31 January 2012

Perancangan perlu realistik

plan2
Pernahkah para pembaca merasa teruja dengan kerjaya baru tetapi akhirnya mula berasa tidak bersemangat setelah beberapa lama menghadapi rutin harian yang dihidang dalam prospek kerjaya tersebut? Mulalah kita berfikir di mana silapnya? Mungkinkah kita sememangnya seseorang yang berpegang teguh pada prinsip “hangat-hangat tahi ayam” yang turun temurun diperturunkan oleh nenek moyang kita dulu?
Mungkin jijik kalau kita menghurai peribahasa yang telah lama digunakan oleh masyarakat di Malaysia, tetapi peribahasa yang kedengaran jijik inilah yang sering disebut-sebut malah mungkin cukup rapat dengan kehidupan semua dari kita yang membacanya.
Kalau belum sesebuah lapangan itu menjadi komitmen, suka benar mengangan-angankan kesungguuhan untuk menggapai sebuah kehidupan indah dalam lapangan tersebut. Tetapi, apabila lapangan tersebut telah dijadikan satu tanggungjawab yang memerlukan komitmen penuh, mulalah bermudah-mudahan… baru tahu bukan mudah mencapai angan. Lapangan yang saya maksudkan di sini bukan sahaja lapangan kerjaya tetapi juga lapangan kehidupan.
Kalau dalam lapangan kerjaya contohnya, seseorang yang menginginkan pendapatan tambahan mula berjinak-jinak dengan bisnes emas. Tanpa perancangan awal, dia pastinya terkejut bahawa bukan mudah berbisnes. Seorang usahawan perlu berkarisma, mudah bergaul dengan orang lain supaya disenangi klien. Soft skill ini mungkin boleh diabaikan sedikit sebanyak dalam bidang profesional yang mungkin hanya memerlukan kemahiran otaknya yang ligat berfikir dan memberi idea, tetapi lain pula halnya dengan bisnes. Apabila telah mula tahu onak dan duri yang harus ditempuhi, mulalah terluput sedikit sebanyak bayangan angan-angan manis hidup bersama lapangan bisnes yang menjanjikan indah hidup seorang jutawan.
Di mana harus dibetulkan?
Pada perancangan awalnya. Perancangan awal seharusnya bukan sekadar merancang perjalanan bisnes secara teorinya sahaja seperti; di mana mahu diambil emasnya, pada siapa harus dijual dan berapa sebulan yang nak dijual, tetapi seharusnya juga dirancang dan dicari faktor-faktor yang mampu membuatkan semangat terus membara sampai bila-bila. Mungkin praktikalnya, perlu dicari teman yang sering menjadi penukul semangat serta membuat penyelidikan sebaik mungkin tentang lapangan yang diceburi dengan bertanya pada teman-teman yang telah berjaya dengannya, juga pada teman-teman yang separuh jalan mengusahakan. Semestinya hal ini harus juga difikirkan awal-awal lagi sebelum mantap dengan keputusan untuk menceburi lapangan.
Kalau lapangan kehidupan pula, contohnya; seorang pelajar yang mula merasakan ingin berkeluarga – ingin punya isteri dan anak-anak. Ditambah pula dengan faktor sekeliling, teruja melihat rakan-rakan yang sudah beristeri dan beranak-pinak yang bahagia kehidupannya. Tetapi tak ternampak olehnya saat resah teman tatkala tersalah cakap mengguris hati isteri yang seharusnya dipujuk. Tak terlihat olehnya kalut sahabatnya memikirkan susun atur pendidikan dan makan minum anak-anak. Semuanya itu terselit di sebalik tabir kecomelan dan gelak tawa anak-anak kecil yang hanya dilihat oleh kita yang hanya sekali-sekala berjumpa dengan mereka.
