kerana bapa kita puasa, maka kita juga kena puasa. Hayatilah kelebihan-kelebihan berpuasa, agar kita sempurna di dunia dan di akhirat.

KEBAIKAN BERPUASA DARI SUDUT SAINS :
Para penyelidik ilmu perubatan telah membuktikan bahawa puasa dapat membuang toksik / racun dari badan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan sistem imunisasi tubuh dalam melawan penyakit. Menurut Dr. Mac Fadon, seorang doktor dari Amerika, “Puasa adalah seperti tongkat ajaib yang dapat menyembuhkan penyakit yang membabitkan perut.” Banyak kejayaan beliau mengubati pesakit2nya dengan menganjurkan mereka agar berpuasa sebagai alternatif kepada ubat2 moden. Dan puasa bukan sahaja dapat menjaga kesihatan dan melawan penyakit bahkan dapat juga menajamkan minda kita.


Dalam ilmu biologi, ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Sebab itulah apabila kita makan sampai terlalu kenyang, otak kita akan menjadi lemah untuk berfikir dan tubuh pun akan rasa mengantuk dan malas. Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang kepada diri kita untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal yang berkesan.

 
Dr. Alan Cott, Seorang pakar perubatan Amerika Syarikat melaporkan terhadap penyelidikan psikologi membuktikan bahawa puasa mempengaruhi darjah kecerdasan seseorang. Ujian dilakukan terhadap sekumpulan orang yang rajin berpuasa dan sekumpulan orang yang tidak berpuasa. Keputusannya, ternyata menunjukkan bahawa orang yang rajin berpuasa memperolehi skor (markah) yang jauh lebih tinggi dalam ujian berbanding dengan orang yang tidak berpuasa.



Puasa juga insyaAllah dapat menyembuhkan pelbagai penyakit. Suatu kongres antarabangsa bertemakan “Kesihatan dan Ramadhan” telah diadakan di Casablanca, Morocco pada tahun 1996. Pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia telah membentangkan lebih kurang 50 kajian ketika itu. Kesemua kajian itu mengesahkan puasa mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia. Kesimpulan kongres itulah yang menekankan 4 fadhilat berpuasa dari sudut kesihatan yang jelas iaitu, menurunkan gula darah, tekanan darah, lipid darah dan berat badan.
Sedangkan dunia perubatan pula telah mengenal pasti pelbagai punca penyakit yang dialami masyarakat dunia masa kini dan antara penyakit yang paling kerap berlaku di dunia masa kini menurut Pertubuhan Kesihatan SeDunia ialah disebabkan sindrom metabolik. Sindrom ini meliputi 4 masalah iaitu:
(1) glukos darah tinggi
(2) Tekanan darah tinggi
(3) Lipid darah tinggi dan
(4) lebih berat badan atau obesiti.


Dengan hanya meneliti penyakit utama dunia kini dan kesan puasa pada tubuh badan dapatlah kita simpulkan bahawa berpuasa adalah sangat bersesuaian untuk mencegah penyakit sindrom metabolik yang melanda dunia masa kini.
Al-Harits seorang doktor Arab mengatakan :
“Yang banyak membunuh manusia adalah kerana manusia suka memasukkan makanan pada perut sebelum makanan dalam perut dicerna.”
Dr. Alexis Carel seorang doktor antarabangsa dan pernah memperolehi penghargaan nobel dalam bidang kedoktoran telah menyatakan bahawa dengan berpuasa dapat membersihkan pernafasan.
Puasa dapat manambahkan kesegaran dan kesihatan pada tubuh, kerana perut yang sentiasa bekerja memproses makanan juga perlu berhenti bekerja buat sementara waktu. Dan ketika berpuasa itu lah perut kita berehat dan mendapat kesegaran semula untuk bekerja kemudiannya.
Sama juga ibaratnya seperti enjin kereta yang mungkin tidak tahan lama jika dipaksa untuk sentiasa berjalan tanpa henti.Sudah pastinya kereta perlu diservis selalu bagi ianya bisa berjalan lancar dan tanpa gangguan.Begitu jua dengan tubuh manusia yang amat kompleks daripada kereta dimana amat perlu diservis biarpun hanya setahun sekali selama sebulan,malah lebih baik sekiranya diservis setiap bulan dengan berpuasa.Wallahhua’lam.

