9 karakter orang yang bersih hutang
Bersistematik-Pada kebiasaannya, orang yang bersih hutang adalah seorang yang bersistematik. Mereka peka terhadap aliran wang masuk dan keluar didalam kehidupan mereka. Selain itu, mereka juga mengetahui setiap perbelanjaan yang mereka lakukan. Disebabkan perancangan yang bersistematik inilah akan membuatkan mereka lebih cenderung untuk tidak membeli apa yang mereka rasakan tidak mampu.
Sedar bahawa hutang adalah suatu yang membebankan pada masa hadapan- Ada sesetengah pendapat menyatakan bahawa hutang adalah suatu bentuk perhambaan yang diwajibkan pada masa akan datang. Dimana kita akhirnya mengorbankan pendapatan masa depan hanya untuk kepuasan sementara. Ini secara tidak langsung akan menimbulkan lagi seribu satu kesulitan untuk menempuhi kehidupan akan datang.
Lebih praktikal- Seorang yang bersih hutang juga adalah merupakan seorang yang amat praktikal di dalam kehidupan mereka. Sebagai contoh, mengapa perlu membeli mesin basuh yang baru sedangkan mesin basuh yang lama masih boleh untuk dibaiki? Ini adalah salah satu contoh seorang yang menjalani kehidupan yang praktikal.
Berdikari- Seorang yang bersifat berdikari akan berusaha untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan dengan usaha sendiri. Mereka juga akan memastikan mereka hidup di dalam batas kemampuan, dan berusaha untuk menyimpan wang yang ada untuk kesenangan di kemudian hari tanpa menyusahkan orang lain.
Tidak boros- Sekiranya diperhatikan di keadaan sekeliling, lebih ramai yang berbelanja mengikut keinginan berbanding keperluan. Disebabkan faktor citarasa yang tidak bersesuaian dengan pendapatan mereka inilah, akan membuatkan mereka untuk terus berhutang.
Penyabar- Pada kebiasaannya, seorang yang lebih penyabar akan mampu untuk lebih berjimat. Ini adalah kerana mereka tidak membiarkan keinginan mereka untuk mempengaruhi perbelanjaan. Segala pembelian yang mereka lakukan dipertimbangkan dengan baik.
Tidak menggunakan kad kredit- Sekiranya anda seorang yang bersistematik, pastinya anda tidak akan mengalami kesukaran menggunakan kad kredit. Tetapi sekiranya anda seorang yang boros, sebelum memakai kad kredit, anda harus berfikir seribu kali.
Bertanggungjawab- Seorang yang bersih hutang juga adalah seorang yang bertanggungjawab. Mereka dikatakan bertanggungjawab adalah kerana persediaan mereka terhadap masa depan mereka sendiri. Sekiranya mengalami apa-apa kesulitan pada masa akan datang, mereka sudah ada perancangan yang sepatutnya.
Tidak materialistik- Mereka juga boleh dikatakan seorang yang tidak materialistik. Ini adalah kerana segala perbelanjaan yang dilakukan adalah berdasarkan kemampuan. Pada kebiasaanya, seorang yang lebih mementingkan jenama berbanding kemampuan adalah seorang yang materialistik dan suka menunjuk barangan yang mereka miliki.
No comments:
Post a Comment