Salam...selamat hari isnin,semoga hari ini berjalan lancar seperti yang dirancangkan, hari ini saya ingin berkonsgikan sedikit info tentang penerapan nilai-nilai murni dalam diri. Semoga info yang bakal dikongsikan ini serba sedikit menambah keimanan dalam jiwa kita yang sentiasa dahagakan rahmat dan keredhaan Allah s.w.t...insyaallah...
Termasuk dalam pengertian menjadi seorang yang muslim dan menjadi orang yang beriman adalah meninggalkan perkara-perkara yang tidak termasuk dalam ajaran islam. Ini dikenali sebagai ‘tajarrud’. Menurut bahasa, ‘tajarrud’ bermaksud menanggalkan, mengosongkan, membersihkan atau meninggalkan. Manakala, menurut syarak, ‘tajarrud’ bererti membersihkan dan melepaskan diri dari segala ikatan selain daripada ikatan Allah dan segala keberpihakan selain kepada Allah. Ini perlu dipraktikkan dalam segenap aspect kehidupan seorang muslim seperti akidah, ibadah dan juga akhlak.
Penulisan saya kali ini ingin fokus kepada tajarrud dalam aspect akhlak. Imam Al-Ghazali mengatakan bahawa akhlak adalah suatu sifat yang tertanam dalam jiwa manusia yang dapat melahirkan suatu perbuatan yang mudah dilakukan, tanpa terlalu banyak pertimbangan dan pemikiran yang lama. Dalam erti kata mudah, akhlak adalah apa-apa yang lahir secara spontan dari dalam diri kita. Akhlak adalah cari kita bergaul dengan sesama manusia. Akhlak adalah cara kita pamerkan diri kita kepada masyarakat mahupun apabila keseorangan. Akhlak adalah cara kita bertindak atau bertindak balas ke atas sesuatu yang berlaku.
Pada kebanyakan orang, akhlak lahir daripada kebiasaan. Kita bertindak balas terhadap sesuatu berdasarkan apa yang dipersembahkan oleh masyarakat yang berada di sekeliling kita. Sebagai contoh, jika masyarakat di sekeliling kita merupakan masyarakat yang tidak menjaga kebersihan dan membuang sampah merata-rata, pasti kita juga berakhlak sedemikian, kan? Namun, jika orang yang hidup di sekeliling kita adalah orang-orang yang sentiasa menjaga kebersihan, mengutip sampah di tengah jalan untuk dibuang didalam tong sampah, maka kita juga akan terdorong untuk berbuat sebegitu juga, bukan?
Namun sebagai seorang muslim, seorang yang tunduk patuh kepada Allah dan perintahNya, kita perlu selarikan akhlak kita dengan apa yang diajar dalam Islam, bukannya kebiasaan masyarakat. Untuk berakhlak dengan akhlak Islam, kita perlu terlebih dahulu belajar apakah itu akhlak-akhlak Islami. Dan setelah kita pelajari, di sinilah tajarrud akhlak memainkan peranan. Iaitu, kita membebaskan diri kita dari sebarang bentuk akhlak yang bukan Islam, walau sehebat mana ia telah menjadi kebiasaan dalam diri dan masyarakat kita, dan hanya beramal dengan akhlak yang telah digariskan dalam Islam.
Tentunya ini bukan kerja yang mudah, kerana seperti yang saya nyatakan tadi, pada kebanyakan orang, akhlak mereka lahir daripada kebiasaan. Melainkan, pastinya, ‘kebiasaan’ mereka itu adalah apa yang dituntut dalam Islam.
Satu contoh akhlak bukan Islam yang saya lihat menular dalam masyarakat kita atas dasar kebiasaan adalah menipu atas dasar bergurau. Saya lihat, pada kebanyakan orang, mereka merasakan ini sebagai suatu perkara yang menyeronokkan. Seronok apabila dapat menyebabkan teman kita tertipu dengan muslihat kita yang hanya berniatkan untuk bermain-main sahaja. Seronok apabila penipuan kita itu berjaya dan ia menjadi bahan ketawa rakan-rakan kita yang lain. Seronok, kerana perbuatan menipu, walaupun dengan niat bergurau itu, membawa kita ke puncak populariti sesame teman-teman. Namun, tahukah kita bahawa nabi telah berpesan bahawa sesorang yang muslim itu tidak boleh menipu walaupun ketika bergurau? Antara hadis-hadis nabi berkenaan perkara ini adalah seperti berikut:
“Hendaklah kamu jujur. Sesungguhnya kejujuran menunjuk kepada kebaikan. Dan kebaikan menunjuk kepada syurga. Seorang lelaki terus jujur dan mencari kejujuran sehinggalah dia dicatatkan di sisi Allah sebagai seorang yang sangat jujur. Berwaspadalah terhadap dusta. Sesungguhnya dusta menunjuk kepada kejahatan. Dan kejahatan menunjuk kepada neraka. Seorang lelaki terus berdusta dan mencari pendustaan sehingga dia dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang sangat berdusta. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
“Celakalah orang yang memperkatakan sesuatu agar orang lain ketawa, lalu dia berdusta. Celakalah untuknya. Celakalah untuknya.” (Riwayat At-Tirmizi)
Maka, apabila kita mengatakan bahawa kita adalah seorang muslim, kita perlu tinggalkan kebiasaan menipu walaupun atas niat bergurau ini. Walaupun terkadang teman yang kita tipu itu tidak kisah diperlakukan sedemikian, namun kerana ini bukan akhlak seorang muslim, maka perlu kita tinggalkan. Saya tahu, ia tidak mudah, apatah lagi bila ia sudah menjadi norma kehidupan kita untuk menipu rakan-rakan kita sebagai cara bergurau mesra dengan rakan sejawat. Tetapi kita perlu yakin, akhlak Islam itu adalah akhlak yang terbaik yang patut kita pamerkan. Kita juga perlu yakin, bahawa sesuatu itu tidak digariskan dengan saja-saja. Pasti ada hikmah tersembunyi di sebalik setiap sesuatu itu, dan pasti akhlak Islam itu lebih baik dalam menjaga keharmonian antara kita dan sahabat kita.