Manfaat Puasa Dari Sudut Kesihatan



Mari kita melihat kepada kata-kata hikmah dan nasihat daripada pemikir-pemikir tersohor Islam yang menyentuh aspek puasa dan pemakanan :-


Lugman Al-Hakim berkata kepada anaknya,
“Wahai anakku, apabila perut dipenuhi makanan, maka gelaplah fikiran, bisulah lidah dari menuturkan
hikmah (kebijaksanaan) dan malaslah segala anggota badan untuk beribadah.”


Abdullah bin Mas’ud menyatakan,
“Empat perkara yang mengelapkan hati atau melembapkan otak : perut yang terlalu kenyang, berkawan dengan orang yang suka membuat maksiat, tidak insaf terhadap dosa-dosa yang lalu dan panjang angan-angan.”


Al-Hasan Al-Bashri berkata,
“Wahai Bani Adam, makanlah sepertiga perutmu, minumlah sepertiga perutmu dan biarkan sepertiga untuk bernafas dan berfikir.”
“Barangsiapa mampu menguasai perutnya maka dia akan mampu menguasai amal solehnya.”


Kesimpulan dari penyataan tersebut, rata-rata menyatakan bahawa kawal pemakanan kita kerana terlebih makan boleh membuat otak kita lembab dan badan rasa malas. Dari sini kita dapati bahawa berpuasa itu banyak kebaikkannya terutama dari sudut kesihatan.


Hasil daripada kajian yang dibuat oleh 2 pengkaji Islam dari Syria menyatakan bahawa dengan berpuasa antaranya dapat :
  1. Memberi peluang kepada sistem penghadaman daripada terus berfungsi tanpa henti.
  2. Dapat membangkitkan semula selera makan selepas berpuasa.
  3. Berpuasa dapat mencergaskan badan dan minda kita.
  4. Menolong melambatkan proses penuaan.
  5. Membantu proses perkumuhan dan dapat menghapuskan toksid atau racun di dalam badan kita.
  6. Berpuasa membolehkan organ-organ badan kita mengemaskini sistem pemprosesan supaya ia dapat berfungsi semula dengan berkesan.

Kelebihan Puasa Dari Sudut Kesihatan


Puasa Ramadan yang difardukan kepada umat Islam bukan saja ujian kepada keimanan menahan nafsu makan minum, ibadat itu juga memberi kebaikan kepada tubuh badan terutama untuk menghapuskan toksin yang tersimpan selama ini.

Pengamal Perubatan dan Penceramah Motivasi, Dr Danial Zainal Abidin, berkata selepas sekian lama badan menerima makanan dan minuman yang memudaratkan, puasa Ramadan memberi peluang kepada manusia mengembalikan ketahanan tubuh badan.

Katanya, makanan serta minuman yang diambil sepanjang 11 bulan sebelum kedatangan Ramadan mungkin halal dari segi sumber dan bahan asasnya tetapi tidak semestinya makanan itu baik kepada kesihatan.

Oleh itu, sebulan Ramadan yang ditetapkan Allah untuk umat Islam menunaikan rukun Islam ketiga membawa bersama hikmah kefarduannya menurut pandangan sains berdasarkan kajian dilakukan pelbagai pihak mengenai kaitan puasa dari aspek kesihatan.

“Memang asasnya niat puasa itu penting supaya kita tidak terbabas. Jangan kata niat kita puasa untuk kuruskan badan atau kurangkan kolesterol kerana tujuan utama puasa adalah mencapai status takwa dengan mentaati, sentiasa mengingati serta mensyukuri nikmat Allah.

