31 January 2012

Rancang kewangan untuk elak muflis

Laporan berita ini dipetik daripada ucapan  Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selva Raj di mana beliau berkata, belia merupakan golongan utama menghadapi masalah kewangan dan menjadi muflis berbanding orang dewasa akibat daripada perbelanjaan yang tidak terkawal.
Tambah beliau lagi, antara punca utama adalah kerana urusan sewa beli seperti kereta, rumah dan penggunaan kad kredit. Seseorang itu dikira mempunyai masalah kewangan apabila 30 peratus daripada gaji bulanan digunakan untuk membayar hutang.
Masalah muflis dikalangan belia boleh dielakkan jika mereka mempunyai pengetahuan mengenai pengurusan kewangan.
Di sini disediakan beberapa panduan untuk menguruskan kewangan yang diperolehi daripada Info Perbankan.
Perancangan kewangan merupakan langkah pertama untuk menguruskan kewangan. Terdapat 4 langkah yang perlu diambil iaitu:
Menetapkan matlamat kewangan
 Matlamat kewangan mencerminkan apa yang hendak dilakukan dengan wang dalam tempoh yang tertentu. Penentuan matlamat akan memastikan perbelanjaan serta peryimpanan  berlaku secara teratur untuk mencapai matlamat. Matlamat ini boleh berbentuk jangka masa pendek, sederhana atau panjang bergantung kepada faktor-faktor seperti usia, pendapatan, taraf perkahwinan dan jumlah tanggungan.
Jejaki ke mana perginya wang
Seterusnya, tabiat berbelanja perlu dipantau.  Ia perlu dimulakan dengan merekod segala perbelanjaan dalam tempoh tertentu, contohnya, selama lapan minggu. Ini bertujuan untuk mengetahui ke mana wang  telah dibelanjakan, bukan untuk mengurangkan perbelanjaan.
Menilai tabiat berbelanja
Tabiat berbelanja perlu dinilai sekiranya tidak mempunyai sebarang lebihan wang pada akhir bulan atau ingin meningkatkan jumlah simpanan. Teliti senarai perbelanjaan harian dan nilai sama ada ia merupakan keperluan atau kehendak. Kurangkan perbelanjaan yang berkaitan dengan kehendak. Kenalpasti dan elak tabiat buruk ketika berbelanja.
Menulis rancangan perbelanjaan
Setelah mengkaji tabiat berbelanja, pelan perbelanjaan boleh dibuat untuk membantu  mencapai matlamat kewangan. “Buku Pengurusan Belanjawan Keluarga” yang diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia boleh digunakan untuk membantu pengguna membuat dan memantau perbelanjaan harian, bulanan dan tahunan.
Tanda amaran tabiat buruk perbelanjaan
  •  Menggunakan wang simpanan untuk membayar bil semasa
  • Membayar jumlah minimum apabila menyelesaikan hutang kad kredit
  • Selalu meminjam wang untuk menampung perbelanjaan harian
  • Hanya membayar jumlah minimum apabila menyelesaikan hutang dan tidak mengurangkan jumlah hutang yang  sedia ada
  •  Sentiasa bertengkar dengan suami/isteri atau keluarga berkaitan wang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...