Perancangan awal seharusnya realistik, perlu berpijak di bumi nyata. Bukan hanya sekadar meraikan angan-angan indah. Tak keterlaluan kalau saya sarankan, harus juga diselitkan dengan perancangan kecemasan untuk menghadapi kemungkinan terburuk atau ‘worst case scenario‘ yang secara lumrahnya boleh sahaja dihadapi oleh manusia yang hidup di dunia. Aidh Al-Qarni mengungkap dalam kata-katanya: Belajarlah untuk menghayati hal-hal yang menakutkan, nescaya rasa takut itu akan hilang. Menyedari hakikat bahawa kita belum lagi sampai ke Syurga, usah terlebih mengangankan yang indah-indah di dunia. Sebelum perkara yang menakutkan tiba, biarlah jiwa kita terlebih dahulu telah bersedia. Nescaya sedikit sebanyak ketakutan akan diatasi dengan kesediaan. Justeru, bersungguh-sungguhlah dalam merancang.. lalu beristiqamahlah dengan keputusan selagi berpaksikan Syariat.
Walaubagaimanapun, saya tetap menyokong dan menyebelahi  jiwa-jiwa yang sukakan cabaran baru malah saya juga mungkin salah seorang daripadanya. Saranan ini hanyalah sebagai pengetuk pada jiwa yang kadang gemar benar berangan-angan indah dan tidak berpijak di bumi nyata. Ditambah pula kalau akhirnya gemar terngadah kuat tatkala terjatuh. Jauh sekali niat saya daripada menjauhkan para pembaca dengan persangkaan baik pada Allah. Teruskanlah meneroka bumi dengan berbaik sangka pada Allah, cuma hanya perlu bijak melangkah supaya tak berkeluh kesah di kemudian hari. Apa pun, berpegang teguhlah pada janji Allah:
“Maka sesungguhnya bersama kesusahan ada kesenangan. Sesungguhnya bersama kesusahan ada kesenangan” (Al-Insyirah: 5-6)

Akulah aset ummah!

stacks of gold bars
“Seronoknya kalau aku dapat jadi macam dia tu. Pandai, cantik, keluarga kaya, bakal suami pun hensem”, ujar seorang teman. Kata-kata yang membuat saya terfikir, “aku pula nak apa, dan nak jadi macam siapa?”
Mengintai rezeki orang lain
Melihat seseorang lain dengan rezeki-rezeki yang Allah untaikan untuk dikecapi memang mengasyikkan. Amat bagus kerana ia membuatkan si pemerhati dapat mengagumi kekuasaan Allah yang Maha Bijaksana mengatur dan menyusun keperluan seseorang manusia itu sebaiknya. Ia menjadi salah apabila memerhatikan rezeki orang lain membangkitkan iri hati dalam diri lantas mengejar-ngejar keinginan nafsu sehingga mengabaikan apa yang dikendong.
Biar saya terjemahkan dengan satu situasi. Seorang pelajar perakaunan yang sedang membina nama dan kepakaran dalam bidangnya terhenti langkah dek kerana mengejar populariti dalam bidang pertanian setelah melihat seseorang berjaya dalam bidang tersebut. Akhirnya, dia terpaksa belajar semula dari perkara asas tani sehinggalah kepada menjayakannya. Proses ini mengambil masa yang lama dan malang sekali apabila telah melalui beberapa tahun, dia tiba-tiba melihat bidang pengacaraan pula merupakan bidang yang makin hangat di pasaran. Lalu, tergendalahlah projek pertaniannya dek kerana merasakan bidang pengacaraan adalah bidang terbaik pada masa itu.
Sesuailah dengan kata-kata yang diperturun dari nenek moyang kita dulu: Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
Budaya melihat orang lain lebih baik dari kita dan merasa rendah diri dengan apa yang ada pada diri sudah menjadi budaya Melayu rata-ratanya. Memang bagus kalau dilihat dari segi penekanan Islam dalam sikap merendah diri, qanaah dan tawadhu’. Tetapi menjadi beban apabila konsep merendah diri ini disalahgunakan bilamana dengan perasaan ini, umat Islam sentiasa layu, tidak bangkit-bangkit memegang pos-pos pakar dalam bidangnya seperti mana yang pernah kita miliki pada zaman kegemilangan Islam dahulu.
Tahukah anda, sebenarnya, kita boleh sahaja merasa izzah tatkala kita mengusahakan bidang-bidang kepakaran kita tanpa merasa bersalah dengan ‘berbangga diri kah aku?’, ‘terlalu mengejar dunia, kah aku?’ kalau telah betul niat sedari awalnya?