“Namun di sebalik kewajipan itu tidak dinafikan banyak kebaikan diperoleh berdasarkan kajian dibuat mengenai kesan ibadat puasa terhadap sistem badan. Ini kerana makanan halal yang kita makan tidak semestinya toyyibah atau berkhasiat kepada tubuh badan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Ramadan dan Sains pada Seminar Penghayatan Ramadan anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Hospital Pakar An Nur dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM).

Seminar bertemakan Puasa Membentuk Ketakwaan dan Kesejahteraan membabitkan kira-kira 150 pengamal perubatan, kakitangan hospital kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan. Sebanyak enam kertas kerja dibentangkan merangkumi aspek ibadah serta panduan perubatan kepada pesakit di bulan Ramadan.

Pada pembentangan itu, Dr Danial menjelaskan kajian dilakukan pelbagai pihak mengenai kesan makanan terhadap sikap manusia serta keberkesanan puasa membantu mengatasi masalah kesihatan yang dihadapi sesetengah pihak sebagai panduan masyarakat umum.

Antara diketengahkan ialah laporan CNN.com mengenai makanan ringan boleh menyebabkan kerosakan jantung dan kumpulan berisiko adalah remaja belasan tahun yang ketagih makanan ringan. Kajian oleh Universiti Toronto pula mendapati makanan ringan boleh merosakkan otak.

Buku Dr Jack Goldstein mengenai puasa memberitahu amalan itu dapat membina kekuatan tubuh badan, sementara Dr Shahid Athar dalam laporan mengenai rumusan Kongres Kesihatan dan Ramadan yang diadakan di Casablanca pada 1994 turut memperakukan puasa Ramadan dari sudut sains dapat meningkatkan ketahanan tubuh.

Justeru, menurut Dr Danial, masyarakat tidak perlu bimbang terhadap kesan puasa kepada tubuh dan sistem imunisasi kerana terbukti amalan menahan diri daripada lapar dan dahaga pada siang hari bermula dari waktu imsak hingga berbuka memberi lebih banyak manfaat daripada kemudaratan.

“Sahur jika kita lakukan dikira ibadat dan faedah sains membuktikan dalam tempoh 24 jam, makanan paling penting ialah sarapan pagi. Yang malas sarapan adalah calon untuk penyakit obesiti, dia-betes dan sakit jantung. Jadi sahur ambil tempat sarapan pagi dan jika tidak makan 12 jam selepas itu pun kita tak ada apa-apa.

“Nabi galakkan kita bersahur pun sudah cukup saintifik. Begitu juga amalan makan kurma ketika berbuka puasa kerana kelebihan kurma mengandungi vitamin A, B1, B2, B3, B5 dan 20 asid amino yang bagus untuk sistem penghadaman selain memberi tenaga,” katanya.

Katanya, Ramadan bulan pendidikan untuk mentarbiah fikriah, jasadiah serta ruhiah dengan memastikan niat yang betul melaksanakan ibadat puasa dan pada masa sama mengambil kesempatan diberi Allah menggandakan ibadat sunat bagi merebut ganjaran dijanjikan.

Dr Danial berkata, kajian oleh Dr Ebrahim Kazim dari Akademi Islam, Trinidad, menunjukkan pada bulan Ramadan hormon yang banyak mempengaruhi tingkah laku manusia dinamakan opioids dirembeskan dalam tubuh menjadikan orang yang berpuasa dengan betul, banyak bertadarus serta berzikir lebih tenang.

Sementara Dr Ahmad E Kadi yang membuat kajian mengenai solat serta penyembuhan merumuskan hanya dengan mendengar bacaan al-Quran dapat menurunkan tekanan darah, mengurangkan nadi serta memberi kerehatan kepada otot.

“Satu lagi kajian tetapi belum disahkan, sebutan kalimah al-Quran seperti Alif Lam Min dan Ya Sin, baik untuk jantung serta otak. Namun, ini masih dalam kajian lagi. Apapun, nasihat saya kepada umat Islam, Ramadan ini jangan fokus masalah tetapi fokus kepada Allah, masalah akan reda,” katanya.

