“Seronoknya kalau aku dapat jadi macam dia tu. Pandai, cantik, keluarga kaya, bakal suami pun hensem”, ujar seorang teman. Kata-kata yang membuat saya terfikir, “aku pula nak apa, dan nak jadi macam siapa?”
Mengintai rezeki orang lain
Melihat seseorang lain dengan rezeki-rezeki yang Allah untaikan untuk dikecapi memang mengasyikkan. Amat bagus kerana ia membuatkan si pemerhati dapat mengagumi kekuasaan Allah yang Maha Bijaksana mengatur dan menyusun keperluan seseorang manusia itu sebaiknya. Ia menjadi salah apabila memerhatikan rezeki orang lain membangkitkan iri hati dalam diri lantas mengejar-ngejar keinginan nafsu sehingga mengabaikan apa yang dikendong.
Biar saya terjemahkan dengan satu situasi. Seorang pelajar perakaunan yang sedang membina nama dan kepakaran dalam bidangnya terhenti langkah dek kerana mengejar populariti dalam bidang pertanian setelah melihat seseorang berjaya dalam bidang tersebut. Akhirnya, dia terpaksa belajar semula dari perkara asas tani sehinggalah kepada menjayakannya. Proses ini mengambil masa yang lama dan malang sekali apabila telah melalui beberapa tahun, dia tiba-tiba melihat bidang pengacaraan pula merupakan bidang yang makin hangat di pasaran. Lalu, tergendalahlah projek pertaniannya dek kerana merasakan bidang pengacaraan adalah bidang terbaik pada masa itu.
Sesuailah dengan kata-kata yang diperturun dari nenek moyang kita dulu: Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
Budaya melihat orang lain lebih baik dari kita dan merasa rendah diri dengan apa yang ada pada diri sudah menjadi budaya Melayu rata-ratanya. Memang bagus kalau dilihat dari segi penekanan Islam dalam sikap merendah diri, qanaah dan tawadhu’. Tetapi menjadi beban apabila konsep merendah diri ini disalahgunakan bilamana dengan perasaan ini, umat Islam sentiasa layu, tidak bangkit-bangkit memegang pos-pos pakar dalam bidangnya seperti mana yang pernah kita miliki pada zaman kegemilangan Islam dahulu.
Tahukah anda, sebenarnya, kita boleh sahaja merasa izzah tatkala kita mengusahakan bidang-bidang kepakaran kita tanpa merasa bersalah dengan ‘berbangga diri kah aku?’, ‘terlalu mengejar dunia, kah aku?’ kalau telah betul niat sedari awalnya?
Kerana itulah setiap amal itu adalah dengan niatnya! Perkara pertama yang harus dilihat adalah, bidang yang kita ceburi dan ingin diusahakan adalah diniatkan semata-mata hanya kerana Allah, untuk Islam dan umatnya. Bukan untuk diri kita sendiri. Kalau lapangan tersebut sejelas-jelasnya memberikan keuntungan kepada diri kita sendiri pun, harus dilihat bahawa, keuntungan untuk diri kita adalah sumbangan untuk ummah. Dengan niat yang benar, kita hakikatnya bukan merasa izzah pada diri sendiri atau pada bidang yang kita ceburi, tetapi kita merasa izzah dengan matlamat yang ingin kita capai, iaitu izzah dengan agama Islam itu sendiri.
Biarlah orang lain berjaya dengan bidang mereka kerana kepelbagaian bidang adalah fardhu kifayah buat kemaslahatan ummah. Yakinlah bahawa, kita hakikatnya sangat diperlukan dalam bidang yang sedang kita ceburi, cuma perlu kreatif berfikir bagaimana ceburan bidang itu mampu diterjemahkan sebagai bidang yang mampu menyumbang untuk ummah. Hakikat menjawab persoalan ‘bagaimana’ ini, akhirnya berbalik pada persoalan, ‘bagaimana kita membentuk peribadi kita untuk beramal dalam setiap lapangan yang diceburi dengan hasil-hasil hebat untuk kemaslahatan umat?’.
Berhenti melihat orang lain kalau melihat orang lain itu tidak mampu membuatkan kita lebih dekat pada Allah. Lihat dan renung diri sendiri dan fikirkan dalam-dalam, adakah aku sudah cukup berusaha untuk menjadi aset ummah?