Kerana itulah setiap amal itu adalah dengan niatnya! Perkara pertama yang harus dilihat adalah, bidang yang kita ceburi dan ingin diusahakan adalah diniatkan semata-mata hanya kerana Allah, untuk Islam dan umatnya. Bukan untuk diri kita sendiri. Kalau lapangan tersebut sejelas-jelasnya memberikan keuntungan kepada diri kita sendiri pun, harus dilihat bahawa, keuntungan untuk diri kita adalah sumbangan untuk ummah. Dengan niat yang benar, kita hakikatnya bukan merasa izzah pada diri sendiri atau pada bidang yang kita ceburi, tetapi kita merasa izzah dengan matlamat yang ingin kita capai, iaitu izzah dengan agama Islam itu sendiri.
Biarlah orang lain berjaya dengan bidang mereka kerana kepelbagaian bidang adalah fardhu kifayah buat kemaslahatan ummah. Yakinlah bahawa, kita hakikatnya sangat diperlukan dalam bidang yang sedang kita ceburi, cuma perlu kreatif berfikir bagaimana ceburan bidang itu mampu diterjemahkan sebagai bidang yang mampu menyumbang untuk ummah. Hakikat menjawab persoalan ‘bagaimana’ ini, akhirnya berbalik pada persoalan, ‘bagaimana kita membentuk peribadi kita untuk beramal dalam setiap lapangan yang diceburi dengan hasil-hasil hebat untuk kemaslahatan umat?’.
Berhenti melihat orang lain kalau melihat orang lain itu tidak mampu membuatkan kita lebih dekat pada Allah. Lihat dan renung diri sendiri dan fikirkan dalam-dalam, adakah aku sudah cukup berusaha untuk menjadi aset ummah?
Menjaga pos-pos kawalan sebaiknya
Satu analogi yang sering tak lekang dari fikiran saya adalah, setiap umat Islam itu memegang pos-pos dengan panji-panjinya sendiri. Bayangkan dalam sebuah daerah yang dikepung dengan musuh Islam, dan setiap inci sempadan daerah itu diagih-agihkan pada setiap umat Islam. Tugas mereka adalah untuk memastikan bahawa, kawasan yang ditaklifkannya itu tidak dimasuki oleh musuh. Perlu perhatikan siapa yang masuk, siapa yang keluar supaya tiada musuh Islam yang ingin membinasakan tidak terlepas masuk. Bayangkanlah kalau lama di satu posisi, mudah saja untuk merasa bosan. Kita sudah sedia maklum kalau kita menjaga sebetul-betulnya kawasan kita, kita sememangnya menyumbang untuk Islam. Tetapi, bagaimana pula kita meraikan semangat kita supaya kekal membara?. Kita boleh memilih untuk berdiri tegak memegang panji sambil memerhati, tapi berapa lama kita mampu bertahan dengan posisi yang sama? Cara untuk kita kekal lama semestinya dengan mempelbagaikan cara pengawalan.
Kita boleh memilih untuk berdiri tegak sambil memegang panji dan memerhati ataupun membina kubu dengan pengawasan kamera litar 24 jam atau menjaga pos sambil mengadakan hebahan yang mampu menggerunkan musuh daripada memasuki daerah Islam tersebut dan pelbagai cara lagi yang mampu dipelbagaikan!
Kalau dilihat, pos masih terkawal rapi, cuma bagaimana cara kita mempelbagaikan cara supaya kita terus kekal menyumbang untuk ummah. Disamping maslahah (kebaikan) untuk ummah, kita juga memberi maslahah kepada diri kita sendiri supaya terus bersemangat untuk menjaga pos tersebut dalam erti kata lain, tidak merasa bosan dan lemah semangat.
Kesimpulannya, sebelum melihat apa lagi lapangan lain yang boleh diceburi, cerminkan dahulu pada apa yang sedang berada di tangan kita. Allah Yang Maha Mengetahui pastinya tidak sewenang-wenangnya mendatangkan ‘peluang’ yang telahpun kita garap kalau bukan kerana kita mampu membuat yang terbaik. Bersyukur dengan apa yang ada di sekeliling kita, kerana sekecil-kecil perkara mampu digilap hebat oleh tangan-tangan yang nantinya akan menyentuh syurga!