20 July 2012

Salam Ramadhan Al-Mubarak



Sekali lagi munculnya bulan Rejab dan diikuti pula bulan Syaaban dan selepas itu Ramadan pasti akan menjengah. Mungkin ramai yang menganggap, masih lambat lagi untuk meraikan kedatangan Ramadhan, tetapi umat Islam yang ingin mencari keredhaan Allah dan ingin mendapat ketaqwaan kita haruslah bersedia menyambut ketibaan Ramadhan. Sebenarnya persiapan untuk menyambut Ramadhan harus dilakukan dua bulan lebih awal iaitu ketika bulan Rejab dan Syaaban.

Ramadhan diibaratkan sebagai suatu jihad kerana pada bulan itu umat Islam berperang melawan hawa nafsu. Jihad seumpama itu disifatkan sebagai jihad besar berdasarkan suatu peristiwa yang mengisahkan Rasulullah s.a.w. pulang dari medan perang membawa kemenangan, ketika umat Islam bergembira meraikan kejayaan itu, Rasulullah s.a.w. bersabda, “ Kita baru saja balik daripada jihad yang kecil. Kita akan masuk ke dalam jihad yang besar.” Para sahabat kehairanan dan baginda menjelaskan, “Sebenarnya bulan Ramadhan dianggap suatu jihad. Sebelum keluar berjihad, lengkapkan semua persiapan. Kita tidak boleh masuk berperang tanpa persediaan kerana pasti akan kalah.”

Puasa juga dikatakan ibadat yang mempunyai masa tetapi tidak mempunyai tempat. Umat Islam menunaikan ibadat puasa pada masanya iaitu bulan Ramadhan. Tetapi tiada tempat khusus untuk berpuasa, sama ada di tempat aman, di medan perang atau di Negara yang umat Islamnya adalah minority. Menyambut Ramadhan harus ada persiapan tersendiri. Sebagai orang Islam, kita digalakkan menyemak semula persiapan sebelum benar-benar melangkah ke bulan Ramadhan. Antara persediaan yang perlu dibuat ialah:-

 Persiapkan diri dengan kekuatan mental dan spiritual, kerana pada bulan Ramadhan ini, biasanya kita akan kurang tidur dan tidak makan siang hari tetapi harus bekerja seperti biasa. Oleh itu latihlah diri kita untuk masuk tidur lebih awal daripada kebiasaan. Usaha ini akan memudahkan kita bangun awal pagi untuk mendirikan solat subuh. Apabila terbiasa, bangun untuk bersahur juga lebih mudah.

 Galakkan diri berpuasa sunat pada bulan Rejab dan Syaaban. Dua bulan berkenaan khusus sebagai latihan sebelum Ramadhan benar-benar hadir. Lagipun berpuasa sunat dalam bulan Rejab dan Syaaban ini begitu besar ganjarannya.

 Banyakkan amalan sunat lain(selain puasa sunat ) pada bulan Rejab dan Syaaban sebagai persediaan. Dengan ini, kita tidak akan terasa begitu terbeban dengan puasa Ramadhan dan Tarawih apabila tiba masanya nanti.

 Didik dan biasakan diri dengan amalan-amalan sunat seperti bersolat malam, bersedekah dan membaca al-Quran. Hiburkan halwa telinga dengan memutarkan kaset atau cd bacaan al-Quran. Sekurang-kurangnya kita akan dapat semangat untuk menyambut Ramadhan nanti.

 Bagi golongan Muslimah, pastikan semua hutang puasa tahun lepas sudah dibayar. Ini amat penting kerana jika kita tidak membayarnya sebelum kedatangan Ramadhan maka selepas Ramadhan nanti hutang kita akan berganda dan perlu membayar fidyah. Lagipun jika sudah sekali kita tidak membayarnya maka ia akan menjadi kebiasaan pada diri kita.

