20 July 2012

Salam Ramadhan Al-Mubarak



Sekali lagi munculnya bulan Rejab dan diikuti pula bulan Syaaban dan selepas itu Ramadan pasti akan menjengah. Mungkin ramai yang menganggap, masih lambat lagi untuk meraikan kedatangan Ramadhan, tetapi umat Islam yang ingin mencari keredhaan Allah dan ingin mendapat ketaqwaan kita haruslah bersedia menyambut ketibaan Ramadhan. Sebenarnya persiapan untuk menyambut Ramadhan harus dilakukan dua bulan lebih awal iaitu ketika bulan Rejab dan Syaaban.

Ramadhan diibaratkan sebagai suatu jihad kerana pada bulan itu umat Islam berperang melawan hawa nafsu. Jihad seumpama itu disifatkan sebagai jihad besar berdasarkan suatu peristiwa yang mengisahkan Rasulullah s.a.w. pulang dari medan perang membawa kemenangan, ketika umat Islam bergembira meraikan kejayaan itu, Rasulullah s.a.w. bersabda, “ Kita baru saja balik daripada jihad yang kecil. Kita akan masuk ke dalam jihad yang besar.” Para sahabat kehairanan dan baginda menjelaskan, “Sebenarnya bulan Ramadhan dianggap suatu jihad. Sebelum keluar berjihad, lengkapkan semua persiapan. Kita tidak boleh masuk berperang tanpa persediaan kerana pasti akan kalah.”

Puasa juga dikatakan ibadat yang mempunyai masa tetapi tidak mempunyai tempat. Umat Islam menunaikan ibadat puasa pada masanya iaitu bulan Ramadhan. Tetapi tiada tempat khusus untuk berpuasa, sama ada di tempat aman, di medan perang atau di Negara yang umat Islamnya adalah minority. Menyambut Ramadhan harus ada persiapan tersendiri. Sebagai orang Islam, kita digalakkan menyemak semula persiapan sebelum benar-benar melangkah ke bulan Ramadhan. Antara persediaan yang perlu dibuat ialah:-

 Persiapkan diri dengan kekuatan mental dan spiritual, kerana pada bulan Ramadhan ini, biasanya kita akan kurang tidur dan tidak makan siang hari tetapi harus bekerja seperti biasa. Oleh itu latihlah diri kita untuk masuk tidur lebih awal daripada kebiasaan. Usaha ini akan memudahkan kita bangun awal pagi untuk mendirikan solat subuh. Apabila terbiasa, bangun untuk bersahur juga lebih mudah.

 Galakkan diri berpuasa sunat pada bulan Rejab dan Syaaban. Dua bulan berkenaan khusus sebagai latihan sebelum Ramadhan benar-benar hadir. Lagipun berpuasa sunat dalam bulan Rejab dan Syaaban ini begitu besar ganjarannya.

 Banyakkan amalan sunat lain(selain puasa sunat ) pada bulan Rejab dan Syaaban sebagai persediaan. Dengan ini, kita tidak akan terasa begitu terbeban dengan puasa Ramadhan dan Tarawih apabila tiba masanya nanti.

 Didik dan biasakan diri dengan amalan-amalan sunat seperti bersolat malam, bersedekah dan membaca al-Quran. Hiburkan halwa telinga dengan memutarkan kaset atau cd bacaan al-Quran. Sekurang-kurangnya kita akan dapat semangat untuk menyambut Ramadhan nanti.

 Bagi golongan Muslimah, pastikan semua hutang puasa tahun lepas sudah dibayar. Ini amat penting kerana jika kita tidak membayarnya sebelum kedatangan Ramadhan maka selepas Ramadhan nanti hutang kita akan berganda dan perlu membayar fidyah. Lagipun jika sudah sekali kita tidak membayarnya maka ia akan menjadi kebiasaan pada diri kita.

 Muslimah juga digalakkan mengambil peluang membaca al-Quran seawal kedatangan Rejab dan Syaaban lagi supaya mereka dapat khatam bacaan al-Quran pada bulan Ramadhan (sebelum Syawal). Fitrah wanita yang dikunjungi ‘cuti syarie’ tidak memungkinkan mereka berpuasa dan membaca al-Quran pada hari tertentu. Kerana itu, mereka digalakkan untuk memulakan tadarus al-Quran lebih awal. 

 Bagi muslimah juga, jangan kecewa sekiranya dikunjungi haid pada bulan Ramadhan dan anda tidak boleh berpuasa. Jangan rasa begitu susah untuk membayar hutang puasa tahun lalu. Terima dengan redha kerana ia mungkin untuk menduga keimanan. Ramai kaum isteri dan ibu ‘bercuti puasa’ tetapi sanggup bangun dinihari menyediakan sahur untuk suami dan anak-anak. Ini merupakan pengorbanan besar anda sebagai muslimah dan pasti akan mendapat ganjaran daripada Allah s.w.t.

 Kepada anak-anak kecil yang belum memahami puasa, ibu bapa harus memberikan penjelasan, bahawa puasa bukanlah satu bebanan dan penyeksaan kepada mereka. Perjelaskan mengenai fadilat puasa supaya mereka berminat dan tidak sabar-sabar menanti kehadiran bulan mulia itu.


 Jangan lupa matlamat sebenar berpuasa Ramadhan ialah untuk mencapai ketaqwaan. Tanamkan dalam hati bahawa puasa sebagai ibadat dan beroleh ketaqwaan. Persoalan lain seperti mahu menguruskan badan hanyalah perkara sampingan.

ketahuilah bahawa bulan Ramadhan adalah merupakan peluang terbaik untuk kita melipatgandakan ibadah-ibadah wajib dan sunat kerana semua itu akan mendapat pahala berlipat kali ganda daripada Allah s.w.t. Ingatlah andai kita melakukan kesalahan atau kita tidak melakukan apa yang Allah perintahkan sebaliknya kita melakukan segala larangan Allah dalam bulan Ramadhan, itu semua adalah datang dari kita sendiri dan hawa nafasu kita sendiri kerana dalam bulan Ramadhan ini iblis dan syaitan telah diikat dan dikurungkan oleh Allah s.w.t .

selamat meraikan kedatangan Ramadhan, semoga kedatangan Ramadhan tahun ini lebih bermakna dan memberi seribu keinsafan kepada kita dan orang-orang sekeliling kita amin..amin..amin..

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...