Akulah aset ummah
Saya teringat kata-kata dalam buku karangan ‘Aidh al-Qarni: “Wanita yang bijaksana adalah wanita yang mampu mengubah sahara yang gersang menjadi taman yang subur dan indah”
Dengan kata-kata itu, saya juga selalu membayangkan tangan yang saya miliki ini bagai dongengan Raja Midas yang tatkala menyentuh apa sahaja mampu mengubahnya menjadi emas. Bukanlah emas yang saya inginkan, tetapi yang lebih dari itu: Di mana sahaja diletakkan kita, baka bertambah indah, bertambah bermakna, bertambah terang dan bercahayalah ia. Biar seteruk mana pun asalnya lapangan itu pada awalnya.Yang paling penting, semua keindahan yang dapat dilihat pada masa ini, sehalus-halusnya direntet dengan peringatan Syariat. Apalah guna kalau mampu menukar indah dunia kalau sedikit pun tak dinilai untuk mengecap Syurga? Betapa ruginya!
Maka, yakinlah! Kita perpotensi besar untuk melonjakkan diri kita dalam bidang yang kita ceburi. Potensi manusia itu adalah tahapan khalifah, taklifan yang ditolak oleh makhluk-makhluk lain, tapi diterima oleh kita, manusia. Terpulang pada kita bagaimana kita melihat diri kita sendiri, kerana siapa diri kita yang kita fikirkan adalah siapa diri kita di luar sana. Anda adalah apa yang anda fikirkan!
Pos mana yang anda jaga? Sejauh mana anda mampu menyumbang untuk ummah?
Pos seorang pelajar? Isteri? Anak? Pensyarah? Akauntan? Guru? Usahawan? Penulis? Sebutkan apa sahaja ruang pos kawalanmu, asalkan kita semua yakin bahawa kita layak digelar aset ummah! Supaya aset-aset ini akan pulang berbondong-bondong ke Syurga nan indah bersama-sama.

Merancang Dana Persaraan

retirement
Kuasa beli pada 2027 akan menurun.
Kebanyakan daripada kita mula berkerja ketika usia 25 tahun dan bercadang untuk berhenti kerja pada usia 55 tahun. Ini bermakna tempoh kerja kita ialah selama 30 tahun. Sekiranya kita mengamalkan gaya hidup sihat dalam pemakanan dan sentiasa bersenam jangka hayat kita mungkin boleh mencecah umur 75. Ini bermakna kita boleh menggunakan 20 tahun usia persaraan kita untuk mencurah bakti kepada ummah bagi mewakafkan diri sepenuhnya ke jalan Allah tanpa perlu memikirkan lagi apakah pekerjaan yang perlu dilakukan.
Untuk itu kita perlu memiliki dana yang mencukupi bagi memastikan usia 55 hingga 75 ialah usia yang berkualiti yang kita serahkan untuk berjihad di jalan Allah.
Jika kita kembali kepada teori nabi Yusuf a.s. dalam mentafsirkan mimpi raja Mesir beliau mencadangkan satu sistem yang mudah iaitu menyimpan gandum-gandum yang dituai di musim subur selama 7 tahun dengan tangkalnya supaya ketika datangnya musim kemarau 7 tahun berikutnya mereka dapat menggunakan gandum yang disimpan dan dapat menolong masyarakat sekitarnya.
Jika disesuaikan dengan realiti kita ialah kita berkerja 30 tahun mencari nafkah dan kita perlu menyimpan untuk belanja persaraan yang boleh mencapai 30 tahun. Oleh itu berapa peratuskah daripada pendapatan yang kita perolehi semasa kita berkerja untuk disimpan bagi perbelanjaan kehidupan kita semasa persaraan?
Untuk itu kita perlu jumlahkan semua keperluan asasi kita yang diperlukan ketika persaraan mengikut nilai masa kini kemudian kita membuat kiraan berasaskan kaedah mengira nilai masa depan. Untuk membuat kiraan ini memerlukan kalkulator khas untuk “Financial Planer”.
