31 January 2012

Indahnya taubat

dua
Bumi yang diciptakan Allah berbentuk bulat, oleh itu kejadian siang dan malam, pagi dan petang berlaku serentak di seluruh pelusuk alam ini. Pernah atau tidak kita membayangkan secara keseluruhan senario bumi ini di mana setiap masa ada orang yang sedang bersolat berlainan waktu seperti Maghrib, Isyak, Subuh, Zohor dan Asar.
Sesungguhnya bumi ini hanya sebuah planet yang kecil berbanding dengan planet-planet lain dalam sistem cakerawala suria. Di bumi ini keturunan Adam dan Hawa telah berkembang biak sejak mereka berdua dicampakkan dari syurga dan generasinya masih ada hingga ke hari ini. Penciptaan Adam dan Hawa serta generasi yang seterusnya ini hanyalahbertujuan untuk bertaubat kepada Yang Maha Pencipta planet bumi ini.
Firman Allah S.W.T dalam surah Az-Zariyat ayat 56:
“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu”.
Sebagaimana ayahanda kita Adam, kita juga tidak sunyi daripada melakukan kesalahan. Nabi Adam as manusia pertama yang diciptakan oleh Allah.  Para Malaikat telah diperintahkan oleh Allah untuk sujud kepada Adam tetapi Iblis mengingkari perintah itu. Namun, ketika baginda melakukan kesalahan akibat termakan pujukan iblis supaya memakan buah dari satu pohon yang telah dilarang oleh Allah, baginda tidak teragak-agak untuk memohon taubat dan keampunan daripada Allah SWT. Allah SWT telah menerima taubat baginda.
Satu contoh yang diabadikan oleh Ayahanda kita sepatutnya menjadi ikutan umat manusia sehingga ke hari kiamat di mana apabila melakukan kesalahan bersegera memohon ampun dan taubat kepada Allah.
Taubat, ertinya kembali dan rujuk semula. Sesungguhnya ia adalah satu perasaan takut di dalam hati seseorang yang mendorongnya untuk kembali kepada Allah. Kembali bersama dengan penyesalan dan azam untuk tidak mengulangi lagi sesuatu perbuatan yang salah dan dimurkai Allah itu. Seolah-olah ia menanggalkan semua dosa-dosa dan maksiat dari dirinya untuk pasrah menyerah diri kepada Allah.
Taubat di atas segala jenis dosa, walau sebesar mana atau sekecil manapun dosa yang telah dilakukan. Sebesar mana pun dosa yang dilakukan ia tetap memerlukan kepada taubat untuk dihapuskan.
Tidak mahu bertaubat , menggambarkan sifat degil dan sekaligus sifat sombong telah menguasai diri. Namun siapakah kita yang ingin bersifat angkuh dan sombong di sisi Allah?
Sebuah kisah Bani Israil di zaman Nabi Musa a.s. Terdapat seorang lelaki yang telah melakukan maksiat selama 40 tahun, dan tidak pernah bertaubat memohon ampun daripada Allah walaupun sekali. Pada satu tahun berlaku kemarau teruk di negeri tersebut hingga menyebabkan tumbuh-tumbuhan dan binatang banyak yang mati dan air sungai menjadi kering. Lantaran itu orang-orang dari Bani Israil memohon kepada Nabi Musa supaya berdoa kepada Allah agar diturunkan hujan.
Nabi Musa pun mengajak kaumnya untuk sama-sama berdoa meminta hujan kepada Allah. Telah keluar bersama Nabi Musa seramai 70 ribu orang Bani Israil, berkumpul di satu tempat. Mereka berdoa dengan doa yang bersungguh-sungguh. Namun,  hujan tetap tidak turun sehingga memaksa Nabi Musa untuk bertanya kepada Allah, kenapa masih lagi tidak diturunkan hujan? Lalu Allah mewahyukan bahawa ada dikalangan kamu seorang lelaki yang telah melakukan maksiat selama 40 tahun dan tidak pernah bertaubat walaupun sekali, maka hendaklah orang tersebut keluar. Jika orang yang tidak pernah bertaubat itu keluar maka hujan akan diturunkan.
Nabi Musa meminta dikalangan Bani Israil yang melakukan maksiat itu supaya keluar. Namun bagi empunya diri merasa malu untuk keluar, apabila dilihat ke arah sekelilingnya tiada siapa yang keluar, maka sahlah bahawa dialah orang yang dimaksudkan. Lalu lelaki itu bermunajat kepada Allah;
Ya Allah aku telah melakukan maksiat kepadamu selama 40 tahun dan Engkau melindungiku, pada hari ini aku bertaubat kepadaMu jika aku keluar semua orang akan tahu, dan jika aku tidak keluar hujan tidak akan turun dan kami semua akan binasa. Ya Allah hari ini akau bertaubat, aku menyesal dan aku kembali kepadamu, terimalah taubatku dan lindungilah aku sekali lagi.. “, maka hujan pun turun.
Nabi Musa berkata dengan kehairanan,
“Wahai Tuhan, hujan sudah turun sedangkan tiada seorang pun yang keluar.”
Jawab Allah:
“Wahai Musa, hujan turun dengan sebab taubat hambaku yang memaksiatiku selama 40 tahun. Aku gembira dengan taubatnya.”
Musa membalas:
“Wahai Tuhan, tunjukkan kepadaku orang itu, supaya aku juga gembira bersamanya.”
Jawab Allah:
“Wahai Musa, dia memaksiatiku selama 40 tahun dan aku melindunginya dan adakah apabila hari ini dia bertaubat kepadaKu patut Aku membongkarkannya?”
Maha suci Allah, manusia melakukan maksiat, namun pintu taubat tetap dibuka seluas-luasnya. Allah menjaga maruah manusia yang melakukan maksiat  untuk memberi peluang taubat kepada hambaNya. Kemarau berlaku sebagai tanda kebesaran dan kekuasaan Allah untuk menyedarkan manusia yang lalai supaya kembali kepadaNya.
Alangkah indahnya taubat buat lelaki itu. Maksiat yang dilakukannya selama 40 tahun dihapuskan oleh Allah dalam masa yang singkat dengan hanya bertaubat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...