Kewangan ialah aspek yang sangat penting dalam keusahawanan. Wang ialah nadi perniagaan. Selain perniagaan, perancangan dan pengurusan kewangan juga amat penting dalam kehidupan seharian dan seterusnya memastikan perjalanan hidup lebih tersusun dan teratur.
Tetapi apa yang lebih penting adalah bagaimana menguruskan kewangan secara bijak, tidak kira sama ada anda orang kaya ataupun kurang berharta. Dalam pengurusan kewangan, ada beberapa perkara yang perlu diambil berat berkenaan sikap.
Bersaing dengan Si Tipah
Drama komedi di televisyen ada menayangkan, kisah mengenai dua orang jiran bersebelahan rumah yang bersaing harta. Apabila seorang menukar langsir, si Tipah pun mahu menukar langsir juga. Apabila seorang beli kereta baru, yang seorang lagi pun mahu beli kereta baru yang lagi hebat. Apabila seorang buat extensionrumah, si Tipah pun mahu buat extension rumah juga!
Maka,kedua-dua jiran ini bersaing harta. Sehingga akhirnya, mereka terpaksa menjual segala-galanya kerana tidak mampu membayar hutang! Walaupun kisah komedi ini di televisyen, realiti kehidupan sebenar juga ada berlaku. Mat Salih mengelarnya: “ Keeping up with the Jones.”
Ada kalanya kita secara tidak sedar ingin tingkatkan harta kita untuk bersaing dengan orang lain. Mungkin dengan jiran, rakan sekerja atau ahli keluarga. Jauhkan daripada sikap ini kerana ia boleh menjadi punca terperangkap dengan hutang-hutang yang sukar dibayar. Ukur baju pada badan sendiri. Usah jadikan orang lain sebagai pengukur kejayaan kita, tetapi jadikan diri kita sendiri sebagai pengukur.
Biar Papa Asal Bergaya
“Bior pape ase bergaya”. Maksudnya, biar miskin, tetapi perlu bergaya.
Seboleh-bolehnya, janganlah begitu. Bergayalah mengikut kemampuan sahaja. Kalau bergaya tetapi poket kosong tidak guna juga. Bergaya memerlukan kos yang lebih. Bergaya dengan seluar berjenama Gucci, baju berjenama LV, kaca mata berjenama Rayban, telefon berjenama Vertu dan berkereta mewah ke sana sini hanya akan menambahkan kos “maintenance” anda.
Ada seorang hamba Allah yang sangat berkeinginan memandu kereta Mercedes, tetapi pendapatannya tidak mencukupi. Maka setiap hari dia hanya makan mi segera dan mengikat perut untuk menampung perbelanjaan kereta mewah itu. Keperluan-keperluan lain juga turut dikorbankan. Adakah ini gaya hidup yang diinginkan? Lebih baik “Biar kaya baru boleh bergaya!”
Terpedaya dengan Iklan
Dalam sehari, manusia terdedah kepad lebih 1000 buah iklan. Ikaln di televisyen, akhbar, brosur, leaflet, radio, Internet, e-mel dan sebagainya. Jangan terpedaya dengan iklan dan membeli sesuatu yang anda tidak perlukan!
Kebanyakan iklan dicipta oleh golongan professional dalam bidang pengiklanan. Mereka mempelajari psikologi manusia bertahun-tahun lamanya. Tujuan mereka adalah satu sahaja iaitu untuk mendapatka pembelian.
Sering kali iklan menggunakan kaedah-kaedah psikologi manusia untuk menjual sesuatu, walaupun kita tidak perlukannya. Pelbagai teknik digunakan bagi menyentuh emosi bakal pembeli untuk membuat tindakan membeli.
Lain kali apabila anda mendengar iklan yang membuatkan anda ingin membeli, berhenti seketika. Fikirkan secara rasional dan bukan dengan emosi, sama ada anda benar-benar memerlukannya atau sekadar emosi anda yang tewas dengan psikologi pengiklanan. Bukan untuk mengatakan pengiklanan tidak baik. Ia merupakan keputusan belian anda sama ada keputusan yang baik ataupun tidak.
Ingat, Berjaya dalam kewangan bukan sekadar Berjaya memperoleh pendapatan yang baik, tetapi berjaya mengawal ke mana perginya pendapatan tersebut.
Oleh: Irfan Khairi
Sumber: Majalah Solusi Isu No. 36
No comments:
Post a Comment