Katakanlah keperluan asasi ialah untuk kos makan-minum, pakaian, ubat-ubatan, keraian, pengangkutan, bil-bil air, elektrik, telefon, percutian dan sedekah ialah RM3000.00 sebulan atau RM36,000.00 setahun berasaskan kuasa beli tahun 2007. Jika kita akan bersara pada tahun 2027 atau 20 tahun akan datang dan kadar inflasi 4% dan kadar keuntungan simpanan tetap 5% maka dana yang diperlukan semasa persaraan sekurang-kurangnya RM70,000,00. setahun.
Oleh itu sekurang-kurannya kita perlu membuat tabungan tetap bulanan sebanyak RM3400.00 sehingga umur 55 tahun. Dengan kadar keuntungan 5% dana yang akan diperolehi selepas 20 tahun ialah RM1416545.00. Kemudian duit ini disimpan di dalam simpanan tetap yang boleh memberi pulangan tahunan 5% maka setiap tahun kita akan mendapat lebih kurang RM70,00.00 setahun sebagai dana persaraan tanpa mengusik modal asas. Dana 1.4 juta ini bolehlah diwasiatkan 1/3 daripadanya untuk sedekah jariah dan bakinya akan diwarisi kepada anak-anak.
Kita boleh memilih untuk menabung di unit amanah yang Islamik atau di Tabung Haji. Risikonya ialah kebiasaannya keperluan terdesak menjadikan kita lebih suka membelanjakan tabung persaraan ini untuk perkara-perkara yang bukan untuk kepentingan persaraan seperti kos pendidikan anak-anak, kenduri kahwin, perubatan dan menyiapkan rumah. Akhirnya objektif untuk memastikan dana persaraan yang mencukupi tidak kesampaian.
Jika anda tidak memiliki dana yang mencukupi bagi menyediakan tabung-tabung kecemasan khususnya berkaitan dengan kos rawatan akibat kemalangan, ditimpa penyakit kritikal dan sebagainya anda boleh memilih plan takaful yang mempunyai kemudahan tabungan dan perlindungan atau tabungan, perlindungan dan persaraan. Dengan tabungan ditakaful sebanyak RM1400.00 sebulan anda telah menyediakan total perlindungan pendapatan keluarga sehingga RM500,000.00 dan tabungan persaraan sebanyak RM367,000.00
Untuk mudah difahami bahawa jika hari ini kita berbelanja RM3000.00 sebulan maka pada tahun 2027 kita akan berbelanja RM5000.00 sebulan bagi keperluan yang sama. Oleh itu sepatutnya kita perlu meyimpan lebih daripada 50% daripada nilai keperluan semasa bagi menghadapi zaman-zaman kemarau di usia persaraan.

Rancang kewangan untuk elak muflis

Laporan berita ini dipetik daripada ucapan  Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selva Raj di mana beliau berkata, belia merupakan golongan utama menghadapi masalah kewangan dan menjadi muflis berbanding orang dewasa akibat daripada perbelanjaan yang tidak terkawal.
Tambah beliau lagi, antara punca utama adalah kerana urusan sewa beli seperti kereta, rumah dan penggunaan kad kredit. Seseorang itu dikira mempunyai masalah kewangan apabila 30 peratus daripada gaji bulanan digunakan untuk membayar hutang.
Masalah muflis dikalangan belia boleh dielakkan jika mereka mempunyai pengetahuan mengenai pengurusan kewangan.
Di sini disediakan beberapa panduan untuk menguruskan kewangan yang diperolehi daripada Info Perbankan.
Perancangan kewangan merupakan langkah pertama untuk menguruskan kewangan. Terdapat 4 langkah yang perlu diambil iaitu:
Menetapkan matlamat kewangan
 Matlamat kewangan mencerminkan apa yang hendak dilakukan dengan wang dalam tempoh yang tertentu. Penentuan matlamat akan memastikan perbelanjaan serta peryimpanan  berlaku secara teratur untuk mencapai matlamat. Matlamat ini boleh berbentuk jangka masa pendek, sederhana atau panjang bergantung kepada faktor-faktor seperti usia, pendapatan, taraf perkahwinan dan jumlah tanggungan.