 Muslimah juga digalakkan mengambil peluang membaca al-Quran seawal kedatangan Rejab dan Syaaban lagi supaya mereka dapat khatam bacaan al-Quran pada bulan Ramadhan (sebelum Syawal). Fitrah wanita yang dikunjungi ‘cuti syarie’ tidak memungkinkan mereka berpuasa dan membaca al-Quran pada hari tertentu. Kerana itu, mereka digalakkan untuk memulakan tadarus al-Quran lebih awal. 

 Bagi muslimah juga, jangan kecewa sekiranya dikunjungi haid pada bulan Ramadhan dan anda tidak boleh berpuasa. Jangan rasa begitu susah untuk membayar hutang puasa tahun lalu. Terima dengan redha kerana ia mungkin untuk menduga keimanan. Ramai kaum isteri dan ibu ‘bercuti puasa’ tetapi sanggup bangun dinihari menyediakan sahur untuk suami dan anak-anak. Ini merupakan pengorbanan besar anda sebagai muslimah dan pasti akan mendapat ganjaran daripada Allah s.w.t.

 Kepada anak-anak kecil yang belum memahami puasa, ibu bapa harus memberikan penjelasan, bahawa puasa bukanlah satu bebanan dan penyeksaan kepada mereka. Perjelaskan mengenai fadilat puasa supaya mereka berminat dan tidak sabar-sabar menanti kehadiran bulan mulia itu.


 Jangan lupa matlamat sebenar berpuasa Ramadhan ialah untuk mencapai ketaqwaan. Tanamkan dalam hati bahawa puasa sebagai ibadat dan beroleh ketaqwaan. Persoalan lain seperti mahu menguruskan badan hanyalah perkara sampingan.

ketahuilah bahawa bulan Ramadhan adalah merupakan peluang terbaik untuk kita melipatgandakan ibadah-ibadah wajib dan sunat kerana semua itu akan mendapat pahala berlipat kali ganda daripada Allah s.w.t. Ingatlah andai kita melakukan kesalahan atau kita tidak melakukan apa yang Allah perintahkan sebaliknya kita melakukan segala larangan Allah dalam bulan Ramadhan, itu semua adalah datang dari kita sendiri dan hawa nafasu kita sendiri kerana dalam bulan Ramadhan ini iblis dan syaitan telah diikat dan dikurungkan oleh Allah s.w.t .

selamat meraikan kedatangan Ramadhan, semoga kedatangan Ramadhan tahun ini lebih bermakna dan memberi seribu keinsafan kepada kita dan orang-orang sekeliling kita amin..amin..amin..

14 July 2012

KEWAJIPAN BERWASIAT

Al Baqarah 2:240 - Dan orang-orang yang akan meninggal dunia di antara kamu dan meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isterinya, (yaitu) diberi nafkah hingga setahun lamanya dan tidak disuruh pindah (dari rumahnya). Akan tetapi jika mereka pindah (sendiri), maka tidak ada dosa bagimu (wali atau waris dari yang meninggal) membiarkan mereka berbuat yang ma'ruf terhadap diri mereka. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. 