Contoh lain yang saya lihat menular dalam masyarakat kita, adalah ‘gossip’. Gossip adalah sesuatu yang sangant sinonim dengan masyarakat kita. Lebih-lebih lagi apabila kita telah bertemu dengan ‘geng’ kita. Dan lebih menjadi lagi apabila ‘geng’ kita adalah ‘geng’ paling berpengaruh, atau paling senior di sesuatu tempat kerja, kawasan kejiranan mahupun di sekolah. Dalam situasi sebegini, gossip itu menjadi lebih galak. Pada kebanyakan orang, kita hebat andai kita mampu menunjukkan kelemahan orang lain. Kita hebat, jika kita tahu segala cerita-cerita tersembunyi, tidak kira-kiralah cerita itu benar atau tidak. Bak kata orang, ‘paparazzi hot, gitu..’. Malah kita hebat bilamana kita mampu mewujudkan gossip yang tidak pernah wujud pun sebelum ini. Tentunya, cerita-cerita ini akan menjadikan kita orang yang paling popular sesame rakan-rakan kita, malah ramai yang teridam-idam untuk ‘join’ ‘geng’ kita.
Namun, dalam Islam, perbuatan gossip ini tidak dibenarkan sama sekali. Allah telahpun berfirman:
“ Dan jangan sebahagian kamu mengumpat sebahagiannya; apakah salah seorang di antara kamu suka makan daging bangkai saudaranya padahal mereka tidak menyukainya!!” (al-Hujurat: 12)
Nabi juga telah bersaba:
” Bertanyalah Nabi kepada mereka: Tahukah kamu apakah yang disebut ghibah itu? Mereka menjawab: Allah dan RasulNya yang lebih tahu. Maka jawab Nabi, iaitu: Kamu membincangkan saudaramu tentang sesuatu yang ia tidak menyukainya. Kemudian Nabi ditanya: Bagaimana jika pada saudaraku itu terdapat apa yang saya katakan tadi? Rasulullah s.a.w. menjawab: Jika padanya terdapat apa yang kamu bincangkan itu, maka berarti kamu mengumpat dia, dan jika tidak seperti apa yang kamu bincangkan itu, maka berarti kamu telah menuduh dia.” (Riwayat Muslim, Abu Daud, Tarmizi dan Nasa’i)
Maka, apabila kita mengaku diri kita sebagai seorang yang islam dan beriman, kita perlu tinggalkan perbuatan ini. Iya, popularity dikorbankan, malah mungkin ada kawan-kawan yang tidak lagi mahu bersama kita kerana kita sudah tidak lagi ‘up-to-date’ dengan cerita semasa. Iya, mungkin kawan lain akan mengambil alih kedudukan kita sebagai rakan yang paling popular di sekolah, atau pejabat, mahupun kawasan kejiranan kita. Namun inilah dia tajarrud akhlak yang perlu kita lakukan sebagai seorang yang muslim.
Banyak lagi contoh akhlak-akhlak lain yang sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita namun tidak selari dengan tuntutan agama kita. Saya serahkan kepada anda untuk fikirkan contoh-contoh yang lain. Namun fahamilah seperkara ini, banyak masalah yang wujud dalam masyarakat kita sekarang adalah sebab kita tidak beramal dengan akhlak Islami. Saya lihat di facebook, ramai kawan-kawan, junior-junior, mahupun makcik-makcik yang mengeluarkan maki hamun di facebook kerana marah dengan seorang kawan atau dengan rakan sekerja. Apabila saya teliti punca pergaduhan, saya dapati puncanya sentiasa bermula dengan akhlak yang bukan berlandaskan akhlak Islam. Saya jadi hairan, bukankah jika mereka memahami akhlak Islam serta beramal dengannya, perselisihan sebegini dapat dielakkan?
Saya lihat juga kepada banyaknya masalah sosial dalam masyarakat kita. Sebahagiannya telah pun disenaraikan di sini. Lihatlah, jika anda belum sedar betapa teruknya masyarakat kita pada hari ini. Dan selidiklah lebih dalam lagi. Hentikan dahulu gelora otak anda untuk mencari jalan penyelesaian, tapi bawalah hati anda untuk mencari punca masalah-masalah ini. Anda akan dapati, semuanya kerana akhlak Islam itu tidak dihidupkan dalam diri masyarakat kita.
Saya amat berharap agar anda faham daripada tulisan saya ini bahawa, sebagai seorang muslim, kita perlu berakhlak dengan akhlak seorang muslim. Dan dalam situasi hari ini, kita perlu berjuang untuk menepis dan menghindari akhlak-akhlak bukan Islam yang sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita. Secara terang dan nyata, akhlak bukan Islam yang masyarakat kita sembahkan hari ini tidak sedikit pun membantu dalam mengurangkan masalah sosial yang wujud hari ini. Ia mungkin susah, kerana kita akan bertindak dengan cara yang ‘pelik’ menurut pandangan masyarakat kita, namun yakinlah, tegakkan Islam didalam dirimu dahulu, nescaya Islam akan tertegak di sekelilingmu. Jadilah kamu orang yang pertama untuk kenalkan akhlak Islam kepada orang disekeliling kamu, kelak, mereka akan dapat bezakan akhlak mana yang lebih mulia dan terpuji.
No comments:
Post a Comment