Jejaki ke mana perginya wang
Seterusnya, tabiat berbelanja perlu dipantau.  Ia perlu dimulakan dengan merekod segala perbelanjaan dalam tempoh tertentu, contohnya, selama lapan minggu. Ini bertujuan untuk mengetahui ke mana wang  telah dibelanjakan, bukan untuk mengurangkan perbelanjaan.
Menilai tabiat berbelanja
Tabiat berbelanja perlu dinilai sekiranya tidak mempunyai sebarang lebihan wang pada akhir bulan atau ingin meningkatkan jumlah simpanan. Teliti senarai perbelanjaan harian dan nilai sama ada ia merupakan keperluan atau kehendak. Kurangkan perbelanjaan yang berkaitan dengan kehendak. Kenalpasti dan elak tabiat buruk ketika berbelanja.
Menulis rancangan perbelanjaan
Setelah mengkaji tabiat berbelanja, pelan perbelanjaan boleh dibuat untuk membantu  mencapai matlamat kewangan. “Buku Pengurusan Belanjawan Keluarga” yang diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia boleh digunakan untuk membantu pengguna membuat dan memantau perbelanjaan harian, bulanan dan tahunan.
Tanda amaran tabiat buruk perbelanjaan
  •  Menggunakan wang simpanan untuk membayar bil semasa
  • Membayar jumlah minimum apabila menyelesaikan hutang kad kredit
  • Selalu meminjam wang untuk menampung perbelanjaan harian
  • Hanya membayar jumlah minimum apabila menyelesaikan hutang dan tidak mengurangkan jumlah hutang yang  sedia ada
  •  Sentiasa bertengkar dengan suami/isteri atau keluarga berkaitan wang.

Biar Kaya Baru Boleh Bergaya

gambar-kereta-menarik-bmw
Kewangan ialah aspek yang sangat penting dalam keusahawanan. Wang ialah nadi perniagaan. Selain perniagaan, perancangan dan pengurusan kewangan juga amat penting dalam kehidupan seharian dan seterusnya memastikan perjalanan hidup lebih tersusun dan teratur.
Tetapi apa yang lebih penting adalah bagaimana menguruskan kewangan secara bijak, tidak kira sama ada anda orang kaya ataupun kurang berharta. Dalam pengurusan kewangan, ada beberapa perkara yang perlu diambil berat berkenaan sikap.
Bersaing dengan Si Tipah
Drama komedi di televisyen ada menayangkan, kisah mengenai dua orang jiran bersebelahan rumah yang bersaing harta. Apabila seorang menukar langsir, si Tipah pun mahu menukar langsir juga. Apabila seorang beli kereta baru, yang seorang lagi pun mahu beli kereta baru yang lagi hebat. Apabila seorang buat extensionrumah, si Tipah pun mahu buat extension rumah juga!
Maka,kedua-dua jiran ini bersaing harta. Sehingga akhirnya, mereka terpaksa menjual segala-galanya kerana tidak mampu membayar hutang! Walaupun kisah komedi ini di televisyen, realiti kehidupan sebenar juga ada berlaku. Mat Salih mengelarnya: “ Keeping up with the Jones.”
Ada kalanya kita secara tidak sedar ingin tingkatkan harta kita untuk bersaing dengan orang lain. Mungkin dengan jiran, rakan sekerja atau ahli keluarga. Jauhkan daripada sikap ini kerana ia boleh menjadi punca terperangkap dengan hutang-hutang yang sukar dibayar. Ukur baju pada badan sendiri. Usah jadikan orang lain sebagai pengukur kejayaan kita, tetapi jadikan diri kita sendiri sebagai pengukur.
Biar Papa Asal Bergaya
“Bior pape ase bergaya”. Maksudnya, biar miskin, tetapi perlu bergaya.
Seboleh-bolehnya, janganlah begitu. Bergayalah mengikut kemampuan sahaja. Kalau bergaya tetapi poket kosong tidak guna juga. Bergaya memerlukan kos yang lebih. Bergaya dengan seluar berjenama Gucci, baju berjenama LV, kaca mata berjenama Rayban, telefon berjenama Vertu dan berkereta mewah ke sana sini hanya akan menambahkan kos “maintenance” anda.
