17 July 2011

Pasangan rayu bantu kos rawatan anak sakit jantung


MOHD. Rashid Ismail menunjukkan parut pembedahan pada dada Adam Haris semasa ditemui di rumahnya di Kampung Rambai Padang, Bukit Raya, Pendang, semalam. - BERNAMA


PENDANG  - Sepasang suami isteri dari Kampung Rambai Padang, Bukit Raya dekat sini, merayu bantuan orang ramai bagi membiayai kos rawatan susulan anak bongsu mereka berusia dua tahun yang menghidap sakit jantung berlubang dan mempunyai masalah pada injap jantung.

Mohd. Rashid Ismail, 42, dan isteri Sharifah Ahmad, 31, ketika ini terpaksa berhutang dengan saudara-mara bagi membiayai kos rawatan anak mereka Adam Haris, di Institut Jantung Negara (IJN).

Mohd. Rashid berkata, anaknya sudah dibedah pada 5 Mei lalu dengan kos RM31,000 di IJN dan kini menunjukkan tanda-tanda pulih seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengannya.

Namun, IJN hanya membiayai kos pembedahan sebanyak RM18,000 dan baki selebihnya perlu dilunaskan sendiri oleh pasangan suami isteri berkenaan.

"Bukan itu sahaja yang perlu saya lunaskan, malah kos rawatan susulan di IJN setiap dua bulan sekali, yang menelan kos RM1,000 juga saya tidak mampu. Temu janji untuk rawatan anak saya pada Ogos lalu, terpaksa saya batalkan disebabkan kesempitan hidup," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

"Pendapatan saya sebagai pekerja kedai besi di kampung sekitar RM30 sehari tidak cukup untuk membiayai kos rawatan itu, memandangkan saya terpaksa menanggung tiga lagi anak yang berusia enam hingga 12 tahun yang masih bersekolah," katanya.

Sementara itu, Sharifah berkata beliau bimbang tahap kesihatan Adam Haris merosot jika rawatan susulan tidak dilakukan mengikut jadual yang ditetapkan kerana anaknya perlu menjalani rawatan untuk suatu tempoh agak panjang dan tidak diketahui bila proses rawatan itu akan berakhir.

"Dengan pendapatan suami saya yang tidak seberapa, kami terpaksa berhutang dengan saudara-mara bagi membiayai kos rawatan dan kos perjalanan ke sana (IJN).

"Saya berharap dengan bantuan orang ramai, kami boleh menghantar anak ke IJN bagi membolehkannya menikmati kehidupan normal seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengannya," katanya.

Selain itu, anak ketiga pasangan berkenaan, Erna Harnani, 6, pula mengalami masalah mudah letih sejak berusia lima tahun dan perlu menjalani rawatan di klinik berdekatan setiap kali menghadapi masalah tersebut.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...