Menjaga pos-pos kawalan sebaiknya
Satu analogi yang sering tak lekang dari fikiran saya adalah, setiap umat Islam itu memegang pos-pos dengan panji-panjinya sendiri. Bayangkan dalam sebuah daerah yang dikepung dengan musuh Islam, dan setiap inci sempadan daerah itu diagih-agihkan pada setiap umat Islam. Tugas mereka adalah untuk memastikan bahawa, kawasan yang ditaklifkannya itu tidak dimasuki oleh musuh. Perlu perhatikan siapa yang masuk, siapa yang keluar supaya tiada musuh Islam yang ingin membinasakan tidak terlepas masuk. Bayangkanlah kalau lama di satu posisi, mudah saja untuk merasa bosan. Kita sudah sedia maklum kalau kita menjaga sebetul-betulnya kawasan kita, kita sememangnya menyumbang untuk Islam. Tetapi, bagaimana pula kita meraikan semangat kita supaya kekal membara?. Kita boleh memilih untuk berdiri tegak memegang panji sambil memerhati, tapi berapa lama kita mampu bertahan dengan posisi yang sama? Cara untuk kita kekal lama semestinya dengan mempelbagaikan cara pengawalan.
Kita boleh memilih untuk berdiri tegak sambil memegang panji dan memerhati ataupun membina kubu dengan pengawasan kamera litar 24 jam atau menjaga pos sambil mengadakan hebahan yang mampu menggerunkan musuh daripada memasuki daerah Islam tersebut dan pelbagai cara lagi yang mampu dipelbagaikan!
Kalau dilihat, pos masih terkawal rapi, cuma bagaimana cara kita mempelbagaikan cara supaya kita terus kekal menyumbang untuk ummah. Disamping maslahah (kebaikan) untuk ummah, kita juga memberi maslahah kepada diri kita sendiri supaya terus bersemangat untuk menjaga pos tersebut dalam erti kata lain, tidak merasa bosan dan lemah semangat.
Kesimpulannya, sebelum melihat apa lagi lapangan lain yang boleh diceburi, cerminkan dahulu pada apa yang sedang berada di tangan kita. Allah Yang Maha Mengetahui pastinya tidak sewenang-wenangnya mendatangkan ‘peluang’ yang telahpun kita garap kalau bukan kerana kita mampu membuat yang terbaik. Bersyukur dengan apa yang ada di sekeliling kita, kerana sekecil-kecil perkara mampu digilap hebat oleh tangan-tangan yang nantinya akan menyentuh syurga!
Akulah aset ummah
Saya teringat kata-kata dalam buku karangan ‘Aidh al-Qarni: “Wanita yang bijaksana adalah wanita yang mampu mengubah sahara yang gersang menjadi taman yang subur dan indah”
Dengan kata-kata itu, saya juga selalu membayangkan tangan yang saya miliki ini bagai dongengan Raja Midas yang tatkala menyentuh apa sahaja mampu mengubahnya menjadi emas. Bukanlah emas yang saya inginkan, tetapi yang lebih dari itu: Di mana sahaja diletakkan kita, baka bertambah indah, bertambah bermakna, bertambah terang dan bercahayalah ia. Biar seteruk mana pun asalnya lapangan itu pada awalnya.Yang paling penting, semua keindahan yang dapat dilihat pada masa ini, sehalus-halusnya direntet dengan peringatan Syariat. Apalah guna kalau mampu menukar indah dunia kalau sedikit pun tak dinilai untuk mengecap Syurga? Betapa ruginya!
Maka, yakinlah! Kita perpotensi besar untuk melonjakkan diri kita dalam bidang yang kita ceburi. Potensi manusia itu adalah tahapan khalifah, taklifan yang ditolak oleh makhluk-makhluk lain, tapi diterima oleh kita, manusia. Terpulang pada kita bagaimana kita melihat diri kita sendiri, kerana siapa diri kita yang kita fikirkan adalah siapa diri kita di luar sana. Anda adalah apa yang anda fikirkan!
Pos mana yang anda jaga? Sejauh mana anda mampu menyumbang untuk ummah?
Pos seorang pelajar? Isteri? Anak? Pensyarah? Akauntan? Guru? Usahawan? Penulis? Sebutkan apa sahaja ruang pos kawalanmu, asalkan kita semua yakin bahawa kita layak digelar aset ummah! Supaya aset-aset ini akan pulang berbondong-bondong ke Syurga nan indah bersama-sama.
No comments:
Post a Comment