Ada seorang hamba Allah yang sangat berkeinginan memandu kereta Mercedes, tetapi pendapatannya tidak mencukupi. Maka setiap hari dia hanya makan mi segera dan mengikat perut untuk menampung perbelanjaan kereta mewah itu. Keperluan-keperluan lain juga turut dikorbankan. Adakah ini gaya hidup yang diinginkan? Lebih baik “Biar kaya baru boleh bergaya!”
Terpedaya dengan Iklan
Dalam sehari, manusia terdedah kepad lebih 1000 buah iklan. Ikaln di televisyen, akhbar, brosur, leaflet, radio, Internet, e-mel dan sebagainya. Jangan terpedaya dengan iklan dan membeli sesuatu yang anda tidak perlukan!
Kebanyakan iklan dicipta oleh golongan professional dalam bidang pengiklanan. Mereka mempelajari psikologi manusia bertahun-tahun lamanya. Tujuan mereka adalah satu sahaja iaitu untuk mendapatka pembelian.
Sering kali iklan menggunakan kaedah-kaedah psikologi manusia untuk menjual sesuatu, walaupun kita tidak perlukannya. Pelbagai teknik digunakan bagi menyentuh emosi bakal pembeli untuk membuat tindakan membeli.
Lain kali apabila anda mendengar iklan yang membuatkan anda ingin membeli, berhenti seketika. Fikirkan secara rasional dan bukan dengan emosi, sama ada anda benar-benar memerlukannya atau sekadar emosi anda yang tewas dengan psikologi pengiklanan. Bukan untuk mengatakan pengiklanan tidak baik. Ia merupakan keputusan belian anda sama ada keputusan yang baik ataupun tidak.
Ingat, Berjaya dalam kewangan bukan sekadar Berjaya memperoleh pendapatan yang baik, tetapi berjaya mengawal ke mana perginya pendapatan tersebut.
Oleh: Irfan Khairi
Sumber: Majalah Solusi Isu No. 36

Indahnya taubat

dua
Bumi yang diciptakan Allah berbentuk bulat, oleh itu kejadian siang dan malam, pagi dan petang berlaku serentak di seluruh pelusuk alam ini. Pernah atau tidak kita membayangkan secara keseluruhan senario bumi ini di mana setiap masa ada orang yang sedang bersolat berlainan waktu seperti Maghrib, Isyak, Subuh, Zohor dan Asar.
Sesungguhnya bumi ini hanya sebuah planet yang kecil berbanding dengan planet-planet lain dalam sistem cakerawala suria. Di bumi ini keturunan Adam dan Hawa telah berkembang biak sejak mereka berdua dicampakkan dari syurga dan generasinya masih ada hingga ke hari ini. Penciptaan Adam dan Hawa serta generasi yang seterusnya ini hanyalahbertujuan untuk bertaubat kepada Yang Maha Pencipta planet bumi ini.
Firman Allah S.W.T dalam surah Az-Zariyat ayat 56:
“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu”.
Sebagaimana ayahanda kita Adam, kita juga tidak sunyi daripada melakukan kesalahan. Nabi Adam as manusia pertama yang diciptakan oleh Allah.  Para Malaikat telah diperintahkan oleh Allah untuk sujud kepada Adam tetapi Iblis mengingkari perintah itu. Namun, ketika baginda melakukan kesalahan akibat termakan pujukan iblis supaya memakan buah dari satu pohon yang telah dilarang oleh Allah, baginda tidak teragak-agak untuk memohon taubat dan keampunan daripada Allah SWT. Allah SWT telah menerima taubat baginda.
Satu contoh yang diabadikan oleh Ayahanda kita sepatutnya menjadi ikutan umat manusia sehingga ke hari kiamat di mana apabila melakukan kesalahan bersegera memohon ampun dan taubat kepada Allah.