1. 
Apakah itu faraid dan adakah ia hanya kena-mengena dengan yang sudah tiada?
Hukum Faraid adalah khusus untuk harta yang telah ditinggalkan oleh pemiliknya yang sudah meninggal dunia.
Apabila seseorang itu membahagikan kesemua hartanya kepada orang lain, warisnya atau tidak, semasa dia hidup, itu namanya "Hibah" (hadiah). Dan itu halal dalam Islam. Namun, jika seseorang itu melakukan demikian sehingga menzalimi ahli waris lain maka dia telah berdosa.
2. 
Bolehkah harta peninggalan dibahagikan sama rata kepada waris-waris dengan persetujuan masing-masing?
Pembahagian harta pada hukum asalnya adalah mengikut hukum faraid. Setiap waris perlu mengetahui bahagian saham masing-masing mengikut hukum Islam. Tetapi sekiranya waris-waris bersetuju untuk membahagi sama rata harta tersebut, maka hukum pembahagian tersebut adalah dibolehkan.
3. 
Apa hukumnya orang yang tidak setuju dengan pembahagian harta mengikut faraid?
Hukum faraid merupakan satu perintah yang ditentukan oleh Allah s.w.t melalui firmannya dalam ayat-ayat yang jelas dalam Al-Qur'an. Ia bertujuan untuk menjamin keadilan dan hak setiap ahli waris serta menjaga silaturahim antara keluarga. Sebagai umat Islam, kita wajib mematuhi hukum ini.
Walau bagaimanapun, sekiranya semua ahli waris bersetuju dan redha untuk membahagikan harta ini dengan cara lain, ia boleh dilakukan kerana ia bersangkut dengan hubungan sesama manusia.
4. 
Perlukah wang simpanan ibubapa yang meninggal dunia dibahagikankepada anak–anaknya mengikut hukum Islam?
Wang simpanan arwah ibu atau bapa perlu dibahagikan mengikut hukum faraidh. Akan tetapi para ahli waris boleh menghalalkan bahagian yang diterima untuk diserahkan kepada ahli waris yang lain, contohnya kepada ibu.
5. 
Bilakah hak waris bermula?
Hak waris bermula apabila kematian seseorang itu telah dipastikan dan setelah dilaksanakan semua hal-hal yang bersangkutan dengan harta itu. Iaitu:
1. Perbelanjaan mengurus jenazah secara berpatutan.
2. Membayar hutang-hutang si mati, samada hutang dengan manusia atau hutang dengan Allah termasuk zakat dan fidyah.
3. Wasiat yang tidak melebihi 1/3 dan bukan untul waris.
4. Baki jumlah daripada harta tersebut menjadi pusaka yang boleh
6. 
Adakah wajib membuat wasiat ke atas harta peninggalan?
Mengikut ajaran Islam, orang Islam sangat–sangat digalakkan membuat wasiat supaya tidak meninggalkan masalah kepada warisnya yang hidup dan kepada dirinya.
7. 
Bolehkah seseorang itu membuat wasiat untuk seorang waris agar mendapat bahagian lebih daripada yang telah ditetapkan?
Wasiat untuk ahli waris tidak sah kerana ahli waris mempunyai bahagian yang telah ditetapkan dalam hukum faraid.
8. 
Bolehkah seorang Islam itu membuat wasiat agar harta pusakanya dibahagikan menurut wasiat yang ditulis?
Di dalam Islam, pembahagian harta pusaka orang yang telah meninggal dunia adalah menurut faraid seperti yang telah ditetapkan di dalam Al-Qur’an. Tujuan berwasiat adalah untuk memberi harta pusaka kepada yang tidak mewarisi dan ia tidak boleh melebihi 1/3 harta tersebut. Hukum faraid yang ditetapkan di dalam Al-Qur’an penuh dengan hikmahnya, seperti mana perintah-perintah Allah s.w.t yang lain berhikmah juga dan adalah baik kita sebagai orang Islam menghormati perintah tersebut kerana Allah Maha Mengetahui.
9. 
Apakah hukumnya wasiat yang melebihi 1/3 dari harta pusaka?
Wasiat yang melebihi 1/3 bahagian dari harta pusaka hukumnya bergantung kepada keredhaan para waris yang berhak. Jika tidak ada keredhaan mereka, maka wajib dikurangkan kepada had maksimum wasiat iaitu 1/3 dari harta pusaka dan selebihnya hendaklah dibahagikan kepada waris. Izin itu hanya diakur sah jika diberikan waris setelah pembuat wasiat tersebut meninggal dunia.