Taubat, ertinya kembali dan rujuk semula. Sesungguhnya ia adalah satu perasaan takut di dalam hati seseorang yang mendorongnya untuk kembali kepada Allah. Kembali bersama dengan penyesalan dan azam untuk tidak mengulangi lagi sesuatu perbuatan yang salah dan dimurkai Allah itu. Seolah-olah ia menanggalkan semua dosa-dosa dan maksiat dari dirinya untuk pasrah menyerah diri kepada Allah.
Taubat di atas segala jenis dosa, walau sebesar mana atau sekecil manapun dosa yang telah dilakukan. Sebesar mana pun dosa yang dilakukan ia tetap memerlukan kepada taubat untuk dihapuskan.
Tidak mahu bertaubat , menggambarkan sifat degil dan sekaligus sifat sombong telah menguasai diri. Namun siapakah kita yang ingin bersifat angkuh dan sombong di sisi Allah?
Sebuah kisah Bani Israil di zaman Nabi Musa a.s. Terdapat seorang lelaki yang telah melakukan maksiat selama 40 tahun, dan tidak pernah bertaubat memohon ampun daripada Allah walaupun sekali. Pada satu tahun berlaku kemarau teruk di negeri tersebut hingga menyebabkan tumbuh-tumbuhan dan binatang banyak yang mati dan air sungai menjadi kering. Lantaran itu orang-orang dari Bani Israil memohon kepada Nabi Musa supaya berdoa kepada Allah agar diturunkan hujan.
Nabi Musa pun mengajak kaumnya untuk sama-sama berdoa meminta hujan kepada Allah. Telah keluar bersama Nabi Musa seramai 70 ribu orang Bani Israil, berkumpul di satu tempat. Mereka berdoa dengan doa yang bersungguh-sungguh. Namun,  hujan tetap tidak turun sehingga memaksa Nabi Musa untuk bertanya kepada Allah, kenapa masih lagi tidak diturunkan hujan? Lalu Allah mewahyukan bahawa ada dikalangan kamu seorang lelaki yang telah melakukan maksiat selama 40 tahun dan tidak pernah bertaubat walaupun sekali, maka hendaklah orang tersebut keluar. Jika orang yang tidak pernah bertaubat itu keluar maka hujan akan diturunkan.
Nabi Musa meminta dikalangan Bani Israil yang melakukan maksiat itu supaya keluar. Namun bagi empunya diri merasa malu untuk keluar, apabila dilihat ke arah sekelilingnya tiada siapa yang keluar, maka sahlah bahawa dialah orang yang dimaksudkan. Lalu lelaki itu bermunajat kepada Allah;
Ya Allah aku telah melakukan maksiat kepadamu selama 40 tahun dan Engkau melindungiku, pada hari ini aku bertaubat kepadaMu jika aku keluar semua orang akan tahu, dan jika aku tidak keluar hujan tidak akan turun dan kami semua akan binasa. Ya Allah hari ini akau bertaubat, aku menyesal dan aku kembali kepadamu, terimalah taubatku dan lindungilah aku sekali lagi.. “, maka hujan pun turun.
Nabi Musa berkata dengan kehairanan,
“Wahai Tuhan, hujan sudah turun sedangkan tiada seorang pun yang keluar.”
Jawab Allah:
“Wahai Musa, hujan turun dengan sebab taubat hambaku yang memaksiatiku selama 40 tahun. Aku gembira dengan taubatnya.”
Musa membalas:
“Wahai Tuhan, tunjukkan kepadaku orang itu, supaya aku juga gembira bersamanya.”
Jawab Allah:
“Wahai Musa, dia memaksiatiku selama 40 tahun dan aku melindunginya dan adakah apabila hari ini dia bertaubat kepadaKu patut Aku membongkarkannya?”
Maha suci Allah, manusia melakukan maksiat, namun pintu taubat tetap dibuka seluas-luasnya. Allah menjaga maruah manusia yang melakukan maksiat  untuk memberi peluang taubat kepada hambaNya. Kemarau berlaku sebagai tanda kebesaran dan kekuasaan Allah untuk menyedarkan manusia yang lalai supaya kembali kepadaNya.
Alangkah indahnya taubat buat lelaki itu. Maksiat yang dilakukannya selama 40 tahun dihapuskan oleh Allah dalam masa yang singkat dengan hanya bertaubat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...