10. 
Bolehkah seorang isteri itu membuat wasiat kepada orang lain dan tidak pada suaminya sendiri?
Wasiat termasuk di dalam perkara-perkara yang harus. Wasiat dianggap sah jika diberikan kepada sesiapa sahaja yang bukan daripada kalangan pewaris dan tidak melebihi 1/3 daripada harta pusaka.
11. 
Apakah boleh seseorang Islam membuat wasiat yang mana pewarisnya adalah orang bukan Islam?
Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa adalah dibolehkan seseorang Islam membuat wasiat kepada seseorang bukan Islam selagi ianya tidak melebihi 1/3 dari harta pusaka tersebut.
12. 
Dimanakah kedudukkan anak luar nikah dari segi mewarisi harta arwah ayahnya?
Garis pandu bagi seorang anak luar nikah kepada bapanya adalah seperti berikut:
1) Jika bapa tersebut mengahwini ibunya, maka bapa tersebut menjadi bapa tiri, bukan bapa kandung.
2) Dia tidak boleh dibin atau bte kan kepada bapa tiri itu.
3) Dia tidak boleh mewarisi harta bapa tiri itu, dan juga sebaliknya, bapa tiri itu tidak boleh mewarisi hartanya kelak.
4) Dia boleh menerima wasiat dari bapa tirinya, kerana dia bukan ahli waris bapa tirinya.
5) Bapa tirinya tidak boleh menjadi wali nikah baginya.
Jika seorang bapa tiri ingin memberikan sebahagian dari hartanya kepada anak tirinya sewaktu dia hidup, maka itu dianggap sebagai hadiah dan tidak tertakluk pada faraidh.
13. 
Bolehkah mewasiatkan harta kepada anak angkat?
Boleh mewasiatkan harta kepada anak angkat, tetapi tidak boleh lebih dari sepertiga harta pusaka.
14. 
Bolehkah anak tiri mewarisi harta pusaka bapa atau ibu tirinya yang sudah meninggal? Bagaimana pula dengan anak angkat?
Dalam hukum faraid, anak tiri, anak angkat dan isteri yang telah diceraikan semasa hidup tidak dianggap sebagai ahli waris yang berhak. Oleh itu, anak tiri tidak boleh mendesak balu bapa tirinya untuk menjual rumah untuk mereka mendapat bahagian dari rumah tersebut. Kerana mereka tidak berhak mendapat apa-apa dari harta pusaka bapa tirinya. Mereka hanya berhak mendapat harta pusaka dari bapa kandungnya sendiri.
15. 
Jika si mati tidak mempunyai sebarang waris, bolehkah anak angkatnya menuntut seluruh harta peninggalannya?
Anak angkat tidak boleh mewarisi seluruh harta si mati. Ini memandangkan anak angkat itu bukanlah waris yang sah dari sudut hukum agama Islam. Namun demikian sekiranya si mati ada meninggalkan wasiat yang disaksikan oleh 2 orang saksi lelaki dewasa, maka hanya 1/3 bahagian sahaja yang boleh dituntutnya. Yang selainnya mestilah diserahkan kepada Baitul Mal yakni Muis sebagai amal jariah si mati dan digunakan untuk maslahat umum masyarakat Islam di Singapura.
16. 
Yang mana harus diselesaikan dulu? Peninggalan harta atau hutang amalan si arwah?
Mengikut hukum faraid, harta pusaka perlu dibahagikan mengikut urutan berikut:
1) Menyelesaikan segala perkara yang bersangkut-paut dengan harta, seperti hutang si mati
2) Menyelesaikan urusan pengebumiannya secara sederhana
3) Menyelesaikan segala perkara yang bersangkut-paut dengan si mati, seperti Kaffarah puasanya, hajinya, zakatnya.
4) Wasiat si mati
5) Pembahagian kepada ahli waris yang berhak.
17. 
Adakah wang CPF (Central Provident Fund) yang telah di letakkan nama “nominee” oleh si mati kepada seseorang itu menjadi pemilik hartanya secara mutlak?
Wang CPF merupakan harta pusaka si mati. Dalam Islam nama "nominee" yang diletakkan oleh si mati adalah sebagai pengamanah (trustee) dan bukan milik mutlak “nominee” tersebut. Sebagai pengamanah, seseorang itu wajib membahagikan wang tersebut kepada ahli-ahli waris mengikut hukum faraid.
18. 
Adakah wang pampasan dari Skim Insurans CPF Dependents perlu diagihkan mengikut faraid?
Skim Insurans CPF tersebut adalah sebuah skim ko-operatif. Skim ini sama seperti skim Khairat Kematian. Wangnya dianggap halal dan wang pampasannya harus diagihkan menurut hukum faraid.
19. 
Apa hukumnya menerima wang pampasan daripada syarikat insurans?
Wang pampasan insurans dibahagikan kepada dua:
1. Wang yang dibayar oleh pemegang polisi (si mati).
2. Wang lebihan yang diberikan oleh syarikat insurans.
Wang yang dibayar oleh pemegang polisi (si mati) adalah termasuk dalam harta peninggalan yang harus diagihkan menurut hukum faraid.
Wang lebihan yang diterima oleh syarikat insurans dianggap sebagai wang syubhah yang mana status halal dan haramnya adalah kurang jelas. Wang ini harus diberikan kepada BaitulMal agar ia digunakan untuk kebaikan masyarakat
20. 
Adakah flat peninggalan yang telah dibeli oleh seseorang dengan bekas isterinya secara "joint-tenancy" menjadi milik mutlak kepada bekas isteri ketika bekas suami meninggal dunia?
Setelah mengkaji kedudukan "joint-tenancy", Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa flat tersebut bukanlah harta mutlak milik bekas isteri almarhum. Bekas isteri kepada yang meninggal dunia itu hanya mendapat separuh bahagian (50%) daripada nilai harga rumah tersebut. Bahagian ini diperolehi atas sebab hak beliau sebagai pembeli bersama (joint-tenants)
Adapun separuh bahagian yang baki, maka bahagian tersebut adalah milik waris si mati. Bahagian baki ini tidak boleh diberikan kepada bekas isteri si mati kerana mereka telah bercerai sebelum si suami meninggal dunia. Maka bekas isteri tidak mendapat apa-apa bahagian kerana beliau bukan lagi merupakan isteri dan waris kepada si mati.
21. 
Apakah harus difaraidkan jika pembayaran hutang kepada si mati itu dilunaskan?
Jika seseorang itu sudah meninggal dunia, dan kemudian datang seseorang melunaskan hutangnya kepada si mati tersebut, maka duit yang dibayar itu adalah dianggap sebagai harta pusaka yang wajib dibahagikan mengikut hukum faraid. Jika seseorang itu sudah meninggal dunia, dan kemudian datang seseorang melunaskan hutangnya kepada si mati tersebut, maka duit yang dibayar itu adalah dianggap sebagai harta pusaka yang wajib dibahagikan mengikut hukum faraid.
22. 
Berhakkah pewaris meminta segala hutang dibayar kepada si mati sebelum harta warisan diagihkan?
Segala hutang-piutang menjadi tanggungjawab si peminjam membayarnya tidak kira siapa yang meminjamkan. Bagi yang diamanahkan untuk uruskan harta selepas kematiannya berhak untuk mengagihkan hutang tersebut kerana harta itu merupakan harta warisan yang perlu diagihkan mengikut faraid.
23. 
Bolehkah harta pusaka si mati dilaburka dan hasil keuntungannya digunakan untuk membiayai pendidikan anak, cucu dan cicit si mati?
Perkara tersebut boleh dilakukan dengan syarat syarat semua ahli waris yang berhak telah melepaskan bahagian mereka dengan redha.
24. 
Bolehkah seorang wanita yang kematian suaminya menggunakan wang sedekah yang diterima dari kematian itu untuk kegunaan harian?
Wang yang disedekahkan ketika kematian adalah milik keluarga yang hidup maka tidak termasuk di dalam kategori harta pusaka yang perlu dibahagikan mengikut faraid. Maka ia boleh digunakan untuk keperluan harian keluarga si mati.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...